Sejak era staycation, cuti inap atau rehat dalam negara, yang mula rancak semasa pandemik Covid-19, konsep co-living (ruang guna bersama) menjadi gaya penginapan pilihan saya.
Ia menggabungkan keselesaan dan privasi seperti hotel, dengan peluang berinteraksi serta membina hubungan sesama tetamu – menjadikannya lebih daripada sekadar tempat bermalam, bahkan ruang untuk menikmati peluang menjadi sebahagian anggota masyarakat yang terbentuk secara organik.
Malah, apabila saya dijemput mencuba Coliwoo Hotel Kampong Glam – saya tanpa ragu menerima peluang itu.
Dibuka pada Mei 2025, Coliwoo Hotel Kampong Glam, merupakan tambahan baru dalam rangkaian jenama Coliwoo di bawah LHN Limited.
Hotel itu menampilkan pendekatan segar dalam pelayanan melalui gabungan fleksibiliti, keselesaan moden dan pengalaman budaya.
Terletak di 48 Arab Street, di nadi kawasan bersejarah Kampong Gelam, hotel itu hanya beberapa langkah dari Masjid Sultan, Haji Lane dan Galeri Gelam.
Akses mudah ke stesen MRT serta lokasi utama seperti Stadium Negara dan Marina Bay Sands menjadikannya pilihan ideal bagi pengembara yang gemar meneroka kota.
Saya menginap di bilik Kampong Gelam Suite, iaitu bilik terbesar di Coliwoo dengan keluasan 26.2 meter persegi. Ruangnya terasa sangat lapang bagi saya seorang.
Malah, saya sempat berlari dari satu sudut ke satu sudut mengelilingi kawasan dalam bilik hanya untuk menguji betapa luasnya ruang yang tersedia.
Susun atur yang terbuka memudahkan pergerakan, manakala bilik airnya dilengkapi tempat duduk mandi dan palang pemegang yang meningkatkan keselamatan serta menyokong pergerakan.
Berdasarkan reka bentuk dan kelengkapan yang disediakan, jelas bilik ini dibina dengan keperluan pengguna kerusi roda sebagai pertimbangan utama.
Secara keseluruhan, hotel ini menawarkan 24 bilik dalam lima kategori – Premiere Queen, Deluxe Queen, Standard Queen dan Single Cabin.
Semua bilik dilengkapi dengan ketuhar gelombang mikro, televisyen, mesin basuh-pengering, serta meja kerja lengkap dengan soket USB.
Suasana waktu malam di bilik cukup menenangkan. Walaupun sesekali kedengaran bunyi kehidupan malam dan trafik dari luar, tilam dan bantal empuk memudahkan saya terlelap.
Sebaik sahaja kepala menyentuh bantal, mata pun terus terpejam.
Tidak seperti hotel co-living lain yang pernah saya cuba, Coliwoo Kampong Glam, tidak menyediakan dapur kongsi atau ruang kerja bersama.
Satu-satunya ruang bersama di lokasi ialah kawasan lobi. Namun begitu, semangat kemasyarakatan tetap wujud – cuma dalam bentuk berbeza.
Coliwoo kerap menganjurkan kegiatan masyarakat di luar yang menghimpunkan tetamu dari 13 hartanah mereka yang lain.
Daripada lawatan pulau ke St. John’s dan Kusu, pendakian alam semula jadi di Bukit Timah, hinggalah bengkel suntingan video CapCut – kebanyakan kegiatan itu percuma atau diberi subsidi dan direka untuk menggalakkan interaksi merentas lokasi.
Sayangnya, ketika saya menginap dari 17 hingga 19 Jun, tiada acara dijadualkan.
Namun begitu, Coliwoo menyediakan lawatan sejarah berpandu sekitar Kampong Gelam yang sangat membuka mata.
Saya juga diberi peta mural untuk meneroka seni jalanan di sekitar, menjadikan penginapan itu lebih bermakna.
Sebagai wartawan foto, kunjungan saya ke Kampong Gelam selalunya atas tugasan: Datang, ambil gambar, dan pulang.
Namun, kali ini saya benar-benar meluangkan masa untuk melihat kawasan itu dari sudut berbeza.
Buat kali pertama, saya menyelami bukan sahaja visual, bahkan juga cerita dan sejarah yang tersirat di sebalik setiap lorong, bangunan dan mural yang saya temui.
Walaupun konsep co-living sering dikaitkan dengan gaya hidup sosial, Coliwoo Hotel Kampong Glam, tetap menawarkan fleksibiliti yang menghormati keperluan individu.
Sama ada anda ingin menyertai kegiatan kemasyarakatan atau lebih selesa menyendiri, pengalaman menginap di situ tetap memuaskan.
Bagi pengembara yang gemar meneroka seni jalanan, mencuba sajian tempatan atau menikmati suasana kafe serta kehidupan malam, Coliwoo bukan sekadar tempat bermalam.
Ia merupakan pintu masuk kepada pengalaman budaya yang lebih mendalam di tengah-tengah warisan kota.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg