Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hiburan jaz santai satukan tiga penghibur Nusantara

Misi Ermy Kullit, Rozie Rahim dan Sean Ghazi kikis tanggapan jaz muzik elit ‘orang atas’
Jul 12, 2023 | 05:30 AM



Irama jaz yang kadangkala disalah anggap sebagai muzik ‘golongan atas’ mahupun elit menyatukan tiga penghibur dari negara Nusantara – Singapura, Malaysia dan Indonesia, di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 8 malam Sabtu.

Penyanyi asal lagu Indonesia Kasih yang sudah distrim lebih dua juta kali di gedung digital Spotify, Ermy Kullit, akan kembali ke Kota Singa yang pernah menjadi tempatnya mencari rezeki di kelab malam Tropicana sekitar Scotts Road selama tiga tahun antara 1975 hingga 1978.


Rozie Rahim, anak ‘Nat King Cole Singapura’, Rahim Hamid, tampil sebagai artis yang akan mengembalikan nostalgia anda pada lagu malar segar yang diberi improvisasi dan suntikan jaz. Beliau juga pengurus penerbitan bagi acara ini.

Dalam pada itu, ‘crooner’ (penyanyi lelaki yang mendendangkan lagu merdu dengan nada rendah) Malaysia yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu P. Ramlee, Sean Ghazi, juga bakal membuai anda dengan suara merdunya yang mempesona.

Sajian hiburan Jazz@Persada yang disajikan secara percuma dipersembahkan WGS dengan kerjasama Dstar Management dengan sokongan Jalur Budaya Geylang Serai.


Ketika dihubungi Berita Harian, Hafeez Glamor selaku wakil penganjur dari Dstar Management, berkata:


“Kami ingin orang ramai mengenali jaz dan menikmati muzik bermutu. Perlu bagi generasi mendatang menyerap muzik yang dapat memperkaya pendengaran dan penghayatan mereka. Ia lebih dari setakat hiburan.

“Saya dapati Singapura masih lagi tertinggal dalam kemajuan mengetengahkan muzik bertahap tinggi berbanding Indonesia, Filipina dan Malaysia. Justeru, inilah peluang bagi kami berkongsi sesuatu yang baik buat santapan halwa telinga.”

Rozie yang membesar dengan muzik Frank Sinatra, Perry Como, Tony Bennett dan Patti Austin pula menambah:

“Berbanding kakak saya, Rahimah Rahim, yang cenderung dengan irama pop, saya lebih tertarik pada irama jaz. Saya membesar dengan mendengar hanya lagu nyanyian bapa saya, Rahim Hamid, dan bapa saudara saya, Datuk Ahmad Daud.

“Pada usia saya 13 tahun, tatkala rakan-rakan lain dibuai dengan irama balada cinta Air Supply, saya pula lebih terpikat pada lagu band ‘swing’, jazz dan R&B, The Manhattan Transfer. Saya juga gemar menyanyikan lagu-lagu Ermy Kullit yang boleh dianggap Ratu Jaz Indonesia pada ketika itu.

“Justeru, idea kami mengadakan Jazz@Persada ini adalah bagi menyemarakkan jaz dalam kalangan masyarakat Melayu. Kami ingin memperkenalkan irama yang agak menyepi dalam masyarakat kita berbanding masyarakat lain yang begitu bersemangat mempromosikannya.


“Ada banyak unsur muzik jaz dan juga genre sampingannya yang mungkin belum cukup didedahkan kepada masyarakat kita. Ramai tahu jaz pop yang dibawa Ratu Jaz Malaysia, Datuk Sheila Majid, tetapi tidak tahu ada banyak lagi khazanah yang perlu digali dalam irama jaz.

“Kami berbesar hati WGS memberi ruang bagi kami memperkenalkan semula irama ini buat pendengaran masyarakat Melayu serta menguar-uarkan keindahan muzik ini, apa asal-usulnya dan bagaimana kedudukannya kini dalam industri muzik.”

Lagu-lagu Nat King Cole, katanya, adalah antara yang akan disajikan pada malam itu.

Ermy yang menyambut ulang tahun ke-50 dalam industri hiburan tahun lalu pula bagaikan terjebak dalam nostalgia apabila diminta menyentuh tentang cintanya pada irama jaz.

“Saya sebenarnya lebih suka jika dikenali sebagai penyanyi pop yang boleh menyanyikan atau membawakan irama jaz. Kalau dicabar dengan lagu dangdut pun, saya tidak menolak. Saya mula mengenali jaz lama dahulu kerana berkecimpung dalam bidang nyanyian secara profesional di kelab malam termasuk di Tropicana, di Singapura. Sebagai penyanyi kelab, saya perlu tahu bermacam jenis muzik.

“Namun, saya berbesar hati dapat membawakan lagu Kasih yang dicipta Richard Kyoto, yang dihasilkan pada 1986. Ia adalah lagu ‘wajib’ yang diminta kalau saya ada di sesebuah majlis. Ia adalah lagu yang amat dikenali di Nusantara dan kalau di Malaysia, orang akan ingat versi keroncongnya yang dibawa Hetty Koes Endang.


“Pada acara ini, bolehlah orang ramai mengenali versi asli yang saya bawa sebagai penyanyi asal lagu ini. Saya membesar dengan mendengar lagu jaz Ella Fitzgerald dan Salena Jones. Kalau ingin kenal asas jaz, dua penyanyi ini harus dijadikan sandaran.

“Selebihnya, saya banyak belajar ketika membawa lagu jaz, bossanova dan swing bersama band Ireng Maulana All Stars,” kongsinya yang merakamkan lagu baru Melodi Asmara tahun lalu di bawah kontrak rakaman lima tahun dengan sebuah label di Indonesia, Emotion Entertainment.


Sean yang baru selesai Konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 bersama Liza Hanim di seberang Tambak pula berkata beliau condong pada muzik yang lunak didengar, berbaur jazz dan vintaj.


“Saya selesa dengan irama dari senarai lagu atau khazanah muzik Malaya yang menyatukan Singapura dan Malaysia dek warisan yang dikongsi bersama. Dari segi lagu, saya terpengaruh oleh muzik dari P. Ramlee, Frank Sinatra, Michael Buble dan Josh Groban. Dari segi persembahan, saya suka dengan gaya Elvis Presley dan Anita Sarawak.

“Saya akur, sebut tentang jaz, ia kekata yang menakutkan kerana label seperti ia muzik ‘terlalu atas’. Orang akan kata mereka tak faham jaz atau tak dapat kaitkan diri mereka dengan jaz. Mudah-mudahan dengan apa yang kita usahakan bagi Jazz@Persada, kita dapat luputkan rasa takut sebab jaz adalah muzik untuk semua orang tanpa mengira siapa mereka dan latar belakang mereka,” tambahnya.


Apa yang menarik tentang Sean yang pernah menjayakan filem antarabangsa Anna and the King di samping Jodie Foster dan Chow Yun-Fatt adalah ibunya Vicky Ghazi, seorang peragawati berbangsa Serani, pernah berlakon dalam filem P. Ramlee, Tiga Abdul, sebagai ‘Sabarina Kekasih Lama’.


Apakah nasihat ibunya kepada Sean bagi melayari dunia hiburan?

“Ibu saya hanya berlakon dalam satu filem sahaja. Selepas itu, datuk dan ayah saya tidak izinkan beliau berlakon lagi. Pesannya hanyalah, ‘Kalau awak bagus dalam satu bidang, teruskan. Kalau tidak, cari kerja lain’,” ujar Sean.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >