Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aaron Aziz bukan mudah melatah tapi pantang kalau ada ugut buat tak baik pada isteri, anak-anak

Jan 8, 2026 | 10:21 PM
Datuk Aaron Aziz akui beliau bukan jenis yang ada masa melungsuri komen netizen tetapi akan tampil seandainya ada yang mengacam keselamatan keluarganya.
Datuk Aaron Aziz akui beliau bukan jenis yang ada masa melungsuri komen netizen tetapi akan tampil seandainya ada yang mengacam keselamatan keluarganya. - Foto ASTRO SHAW

KUALA LUMPUR: Bukan mudah melatah, sebaliknya pelakon asal Singapura, Datuk Aaron Aziz, terpaksa tampil bersuara demi mempertahankan maruah serta keselamatan isteri dan anak-anaknya selepas menerima ugutan melampau di media sosial.

Menurut pelakon filem kolaborasi Malaysia-Hong Kong, Black Ops itu, beliau bukan individu yang gemar melayan atau membaca setiap kecaman dilemparkan terhadapnya.

Bagaimanapun, Aaron berkata, beliau tampil bersuara apabila ada pihak melibatkan isteri dan anak-anaknya, malah mengugut untuk melakukan perkara tidak baik terhadap insan tersayang.

“Saya bukan orang yang ada banyak masa untuk membaca setiap komen di media sosial.

“Cuma kebetulan saya terbaca komen daripada seorang pemilik akaun palsu yang bagi saya sudah keterlaluan.

“Selalunya saya tidak membaca dan akan terus padam atau sekat komen mengarut, tetapi yang ini melampau kerana niatnya mahu melakukan perkara bukan-bukan terhadap anak dan isteri saya.

“Jadi, saya tidak boleh berdiam diri lagi,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malysia (BHM) pada sidang media dan pelancaran filem Black Ops, baru-baru ini.

Aaron berkata selain meninggalkan komen berunsur lucah, pemilik akaun palsu itu turut meminta beliau pulang ke negara asalnya, Singapura.

Namun, kata Aaron, ugutan sedemikian bukan perkara baharu dan beliau mengakui sudah lali menerimanya.

“Ini bukan kali pertama. Mungkin orang yang sama, cuma menggunakan akaun berbeza.

“Saya tidak boleh paksa semua orang untuk suka saya. Mungkin individu itu ada masalah sendiri. Apa yang penting, kami sekeluarga selamat.

“Nak tinggalkan komen perlu ada batas. Kalau saya seorang saja yang terkena, saya okay. Tetapi bila melibatkan anak dan isteri, saya perlu mempertahankan mereka demi menjaga kesihatan mental,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aaron turut berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem Black Ops yang menyaksikan dia kembali bekerjasama dengan sutradara terkenal, Syafiq Yusof.

Menurutnya, penggambaran filem berkenaan dijadualkan bermula bulan ini (Januari) dan menampilkan aksi berskala besar.

“Babak aksi dalam filem ini tidaklah sebesar filem Banduan, jadi saya tiada masalah menjayakan aksi lagak ngeri.

“Jika dibandingkan, perwatakan saya dalam Banduan lebih besar, tetapi dari sudut aksi, Black Ops lebih gempak dan berskala besar,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg