Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Jangan sampai ‘dimakan’ artis nama besar dalam pusingan duet: Juri

Peserta ‘All Stars Gegar Vaganza’ diminta hati-hati, beri jiwa raga dan tidak dikaburi pasangan duet
Oct 10, 2023 | 05:30 AM



Ramai peminat peraduan realiti Astro, All Stars Gegar Vaganza, yang tidak sabar menanti konsert minggu keempat yang akan disiarkan pada Ahad ini.


Sebabnya, peraduan yang menghimpunkan 10 juara Gegar Vaganza (GV) dan enam finalis daripada sembilan musim akan mengetengahkan nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia sebagai rakan duet dalam pusingan bertemakan ‘Berdua Bersatu’.


Mereka yang dimaksudkan termasuk komposer asal Singapura, Datuk M. Nasir, yang akan menyanyikan lagu Raikan Cinta bersama Ayai Ilusi; Datuk Jamal Abdillah yang akan menjadi rakan duet Zamani bagi lagu Aku Penghibur; Ziana Zain yang pastinya akan menyuntik semangat Liza Hanim bagi melantunkan suaranya ke paras terbaik untuk lagu Madah Berhelah dan Misha Omar yang akan membantu Naqiu untuk hasilkan duet mantap lagi serasi bagi lagu Aku dan Dirimu.


Kerana bintang-bintang ini dan juga yang lain seperti Idayu, Liza Aziz, Aisyah Aziz, Wani Kayrie, Marsha Milan, Amir Masdi, Stacy, Mamat Exists, Azmi Saat dan Vince, konsert minggu keempat All Stars GV ini dijangka akan menggegarkan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) persis wujudnya konsert yang mengetengahkan artis ‘A-Lister’ (senarai teratas).


Bagaimanapun, di sebalik keghairahan ramai yang tidak sabar menanti-nantikan persembahan bagi minggu mendatang, ketua juri, Datuk Ramli MS, berpesan kepada peserta agar menyanyi dengan betul lagi baik, agar tumpuan penonton tidak beralih pada artis jemputan yang lebih menyerlah daya persembahannya.

Dalam sidang media yang diadakan secara langsung menerusi YouTube pada dinihari Isnin, Ramli berkata:

“Jangan sampai artis undangan ini ‘makan’ peserta. Saya akan pastikan keseimbangan agar peserta sewajarnya diberi laluan untuk mengetengahkan vokal mereka dan bukannya artis undangan yang lebih menonjol.”

Datuk Syafinaz Selamat pula melahirkan kekhuatirannya jika persembahan akan datang ini akan dikaburi artis besar yang bergandingan dengan peserta.

“Persembahannya akan jadi sesuatu yang hebat tetapi kalau peserta tidak hati-hati, boleh jadi artis undangan yang nampak lebih baik dan menenggelamkan persembahan peserta. Itu yang saya takuti. Kalau peserta tak dapat tunjukkan mereka lebih baik, sekurang-kurangnya mereka harus setara dengan rakan duet,” jelas Syafinaz.

Hetty Koes Endang pula menambah:

“Sejauh ini, seperti minggu ketiga, saya lihat ramai yang membuat persembahan dalam zon selamat. Jadi semuanya aman. Walau salah-salah, kami lihat ia hanya untuk keselamatan peserta. Tapi minggu depan, jangan sampai penyanyi asal sesebuah lagu itu lebih menonjol daripada peserta. Kepada peserta, jangan takut.

“Anda semua profesional, bukan baru setahun dua menyanyi.”

Ramli menyatakan sewajarnya, dengan adanya gandingan duet yang hebat, yang diibaratkan seperti enjin yang betul-betul baik dan bermutu, peserta harus memberi sepenuh jiwa raga mereka untuk membangkitkan kekuatan vokal atau daya hiburan di pentas.

“Bagi minggu ketiga, saya lihat yang tidak dapat memberi yang terbaik adalah yang perlu menyanyikan lagu bukan dari zaman mereka. Umur dah 50-an tahun tetapi diberi lagu masa kini. Ia cabaran dari segi pernafasan dan juga sebutan. Tapi kalau mereka sahut cabaran dan tak berada dalam zon selamat, kami berikan markah untuk usaha mereka itu.

“Minggu akan datang, mereka pilih sendiri lagu mereka dan rakan artis yang akan berduet dengan mereka. Jadi mereka perlu beri yang terbaik. Dengan adanya enjin yang boleh lari jauh (artis gandingan yang hebat), jangan membazirkan peluang,” kongsinya.

Panel juri juga enggan masalah asas seperti isu teknikal menimbulkan kesulitan lagi sebab peserta sudah pun bertahun lamanya berkecimpung dalam bidang seni dan tidak sepatutnya mempunyai masalah sebegitu.

“Kami tak nak lihat yang biasa-biasa sahaja. Saya lihat ada yang membuat persembahan untuk peminat mereka sahaja suka. Tapi mestilah, kalau dah namanya peminat, buat apa pun okey sahaja. Kami ingin mereka buat sesuatu yang tidak dijangka tetapi dapat puaskan hati semua orang.

“Ada yang beriya-iya rancang nyanyian, persembahan dan pakaian. Jadi tak adil kalau ada pula yang bikin ala kadar sahaja. Setiap aspek persembahan harus diambil kira,” ujar Syafinaz lagi.

Dalam persembahan minggu keempat, tiada penyingkiran berlaku, bermakna kesemua 14 peserta mara ke pusingan selanjutnya. Jaclyn Victor yang muncul dengan persembahan Bollywood penuh bertenaga bagi lagu Bole Chudiyan berada di tangga teratas dengan markah 76 peratus. Ini disusuli dengan Liza Hanim (74.75 peratus); Naqiu (74.5 peratus); Noryn Aziz dan Aliff Aziz (66 peratus), Nikki Palikat (65.75 peratus) dan Hady Mirza (65 peratus).


Sedang penyanyi asal Singapura, Aliff naik lapan tangga daripada kedudukan ke-13 kepada kelima, Hady pula turun enam tangga dari kedudukan pertama kepada tempat ketujuh kali ini.

Nota: All Stars GV disiarkan secara langsung setiap Ahad di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >