Topic followed successfully
Go to BHkuSelepas 2 dekad menyepi, Cradle kini hadir dengan album baru
Selepas 2 dekad menyepi, Cradle kini hadir dengan album baru
‘Hela Nafasku’ hidupkan getaran muzik ‘grunge’ era 1990-an, santuni peminat dengan lagu rok dan Hari Raya
Selepas 2 dekad menyepi, Cradle kini hadir dengan album baru
Hampir dua dekad menyepi, kumpulan rok alternatif yang ditubuhkan pada 1995, Cradle, membuat kemunculan semula dengan album studio baru yang sudah lama dinanti-nantikan.
Menghidupkan semula getaran muzik ‘grunge’ pada era 1990-an, getaran muzik pernah menguasai serantau ini, Cradle akhirnya mengotakan impian yang tertangguh lama.
Album terbaru kumpulan Cradle yang berjudul Hela Nafasku, mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Dalam tempoh itu, pengasas Cradle dan pemain gitar handal, Addy Cradle, atau nama sebenarnya, Addy Rashidi, 50 tahun, menumpukan usaha mencari anggota baru serta menyiapkan sekitar 10 buah lagu, tidak termasuk lagu instrumental.
Ketika ditemu bual Berita Minggu (BM) mengenai tempoh penantian panjang sebelum tampil dengan album baru, Addy berkata:
“Sebenarnya, selepas 2007, saya berharap dapat bersatu semula dengan anggota terdahulu untuk merakamkan album baru.
“Namun, masing-masing sibuk dengan komitmen peribadi sehingga sukar mencari waktu yang tepat.
“Apatah lagi, hanya saya yang masih aktif dalam bidang muzik secara sepenuh masa.
“Jadi, saya tak boleh terus menunggu sehingga mereka bersedia.”
Album ini diterbitkan di bawah naungan syarikat rakaman milik, seniman legenda, Datuk Ramli Sarip, yang turut berperanan sebagai penasihat eksekutif.
Bagi projek ini, Addy memegang beberapa peranan penting termasuk sebagai penerbit, pengarah artistik, dan pengatur muzik.
Selain itu, proses rakaman bagi album ini dilakukan di Studio 47 di Singapura, dan Sonic di Malaysia, menekankan kerjasama rentas sempadan.
Kini, kumpulan Cradle kembali melangkah dengan semangat baru, diperkuatkan lagi dengan kehadiran anggota yang berasal dari Malaysia.
Addy menerima hakikat langkah itu perlu diambil bagi memastikan barisan anggota terdiri daripada mereka yang mampu memberi tumpuan sepenuh masa kepada muzik, sekali gus menjamin kesinambungan kumpulan tersebut untuk terus bertahan dan tampil dengan karya baru lagi bertenaga.
Anggota baharu Cradle terdiri daripada vokalis, Eiz Mohd, 44 tahun; pemain gitar bes, Zul Wahab, 36 tahun; dan pemain dram, Adha Lizam, 29 tahun. Sementara itu, Addy kekal sebagai pemain gitar.
Menariknya, Addy turut berkongsi kisah mencuit hati apabila Adha berdepan dilema berat untuk menerima ‘lamaran’ menyertai Cradle, gara-gara tekanan memikirkan peluang bekerjasama dengan Addy.
“Memang agak sukar untuk mencari pemain dram ketika itu. Kami sudah ada vokalis, Eiz, dan pemain gitar bes, Zul.
“Kami pun sudah mula membuat persembahan di luar walaupun tanpa pemain dram.
“Saya kemudian berkenalan dengan Adha melalui rakan-rakan di Kuala Lumpur.
“Pada mulanya, dia setuju, tetapi menghilang sebentar.
“Setahun kemudian, barulah dia kembali dan berterus-terang, ‘Abang (panggilan untuk Addy), masih ada peluang ke? Sebenarnya saya takut.’
“Dia sangka saya seorang yang keras, tetapi saya tidak pernah memaksa sesiapa jika mereka tidak dapat memberi komitmen penuh,” kata Addy sambil tertawa.
Susulan kesediaan Adha menyertai Cradle sebagai pemain dram, Addy memutuskan untuk merakam semula seluruh lagu dalam album baru, agar setiap rentak dan nuansa muzik dapat disemarakkan lagi dengan sentuhan khas daripada Adha.
“Pada mulanya, saya sudah merakam kesemua lagu dalam album ini dengan bantuan pemain dram lain sebagai pemain sementara.
“Tapi, disebabkan ‘budak’ ini (Adha), saya rakam semula! Saya tak mahu album Cradle ini dimainkan tanpa sentuhannya.
“Saya juga percaya setiap individu mempunyai ciri khas tersendiri.
“Itulah yang menurut saya mampu menyentuh rasa dan jiwa dalam setiap karya muzik,” ujarnya.
Selain lagu rok yang membangkitkan nostalgia, Cradle turut menghadiahkan peminat dengan lagu Lebaran berjudul Takbir Syawal dalam album ini yang sarat dengan kesyahduan bagi menambahkan lagi makna sambutan Aidilfitri.
Seterusnya, Cradle merancang siri jelajah mini ke beberapa lokasi terpilih sekitar Malaysia seperti kafe di Johor, Ipoh dan Pulau Pinang, bagi mempromosikan album serta mendekati peminat, khususnya golongan muda, dengan lebih dekat.

