Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangkit setelah redup, perjuangan artis bina nama dalam seni hiburan

Di sebalik karya bermutu dan tular, tersirat kisah penuh cabaran dan pengorbanan
May 3, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi Malaysia, Nadeera, semasa diwawancara wartawan Berita Harian, Ainin Alfiyani Jailani, di Hotel Grand Pacific pada 16 April, berkata sesetengah pihak mudah menghakimi beliau berdasarkan rupa tanpa melihat bakatnya.
Penyanyi Malaysia, Nadeera, semasa diwawancara wartawan Berita Harian, Ainin Alfiyani Jailani, di Hotel Grand Pacific pada 16 April, berkata sesetengah pihak mudah menghakimi beliau berdasarkan rupa tanpa melihat bakatnya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Akhir-akhir ini, tugasan mewawancara beberapa artis, khususnya penyanyi wanita Malaysia, benar-benar membuka mata saya akan kehebatan perjuangan mereka.

Di sebalik usaha mencipta karya bermutu untuk masyarakat pencinta seni di rantau ini, tersirat kisah penuh cabaran dan pengorbanan yang sering kali tidak disedari.

Kita sering terpukau melihat kemegahan mereka di pentas, lengkap dengan busana anggun dan penampilan memukau di kaca televisyen.

Namun, seperti judul lagu Liza Hanim, Siapa Sangka Siapa Menduga, kenyataannya jauh lebih rumit, malah dipenuhi liku-liku dan ujian yang datang bertali arus.

Saya berpeluang menemui Mimifly, pada 24 April.

Mantan anggota kumpulan One Nation Emcees, yang nama sebenarnya ialah Shamimi Amalina Norhisham, saya temui dalam acara sambutan Hari Raya di Kampung Admiralty Community Plaza, anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands Town.

Mimifly tampil memukau dengan busana songket berwarna hijau daun, menyambut saya dengan penuh kehangatan meskipun jelas kelihatan kelelahan pada riak wajahnya yang dihiasi solekan ayu dipandang mata.

Bahkan, beliau sebenarnya kurang sihat, apatah lagi tiba di Singapura pada pagi itu (26 April), seusai membuat persembahan pada 1 pagi sebelumnya.

Dalam perbualan sejam kami, Mimifly berkongsi saat hampir berputus asa setelah empat tahun karya muziknya mendatar dan kurang mendapat sambutan.

Namun, pengalaman melihat anak muridnya menggunakan bahasa isyarat menyalakan inspirasi baru bagi dua lagunya iaitu, Angkat dan Serumpun.

Dari situlah lahir idea untuk menerapkan bahasa isyarat dalam kededua lagu itu, yang akhirnya tular di media sosial, mencipta fenomena luar biasa.

‘Sis Ainin’, begitu panggilannya kepada saya sepanjang wawancara, sambil diselangi cerita penuh semangat yang sering mengundang gelak tawa.

Walaupun telah lebih sedekad berkecimpung dalam industri hiburan sejak 2008, kecekalan Mimifly terpancar di matanya.

Semangat itu turut menyuntik keyakinan dalam diri saya bahawa setiap cabaran hidup pasti tersirat hikmah dan harapan yang tidak disedari.

Selebriti lain yang turut mengubah perspektif saya ialah Nadeera, pelantun lagu, Bukan Lagi Kita, yang menjadi perhatian setelah dinobat, naib juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39).

Ketika bertemu pada 16 April di Hotel Grand Pacific, Victoria Street, saya hampir tidak percaya tubuh mongel itu adalah pemilik suara lantang dan penuh penjiwaan.

Saya teringat menanyakan pandangannya tentang rupa paras, yang menjadi aspek yang kerap menjadi penilaian utama bagi seorang artis.

Pertanyaan itu timbul setelah melihat klip video beliau menangis di pentas, Big Stage, apabila diingatkan kata-kata nista tentang rupanya berbanding bakatnya.

Mujurlah, kata-kata semangat komposer terkenal Ajai ketika itu membantu menaikkan semangat Nadeera untuk tidak mengendahkan tohmahan pedas itu.

Saat saya mengutarakan soalan tersebut, suasana tiba-tiba menjadi hening.

Nadeera terdiam dan jelas sedang mencari kata-kata yang tepat.

“Benda ini saya lalui dari dulu, orang selalu ‘judge’ (menghakimi) saya tanpa melihat bakat saya.

“Agak kecewa tetapi kini, saya hanya berfikir positif,” katanya, yang masih terngiang-ngiang di fikiran saya hingga kini.

Penyesalan singgah dalam hati dan saya turut rasa bersalah menanyakan sesuatu yang begitu peribadi.

Namun, keberanian Nadeera untuk bangkit kini telah membawa beliau menikmati kemanisan kejayaannya.

Bahkan, tarian ikonik daripada lagu Hari Raya, Meriah Lain Macam, hasil ciptaan Hael Husaini, juga tular tanpa diduga.

“Kami hanya teringat satu gerakan gembira yang spontan, dan tidak berlaku semasa rakaman lagu, Meriah Lain Macam. Tak sangka pula ia akan tular,” katanya sambil tersenyum.

Melalui kisah perjuangan Mimifly dan Nadeera dalam bidang seni, saya belajar bahawa di sebalik keindahan dunia hiburan, terdapat perjuangan yang tidak ternilai.

Sama ada artis atau bukan, kita semua adalah manusia yang hanya mampu merancang.

Selebihnya, serahkan kepada takdir, kerana rezeki tidak pernah salah alamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg