Kelihatan lebih kurus, penyampai radio dan penyanyi dangdut, Haiza, 45 tahun, menafikan dirinya mengambil jalan pintas untuk menurunkan berat badan.
Haiza atau nama sebenar, Rohaizah Nordin berkata dirinya hanya melebihkan melangkah atau berjalan sejak Disember 2024 untuk tampil lebih sihat.
“Ya, dari 67 kilogram (kg), sekarang berat badan saya 63kg. Tak banyak pun turun sebab saya dapat nasihat jangan turun banyak sangat sebab faktor usia, meskipun sasaran saya 60kg.
“Kalau turun banyak sangat, takut muka saya kecut. Sekarang, alhamdulillah saya rasa lebih sihat, lagipun saya sudah lalui turun naik dalam industri ini, jadi rasanya kena buat sesuatu supaya perjalanan saya sebagai anak seni genap 30 tahun ini, tak sia-sia.
“Saya berharap karier dalam bidang seni bersambung, jadi saya kena usaha. Namun, bagi selebriti lain mengambil jalan pintas, itu pilihan mereka, mungkin sebab faktor kesihatan.
“Saya pegang kata-kata penyanyi, Allahyarhamha Rohana Jalil menasihatkan agar saya tidak melakukan apa-apa pada muka dan badan. Jangan buat pembedahan potong usus atau sebagainya. Kita perlu hargai nikmat Allah,” katanya yang dikenali dengan lagu Dag Dig Dug.
“Jadi, saya ambil cabaran melebihkan melangkah setiap hari. Saya sasarkan 10,000 langkah setiap hari.
Tambah Haiza, beliau mengambil langkah menurunkan berat badan juga selepas membaca bahawa Malaysia adalah negara ketiga di dunia yang mana rakyatnya malas berjalan, lapor Berita Harian Malaysia (BH Online).
Haiza berkata, penurunan berat badan demi bagi menjaga kesihatannya. Ini disebabkan pernah mengalami masalah kesihatan dan tidak mahu ia berulang kembali.
“Tapi, saya akui nak menurunkan berat badan tak mudah sebab saya berlawan dengan mental. Suami seorang ahli sukan memang menyokong saya, tapi dengan dia pun saya boleh bercakar. Bila penat bekerja, saya tak larat nak keluar ‘jogging’,” tambahnya yang juga alumni program realiti Gegar Vaganza (musim kedua).
Dalam pada itu, Haiza tegas dengan pendirian tidak mahu menerima sebarang tawaran untuk mempromosikan produk pelangsingan badan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg