Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rosli Mohalim tidak lelah, bangkit ‘busking’ selepas strok

Gitaris legenda Sweet Charity petik gitar sambil nyanyi lagu klasik Inggeris, Melayu demi cinta pada muzik
Jul 19, 2025 | 5:30 AM
Rosli Mohalim, sweet charity
Gitaris kumpulan era 1970-an, Sweet Charity, iaitu Rosli Mohalim, pernah berdepan tekanan apabila tidak dapat bermain gitar disebabkan serangan strok yang menghambat pergerakan tangan kanan pada akhir 2021 lalu. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Bagi penghibur berpengalaman yang sudah biasa buat konsert dan persembahan, tak kira di mana-mana tempat sekali pun boleh dijadikan gelanggang hiburan yang mengasyikkan dan memacu semangat penonton untuk bangkit daripada kesuraman.

Begitulah penangan gentelan gitar penuh jiwa ‘otai’ dan gitaris legenda, Rosli Mohalim, 71 tahun, yang masih lagi terasa kehangatan getarannya. 

Ketika ditemui Berita Harian (BH) sekitar Pusat Penjaja Changi Village pada 17 Julai, Rosli sedang bermain gitarnya yang dihiasi manik-manik berkilauan sambil menghiburkan orang ramai dengan beberapa untaian lagu ‘retro’ era 1970-an, baik dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris.

Antara lagu yang dimainkan termasuk Wonderful Tonight oleh Eric Clapton; To Love Somebody oleh Bee Gees; I Don’t Want To Talk About It oleh Rod Stewart.

Sementara itu, lagu Melayu pula terdiri daripada Widuri, nyanyian asal Bob Tutupoly, dan Benci Tapi Rindu, dendangan asal Diana Nasution.

Orang ramai yang mengenalinya turut tampil menyapa dan bersembang dengan gitaris legenda kumpulan Sweet Charity itu.

Menurut Rosli, beliau mula menjadi seniman jalanan atau ‘busking’ kira-kira dua tahun lalu (2023) selepas mengalami serangan angin ahmar pada November 2021.

Akibat angin ahmar yang dihadapinya, beliau mengalami kekangan pergerakan terutama pada bahagian tangan kanan.

Kekangan ini membuatkan beliau hilang semangat dek tidak dapat bermain gitar seperti sediakala.

“Sebelum ini, saya sering mengadakan persembahan dan konsert. 

“Namun, selepas diserang strok, saya tidak dapat berbuat apa-apa dan berasa sangat ‘down’.

“Pada 2022, selepas setahun menjalani rawatan dan terapi seperti akupunktur dan fisioterapi, saya kian pulih secara perlahan, tetapi masih belum boleh bermain gitar seperti dulu,” katanya kepada BH.

Sekitar 2023, dengan kekuatan yang kembali sedikit demi sedikit, Rosli cuba bermain gitar semula, bermula dengan ‘busking’ sekitar Johor Bahru, Malaysia.

Kemudian, beliau membuat permohonan melalui Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan lulus uji bakat ‘busking’ di Singapura.

Rosli mula membuat persembahan di jalanan Singapura pada Ogos 2024, di tempat-tempat yang telah ditetapkan NAC.

Kini menetap di Johor Bahru, beliau kekal aktif membuat persembahan jalanan di Singapura dengan kerap berulang-alik ke sini.

“Perjalanan pergi ke sini (Singapura) mengambil masa sekitar dua jam. Begitu juga bagi perjalanan pulang. 

“Biasanya, saya akan keluar rumah sekitar 10 pagi dan mula membuat persembahan antara 11 pagi dengan 12 tengah hari. 

“Saya akan ‘busking’ selama tiga hingga empat jam sehari, lalu saya akan berhenti sekitar 7 malam sebelum pulang semula ke Johor Bahru.

“Pada awalnya, isteri saya agak bimbang juga. Beliau risau kerana saya bukan seorang penyanyi, sebaliknya pemain gitar. 

“Dia khuatir persembahan saya mungkin tidak diterima ramai kerana takutkan suara saya tidak begitu sedap,” kata Rosli, yang telah berpindah ke Johor Bahru sejak 2002.

Demi meneruskan kegiatan ‘busking’, datuk dua cucu itu akur perlu mengawal dan menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi kerana beliau turut menghidapi kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol.

Ketika ditanya tentang kemungkinan mengadakan semula konsert bersama kumpulan Sweet Charity, Rosli menjelaskan segala perancangan bagi kumpulan yang terkenal dengan lagu Teratai dan Kamelia itu bergantung kepada keputusan vokalis utamanya, Datuk Ramli Sarip.

Sementara menantikan sebarang peluang untuk kembali berpadu tenaga bersama kumpulan legenda itu, beliau mengisi masanya dengan pelbagai kegiatan. 

Selain muzik yang sudah menjadi darah dagingnya, beliau turut menghasilkan seni kristal dan meluangkan masa dengan memancing sebagai hobi.

“Dalam kehidupan, saya ada dua hingga tiga kegiatan yang saya lakukan. 

“Nombor satu, muzik. Nombor dua, membuat seni kristal. Nombor tiga, hobi memancing,” katanya.

Beliau pernah menjadikan hasil karya seni kristal sebagai sumber pendapatan kecil, namun selepas diserang strok pada 2022, Rosli terpaksa menghentikan kegiatan itu buat sementara waktu.

Menyentuh tentang kolaborasi istimewa beliau bersama 70 pemain gitar melalui satu rangkaian video Kolaborasi Gitar Terbesar Singapura 2024, Rosli mengakui dirinya cukup teruja melihat ramai bakat hebat terlibat. 

Idea untuk kolaborasi pertama lagi terbesar gitaris di Singapura dengan mengumpulkan 70 gitaris handalan merupakan cetusan idea pemuzik tempatan, Olly Maguire, 48 tahun, yang juga gitaris.

Tujuan kerjasama ini adalah untuk memberi pengiktirafan yang selayaknya kepada pemuzik tempatan, menggabungkan gitaris dengan pelbagai tingkat kemahiran dan pengalaman dalam satu projek yang sama.

Rosli turut menitipkan nasihat bagi pemain gitar muda agar tidak hanya menumpukan pada kepantasan pergerakan jari dalam memainkan irama dan rentak atau teknik yang rumit semata-mata. 

“Main gitar bukan hanya tentang siapa paling laju. 

“Ada unsur yang lebih halus iaitu penghayatan rasa, penjiwaan dan pengalaman yang membentuk kekuatan sebenar seorang pemain gitar,” pesan Rosli.

“Sebelum ini, saya sering mengadakan persembahan dan konsert.  Namun, selepas diserang strok, saya tidak dapat berbuat apa-apa dan berasa sangat ‘down’. Pada 2022, selepas setahun menjalani rawatan dan terapi seperti akupunktur dan fisioterapi, saya kian pulih secara perlahan, tetapi masih belum boleh bermain gitar seperti dulu.”
Rosli Mohalim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg