Penerbit drama, Datuk A Aida, bakal menawarkan kerja bulanan selama setahun kepada Dharma Harun Al-Rashid bagi meringankan beban pelakon veteran itu.
Bagaimanapun, pengasas A Aida Production itu berkata tugasan itu ditawarkan jika prestasi Dharma dalam telefilem Kisah Cinta Kau & Aku yang akan memulakan penggambaran pada 15 Ogos ini, memuaskan.
“Saya hendak tengok kemampuan Dharma dalam telefilem itu. Jika lakonannya bagus, insya-Allah setiap bulan saya akan beliau beliau ‘job’,
“Saya akan jaga beliau selama setahun. Semoga Allah mempermudahkan niat saya itu,” katanya pada sidang media telefilem Bos Nak Cuti, pada 25 Julai lalu.
Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Aida menjelaskan biarpun tawaran itu tidak banyak, sekurang-kurangnya Dharma mempunyai pendapatan tetap.
“Bayaran akan diberi kepada Dharma ikut babak. Jika banyak adegan, banyaklah upah yang beliau dapat.
“Jika watak sampingan sekalipun mungkin boleh dapat antara RM2,000 ke RM3,000 ($606.75-$910.42) sebulan,” katanya.
Aida juga sedia memberi tawaran sama kepada anak Dharma, iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad.
Sebelum ini, keperitan hidup Dharma yang membintangi filem Adik Manja pada era 1980-an, tular, gara-gara video menampakkan tubuhnya menyusut. Dharma juga hilang mata pencarian selepas dilapor tiga tahun tidak ditawar berlakon.
Dharma, 69 tahun, dalam pada itu, teruja apabila filem lakonan yang dijayakan dua tahun lalu (2023), iaitu ketika dirinya masih sihat, bakal ditayangkan di pawagam tempatan, tidak lama lagi.
Filem aksi tersebut turut dibintangi anaknya, Muhammad Al Syafiq, 36 tahun, dan berjudul Felai FX, terbitan AMP Moves Sdn Bhd dengan kerjasama Sheunik Sdn Bhd.
Dharma berkata beliau ditawarkan membintangi filem Felai FX oleh penerbit, Richard Ung.
“Richard memang ‘gila’ sedikit. Apabila nampak saya, dia terus ajak berlakon. Anak saya pun dia ajak sekali. Sudah lama saya tidak berlakon. Dahulu, mereka panggil ketika saya sihat dan elok.
“Bukan macam sekarang, saya sudah tidak berapa sihat. Ketika berlakon filem ini, saya buat ‘stunt’ dan jayakan babak bergaduh.
“Tawaran filem ini saya dapat pada 2023. Cuma, baru-baru ini, saya hadapi masalah tekanan. Lama-lama saya kurang makan dan macam-macam penyakit datang,” katanya ketika ditemui BHM pada tayangan filem Felai FX di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Berkongsi butiran pembabitannya dalam filem itu, Dharma memberitahu, beliau menghidupkan watak antagonis, iaitu sebagai ketua kumpulan kongsi gelap yang terbabit dalam sindiket pelaburan mata wang asing.
“Saya jadi ketua samseng atau mafia dan banyak jalankan urusan ‘forex’. Kemudian ada babak aksi seperti tembak-menembak.
“Saya bawa watak antagonis dalam filem ini. Sebenarnya, saya tidak minat watak jahat, tetapi, sebab sudah terlalu lama tidak berlakon, saya terima tawaran.
“Richard kawan lama sejak era 1980-an. Jadi, hendak atau tidak, saya terima tawaran itu,” katanya.
Dharma mengakui pembabitan dalam filem Felai FX mengubat kerinduan yang selama ini terbuku dalam diri untuk kembali ke dunia lakonan.
“Biarpun saya terbabit dalam penggambaran sehari sahaja, rindu itu terubat.
“Saya tidak fikir berlakon ini sebagai pekerjaan. Sebaliknya, perkara yang saya cinta,” katanya yang bertemu ramai pelakon baru dalam naskhah berkenaan.
Richard memberitahu, beliau mengambil inisiatif membantu Dharma menerusi syarikatnya, AMP Moves Sdn Bhd dengan kerjasama Sheunik Sdn Bhd dan Teguh Setanding menerusi penganjuran tayangan khas filem Felai FX.
Richard berkata sesi tayangan khas itu bertujuan membantu mengumpul sumbangan buat Dharma yang kesempitan wang, bukan untuk menjual filem.
“Ketika filem ini dibikin, Dharma masih sihat dan tegap, bukan kurus seperti sekarang,” katanya.
Richard berkata Dharma memerlukan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 untuk membayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup bersama dua anaknya ketika ini.
“Saya tidak dapat berkongsi jumlah sumbangan yang akan disalurkan kepada Dharma pada sesi tayangan khas ini.
“Apa yang boleh saya beritahu, sumbangan itu cukup untuk Dharma keluar dari kemelut yang dihadapi sekarang termasuk kos sara hidup bagi tempoh tiga bulan,” katanya.
Pada sesi tayangan itu, Dharma turut menerima sumbangan daripada syarikat produksi untuk membantu mengurangkan beban hidup.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg