Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

A Aida mula sedar di ICU, selepas rebah ketika rawatan fisioterapi

Sep 29, 2025 | 5:04 PM
Pelakon sekali gus penerbit popular Malaysia, Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, rebah semasa menjalani rawatan fisioterapi pada 25 September, dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Pelakon sekali gus penerbit popular Malaysia, Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, rebah semasa menjalani rawatan fisioterapi pada 25 September, dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto NSTP

Keadaan kesihatan pelakon sekali gus penerbit popular Malaysia, Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 55 tahun, dimaklumkan sudah membaik dan boleh bercakap setelah ditidurkan baru-baru ini.

Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga rapat dengan A Aida, memaklumkan bahawa rakan baiknya itu baru sahaja menjalani pembedahan lutut pada 23 September lalu dan ketika itu, berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan fisioterapi pada 25 September, beliau rebah dan tidak sedarkan diri.

Sejak kejadian tersebut, A Aida ditidurkan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Semasa menjalani fisioterapi, beliau meminta untuk ke tandas kerana berasa mual. 

“Namun, beliau rebah dan wajahnya pucat sebelum segera dibawa ke katil.

“Ketika jururawat memeriksa, beliau didapati tidak sedarkan diri. 

“Keadaannya juga tidak stabil kerana tekanan darahnya turun naik.

“Setahu saya, beliau tidak pernah menghidap penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi,” kata Mohd Izhar dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebelum ini, Mohd Izhar turut difahamkan oleh doktor bahawa A Aida ditidurkan bagi membenarkan otaknya berehat, selain menyiasat bagaimana pembedahan lutut itu boleh menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Berkongsi lanjut tentang perkembangan terkini sahabatnya, Mohd Izhar memaklumkan A Aida sudah boleh bercakap selepas menyedarkan diri pada 28 September.

“Alhamdulillah, sahabat saya, A Aida sudah kembali sihat dan kini sedang berehat.

“Kali terakhir saya menziarahinya bersama anak-anak beliau sekitar 1 tengah hari (28 Sep).

“Alhamdulillah, beliau sudah boleh bercakap dan minum. 

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan artis, wartawan dan rakan taulan yang bertanya khabar serta mendoakan.

“Semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya,” ujar Mohd Izhar.

Perkembangan positif itu turut dimaklumkan oleh anak A Aida, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 24 tahun, yang juga seorang pelakon, melalui satu hantaran yang dimuat naiknya di laman Instagram.

Azeva merupakan anak hasil perkahwinan A Aida dan bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng.

“Alhamdulillah, Mama (panggilan bagi A Aida) sudah sedarkan diri.

“Namun, harus sering dipantau dan masih belum boleh dipindahkan ke wad biasa,” tulisnya sambil memuat naik foto sedang menggenggam tangan ibunya.

Dalam pada itu, Azeva turut memohon maaf kepada kenalan yang ingin menziarahi ibunya bagi mengelak risiko jangkitan kuman.

“Kepada kawan-kawan Mama, saya minta maaf tapi doktor tidak benarkan orang luar untuk melawat Mama buat masa sekarang, kerana takut jangkitan kuman sekali gus tidak ingin ambil apa-apa risiko.

“Saya ingin memohon jasa baik semua untuk terus mendoakan agar Mama sembuh sepenuhnya. 

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda semua,” kata Azeva.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg