Addy Cradle harungi cabaran muzik dengan semangat, harapan baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Addy Cradle harungi cabaran muzik dengan semangat, harapan baru

Apabila pandemik Covid-19 melanda, gitaris handal kumpulan Cradle hilang satu-satunya sumber rezeki dan mata pencarian
Feb 15, 2026 | 5:30 AM

Addy Cradle harungi cabaran muzik dengan semangat, harapan baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
addy cradle
Pemain gitar kumpulan Cradle, Addy Rasidi, dilanda ujian berat ketika pandemik Covid-19 melanda sehingga kehilangan mata pencarian dan rumah. - Foto INSTAGRAM ADDY CRADLE

Bagi pencipta lagu dan gitaris handal, Addy Rasidi, atau lebih dikenali sebagai, Addy Cradle, 50 tahun, muzik telah pun mendarah daging dalam dirinya sejak kecil lagi.

Namun, dunia yang dihuninya selama ini menjadi gelap apabila pandemik Covid-19 melanda, meragut satu-satunya punca rezeki dan mata pencariannya.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan saya, ketika itu.

“Saya hilang satu-satunya sumber pendapatan, termasuklah rumah saya.

“Seperti orang lain, saya perlu keluar bekerja, lebih-lebih lagi kerana saya bekerja di kelab malam.

“Disebabkan tidak dapat bekerja di luar semasa pandemik, saya mula mencuba dan mendalami bidang hortikultur.

“Kebetulan, bapa dan datuk saya turut berminat dalam bidang hortikultur, jadi saya dapat ilham daripada mereka.

“Walaupun begitu, muzik tetap menjadi keutamaan dan perkara paling penting dalam hidup saya,” kata Addy, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Saat hampir kehilangan rumah adalah detik paling getir yang dilalui Addy sepanjang pandemik.

Diuji dengan dugaan yang hampir mematahkan semangatnya, Addy tetap berpegang teguh kepada kepercayaan dan ketentuan Ilahi.

“Ketika itu, saya seorang yang bekerja sepenuh masa. Manakala isteri saya, hanya melakukan kerja sambilan.

“Pada masa sama, anak-anak saya pula masih bersekolah.

“Sebelum pihak bank menarik rumah, saya sempat menjualnya.

“Kami fikir keadaan akan bertambah baik selepas pandemik, namun harga rumah melambung naik.

“Itu memang tempoh yang sangat sukar bagi saya, yang hampir hilang segalanya.

“Ada rasa ingin berputus asa, tetapi nasib baik, kita ada pegangan,” ujar bapa dua anak berusia 22 dan 24 tahun itu.

Bagaimanapun, di sebalik dugaan yang berat, Addy menemui kekuatan serta semangat baru dengan sokongan keluarganya.

“Sudah tentu, yang menjadi semangat saya ketika itu adalah keluarga.

“Mereka bergantung kepada saya, jadi saya tidak boleh terus-terusan rasa ‘down’.

“Dalam kehidupan ini, saya selalu percaya ada orang yang memiliki nasib lebih teruk.

“Di usia sebegini, saya fikir pastinya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku dalam kehidupan,” kata Addy lagi.

Selepas pandemik Covid-19 berakhir, Addy menyahut peluang untuk menyambung pengajian ijazah sepenuh masa di Maktab Seni LaSalle, dalam bidang penciptaan dan penyusunan muzik. Namun dugaan sebagai pelajar dihadapinya dengan penuh getir.

“Saya sempat menghadiri satu semester sahaja, iaitu sekitar enam bulan.

“Namun, saya ingat tempoh itu cukup mencabar sehingga saya mengalami tekanan darah tinggi.

“Masalahnya, malamnya saya masih perlu bekerja di kelab malam, dan keesokan paginya saya terpaksa berada di kampus seawal jam 8 pagi.

“Saya juga perlu menyesuaikan diri semula dengan penulisan esei dan melakukan kajian, yang mana kededua aspek ini menuntut masa dan kesabaran yang cukup.

“Bagaimanapun, saya sangat menikmati proses belajar di LaSalle.

“Walaupun saya tidak sempat menamatkan pengajian, dekan saya sangat memahami dan sentiasa membuka ruang untuk saya kembali sambung belajar jika mahu,” kata Addy, yang saat ini belum ada perancangan untuk menyambung pengajian dek komitmennya dalam bidang muzik.

Mengulas mengenai nilai murni yang diterapkan oleh ikon muzik, Datuk Ramli Sarip, Addy menyifatkan kegigihan beliau dalam menyantuni peminat sebagai satu inspirasi besar.

Contoh baik itulah yang membakar semangatnya untuk menghidupkan semula perjuangan kumpulan Cradle, yang sudah 20 tahun tidak aktif dalam bidang muzik serantau, dengan penuh iltizam.

“Sepanjang mengenali Datuk Ramli Sarip, beliau kerap berkongsi pengalaman bagaimana beliau sanggup mengunjungi kampung-kampung terpencil untuk mendekati masyarakat dan memperkenalkan muziknya.

“Bagi saya, mungkin inilah antara faktor kejayaan beliau hingga ke tahap sekarang, kerana beliau tidak hanya bergantung pada media, tetapi benar-benar menyapa peminat secara dekat, termasuk mereka yang tinggal jauh dari bandar suatu ketika dahulu.

“Mengambil inspirasi dari kisahnya, saya juga merancang agar Cradle mengikuti jejak langkah yang sama.

“Selain menggunakan platform media sosial, kami berharap dapat berinteraksi dengan penonton melalui persembahan atau jelajah kecil-kecilan, bagi mewujudkan pengalaman yang lebih intim, peribadi serta bermakna,” kata Addy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg