Galeri baru Taman Warisan singkap evolusi dunia Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Galeri baru Taman Warisan singkap evolusi dunia Melayu

Enam ruang bertema bolehkan pengunjung lihat pelbagai artifak baru, selain tumpuan khusus raikan sumbangan perintis wanita
Feb 3, 2026 | 7:05 PM

Galeri baru Taman Warisan singkap evolusi dunia Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata galeri TWM akan mengetengahkan beberapa artifak yang menjadi tunjang kepada kisah-kisah dinamik alam Melayu.
Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata galeri TWM akan mengetengahkan beberapa artifak yang menjadi tunjang kepada kisah-kisah dinamik alam Melayu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Taman Warisan Melayu (TWM) yang telah disuntik nafas baru akan membuka pintunya kepada para pengunjung untuk menelusuri galeri baru sambil menyingkap kepelbagaian serta evolusi dunia Melayu.

Terletak di 85 Sultan Gate, TWM bakal dibuka semula pada 25 April, setelah ditutup pada 30 Oktober 2022 bagi kerja pembinaan dan pemulihan semula kemudahan serta bangunannya.

Menerusi enam ruang bertema, naratif TWM yang dinamakan Dari Rantau Ke Rumah akan menampilkan warisan Melayu, termasuk subetnik Melayu seperti masyarakat Jawa, Bawean, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Orang Pulau.

Ia juga akan menampilkan barisan perintis yang lebih luas dan terangkum, dengan tumpuan khusus bagi mengiktiraf dan meraikan sumbangan besar kaum wanita yang telah membantu membentuk perjalanan sejarah Singapura.

“Dari sudut kuratorial, kelainan utama ialah cara naratifnya dibentuk bersama masyarakat.

“Sepanjang proses ini, kami telah melibatkan para pendidik, dosen, pengamal budaya, sejarawan dan masyarakat Kampong Gelam.

“Maklum balas yang kami terima menekankan keperluan kepada kandungan yang menyentuh hati tapi pada masa yang sama juga meluaskan minda tentang kepelbagaian warisan masyarakat Melayu Singapura,” kongsi Pembantu Kurator TWM, Dr Hadi Osni, semasa sesi pratonton media pada 3 Februari.

Antara artifak utama yang dipamerkan ialah pas jemaah haji milik Hajjah Maimunah Haji Abdul Karim, yang telah disumbang oleh keluarga Hajjah Maimunah kepada TWM.

Menurut kenyataan bersama TWM dan Lembaga Warisan Negara (NHB), Hajjah Maimunah merupakan tokoh penting dalam industri broker haji yang menyelaras perjalanan ibadah haji khusus bagi kaum wanita.

“Inisiatifnya telah memperkasakan lebih ramai wanita untuk menunaikan ibadah haji, di samping memastikan bimbingan serta sokongan yang peka terhadap kepekaan budaya melalui agensi perkhidmatan hajinya,” menurut kenyataan itu.

Di bawah Ordinan Jemaah Haji, broker haji di Singapura diwajibkan mempamerkan papan tanda menjelang abad ke-20.

Peraturan tersebut telah merasmikan peranan orang tengah dalam memudahkan cara perjalanan ibadah haji.

Turut menjadi sebahagian artifak baru yang dipamerkan ialah papan tanda Istana Kampong Gelam bercorak stensil yang ditemui semasa kerja pengubahsuaian di pintu masuk TWM pada 2023.

Memberi perincian mengenai papan tanda itu, Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata:

“(Menurut) sejarah yang kita tahu selama ini, bangunan ini dibina pada 1840-an.

“Tapi dengan penemuan artifak ini, ia telah menulis kembali sejarah itu dan mengatakan bahawa bangunan ini dibina pada 1890.”

Selain itu, terdapat juga alat penimbang berlian milik Haji Ahmad Jamal, pedagang Banjar yang menyediakan khidmat kepada pelanggan Arab dan Peranakan di Kampong Gelam pada awal abad ke-20.

Ini di samping salah satu artifak terbaru yang diperolehi TWM iaitu congkak yang diukir menyerupai burung mitos Pertala Wakti dengan ukuran hampir 2 meter panjang dan seberat 150 kilogram.

Congkak itu mencerminkan tradisi Kelantan yang terbentuk daripada pengaruh rentas sempadan Hindu-Buddha dan Islam yang berabad lama.

Selaku pembantu kurator, Dr Hadi berharap agar para pengunjung akan rasa lebih terhubung dengan galeri dan naratif yang dipamerkan di TWM, sambil merenung tempat asal dan hala tuju mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg