Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir 100,000 kunjungi Taman Warisan Melayu sejak dibuka semula hujung Apr
Hampir 100,000 kunjungi Taman Warisan Melayu sejak dibuka semula hujung Apr
Usaha berterusan dapatkan maklum balas, suntik kesegaran dalam program
Hampir 100,000 kunjungi Taman Warisan Melayu sejak dibuka semula hujung Apr
Taman Warisan Melayu (TWM) telah menerima hampir 100,000 pengunjung, terdiri daripada pelawat dari dalam dan luar negara, sejak ia dibuka semula pada hujung April 2026.
Bagi menggalak orang ramai datang ke TWM berulang kali, pusat warisan itu bercadang untuk terus menyegarkan gabungan program yang ditawarkan, melalui gandingan festival dan acara awam lebih besar dengan bengkel, ceramah, lawatan dan kegiatan pimpinan masyarakat yang lebih kecil.
Berkongsi demikian dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata pihaknya amat menghargai sokongan padu yang diterima daripada orang awam dan masyarakat sejak pembukaan semula pusat warisan itu pada 25 April.
TWM sebelum itu telah ditutup selama tiga tahun untuk kerja baik pulih, ubah elok dan pembangunan semula secara menyeluruh.
Pusat warisan itu kini mengetengahkan tema baru, ‘Dari Rantau Ke Rumah’, melalui enam galeri tetap yang mempamerkan 279 artifak.
Pengunjung ke TWM berwajah baru itu diharap meraih pemahaman yang lebih mendalam mengenai masyarakat Melayu Singapura, serta rasa keterikatan, kebanggaan dan semangat kekitaan yang lebih kukuh terhadap warisan bersama Singapura, kata Encik Mohamed Hafiz.
“Sedang bilangan pengunjung merupakan petunjuk penting (tentang kejayaan TWM selepas dibuka semula), kami turut menilai mutu pengalaman yang dilalui di muzium itu serta bagaimana pengunjung berinteraksi dengan kisah-kisah yang dipaparkan,” katanya.
Bagi meneruskan sambutan yang menggalakkan itu, pusat warisan tersebut kini mengatur langkah menarik pengunjung berulang dengan terus menyuntik kesegaran kepada barisan program yang ditawarkan.
Dalam beberapa bulan akan datang, pusat warisan itu akan meletakkan maklumat tambahan, seperti kapsyen pelengkap dan kandungan yang boleh diakses melalui kod QR untuk pengunjung yang mahu meneroka subjek tertentu dengan lebih mendalam.
Satu siri ceramah juga akan diadakan setiap dua hingga tiga bulan hingga April 2027.
Selain itu, katalog galeri yang memuatkan esei oleh pakar bidang sedang dibangunkan dan dijadual diterbitkan pada pertengahan 2027.
Katalog itu bertujuan membantu pengunjung memahami tema-tema yang diketengahkan dengan lebih mendalam.