Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hargai semangat emas orang lama

Oct 10, 2023 | 5:30 AM
AYAI ILUSI: Bawa ramai ke alam ‘regeton’ menerusi lagu Andi Bernadee, Donde.
AYAI ILUSI: Bawa ramai ke alam ‘regeton’ menerusi lagu Andi Bernadee, Donde. - Foto ASTRO
DATUK AISHAH: Tampil comel dengan lagu tular Nabila Razali, Pematah Hati.
DATUK AISHAH: Tampil comel dengan lagu tular Nabila Razali, Pematah Hati. - Foto ASTRO

Pada usia mereka yang melepasi 55 tahun, penyanyi veteran, Ayai Ilusi dan Datuk Aishah, perlu menyanyikan lagu Budak Baru Nak Up (BBNU), Donde dan Pematah Hati di pentas All Stars Gegar Vaganza.

Cute benar tengok Ayai, 62 tahun, berpakaian ala artis hip hop, menari tarian ‘moonwalk’ ala Michael Jackson...ke depan, ke belakang.

Aishah, 58 tahun, dengan suara comel apabila berbicara pula diuji dengan lagu catchy’ Nabila Razali, Pematah Hati yang memerlukannya menyebut perkataan ‘cumi-cumi’ yang disisipkan sebagai pemanis lagu berkenaan. Dengan suara beliau yang kedengaran kecil bila berbual dan lantang ketika menyanyi, memang ia persembahan yang dinanti-nanti.

Tapi pada saat segmen Ada lagu, ada lagi’ diadakan pada penghujung peraduan realiti itu, kasihan pula saya melihat wajah Ayai yang masih mampu tersenyum dan Aishah yang nampak risau apabila nama mereka belum lagi diumumkan untuk mara ke konsert minggu keempat.

Mujurlah, ada Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara yang menenangkan keadaan, menemani mereka berdua dan Zamani yang masih menanti keputusan juri.

Kadangkala tertanya-tanya, apa yang membuatkan mereka berdua yang sudah ada nama dalam industri seni beranikan diri masuk bertanding dalam peraduan sebegini? Mereka dinilai juri yang ada lebih muda daripada diri mereka sendiri, tetapi berilmu pengetahuan muzik dan memberi komen bernas seperti Datuk Syafinaz Selamat.

Mereka juga terdedah pada kecaman warganet yang tidak mempunyai belas ihsan tatkala membidas dan mempersendakan mereka. Misalnya, terbaca komen yang meminta Aishah yang dikatakan bersuara ‘chipmunk’ dan tidak boleh menyanyi sebaik dahulu, disingkirkan bagi pusingan selanjutnya. Kejam sungguh komen sebegitu yang dilontarkan buat bintang yang pernah mengharumkan nama Malaysia dengan menjadi vokalis band New Zealand, The Fan Club.

Nama Aishah bahkan terpahat pada Carta Billboard Hot 100 Charts di Amerika menerusi kejayaan single Don’t Let Me Fall Alone. Nak sahaja ditanya kepada warganet tersebut: “Kau ada?” (masuk carta Billboard Hot 100 Charts). Yang kata suaranya dah tak se-’power’ sewaktu menjadi juara GV4 pun ada. Ada yang sibuk memperkatakan bahawa meskipun sudah diturunkan banyak berat badannya, suaranya jadi ‘down’ pula, berbanding Aishah yang berisi tetapi memiliki vokal yang mantap. Hai, macam-macamlah warganet ni.

Sememangnya, saya tabik hormat perjuangan artis veteran yang memberanikan diri untuk masuk bertanding dalam All Stars GV yang menghimpunkan 10 juara GV daripada sembilan musim dan enam finalis GV.

Mereka cuba membawakan bermacam genre lagu dan keluar dari zon selesa dan selamat. Aishah dikenali lebih daripada setakat lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang. Beliau bawa runut bunyi (OST) filem Flashdance, What A Feeling, dendangan asal mendiang Irene Cara, dengan baik dan berada di tangga kelima, lengkap dengan dirinya menari persis zaman beliau dikenali dengan lagu rancak Sensation.

Ayai pula memang hebat sebagai pelantun lagu romantis, Puisi Cinta, yang masih membuat ramai terkesima. Orangnya sentiasa tersenyum dan memberi ‘vibes’ positif.

Dengan nama besar mereka, kededuanya sanggup ketepikan segalanya untuk berada di gelanggang All Stars GV. Mereka cuba lagu bukan dari zaman mereka, iaitu era anak-anak muda canggih yang tidak lepas daripada telefon bimbit dalam genggaman. Kalau dahulu Aishah dan Ayai boleh nyanyi lagu ‘orang lama’, artis yang lahir dahulu daripada mereka seperti era P. Ramlee dan S. Effendi, kini mereka perlu pandang ke depan.

Berilah mereka sokongan. Tak mudah nak miliki tenaga vokal dan daya hibur (menari sambil menyanyi) ditambah interaksi pada usia lewat 50 sen atau 60 sen. Saya berpegang pada frasa ‘Old is gold’.

Kalau dilihat sumbangan mereka pada industri seni Nusantara, memang ia sumbangan emas yang tidak boleh diperlekeh. Ada yang sebaya mereka dah tak nak fikir pun soal bertanding. Tapi rasanya, kededuanya masih mahu menimba ilmu, masih mahu dengar komen orang tentang nyanyian dan persembahan mereka, serta mahu lagi ketemu peminat dan berinteraksi saban minggu. Pentas All Stars GV memberi semua ini walau kena kuat semangat dan abaikan komen orang yang hanya tahu bercakap dan melontar komen sewenang-wenangnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg