Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ada pawagam di M’sia sudah henti tayangan ‘Telaga Suriram’

Pengarah filem, Osman Ali lahir rasa kecewa kerana pawagam dibanjiri filem luar
May 15, 2025 | 7:02 PM
Pengarah filem Telaga Suriram, Osman Ali (kiri) bersama peminat yang hadir tonton filemnya. Beliau berharap agar pawagam di Malaysia dapat meneruskan tayangan bagi filem arahannya kerana masih ada peminat yang ingin menonton.
Pengarah filem Telaga Suriram, Osman Ali (kiri) bersama peminat yang hadir tonton filemnya. Beliau berharap agar pawagam di Malaysia dapat meneruskan tayangan bagi filem arahannya kerana masih ada peminat yang ingin menonton. - Foto INSTAGRAM OSMAN ALI

Pengarah filem Telaga Suriram, Osman Ali mengharapkan filem itu dapat terus ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia memandangkan masih ada golongan peminat yang hadir menontonnya.

Osman berkata, filem itu masih berada dalam carta 10 teratas minggu lalu (5-11 Mei) dan masih mendapat sambutan walaupun ia bukan sambutan luar biasa.

“Perkara seperti ini memang sering berlaku. Kita faham bahawa filem ini tidak menerima sambutan yang luar biasa. Namun, sambutannya masih ada dan memuaskan.

“Masih ada penonton datang ke pawagam untuk memberikan sokongan. Malah, pada minggu lalu, filem ini masih berada dalam carta 10 teratas.

“Saya sebenarnya mengharapkan agar masih ada tayangan di beberapa pawagam yang menerima sambutan sehingga hujung minggu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Osman sebelum itu memuat naik hantaran di Instagram mendakwa ada rangkaian pawagam sudah menghentikan tayangan filemnya.

Memahami situasi di mana kebanjiran filem luar turut ditayangkan dalam tempoh sama, beliau tidak mampu menahan rasa kecewa atas situasi yang berlaku.

“Namun, apabila saya semak senarai pawagam, tayangannya sudah tiada. Saya tidak mahu menyebut secara khusus nama pawagam, tetapi saya tahu masih ada beberapa pawagam yang menayangkannya.

“Secara jujurnya, saya agak kecewa. Ini kerana kami juga berjuang untuk mendapatkan ruang tayangan di pawagam.

“Saya faham bahawa sekarang banyak filem luar negara yang masuk, dan pawagam mungkin perlu memberi laluan kepada filem baru lain,” katanya.

Ketika beberapa filem tempatan lain terpaksa ‘berundur’, Telaga Suriram terus bertahan di beberapa pawagam.

“Dari sudut peribadi, saya rasa agak terkilan kerana saya mengharapkan sokongan daripada pihak tertentu terhadap filem tempatan.

“Dalam persaingan yang begitu banyak, ada filem yang terpaksa berundur awal. Alhamdulillah, filem Telaga Suriram masih menerima sambutan di sesetengah lokasi.

“Saya berharap beberapa pawagam yang masih menerima sambutan akan meneruskan tayangan untuk beberapa hari lagi.

“Saya juga faham di mana syaratnya adalah dua minggu tayangan minimum. Maka, pihak pawagam mempunyai hak untuk menarik tayangan selepas tempoh itu tamat,” katanya.

Mencatat angka kutipan RM1.5 juta selepas dua minggu ditayangkan, Osman dengan rasa bersyukur berharap agar peluang untuk tayangan diteruskan akan menambah angka itu.

“Apa yang saya luahkan ini adalah pandangan peribadi. Alangkah baiknya jika Telaga Suriram ini dapat ditayangkan lebih lama, supaya kita boleh mengutip sedikit lagi hasil.

“Dalam masa yang sama, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pawagam-pawagam yang masih meneruskan tayangan, khususnya pawagam bebas.

Dari segi kutipan setakat ini, angkanya berada dalam lingkungan RM1.5 juta. Saya tidak pasti jumlah tepat, tetapi dalam lingkungan itu saya anggap ia masih memadai.

“Malah ada filem lain yang kutipannya lebih rendah, tidak sampai RM500,000. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan, terutamanya dalam situasi sekarang di mana begitu banyak filem sedang ditayangkan serentak,” katanya.

Menerusi perhatian Berita Harian, filem tersebut masih ditayangkan di Singapura pada 15 dan 16 Mei di pawagam rangkaian Golden Village (GV) pada beberapa masa tayangan dan di beberapa lokasi termasuk GV Vivocity, Bedok, Tampines, Jurong Point dan Yishun.

Telaga Suriram yang ditayangkan bermula dibintangi Maya Karin, Nabila Huda, Farid Kamil, Scha Alyahya, Puteri Rafasya, Ellie Suriaty dan ramai lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg