Topik diikuti
Pergi ke BHkuA Aida tiada sengketa dengan Ameng, syukur bekas suami sepentas dengan anak
A Aida tiada sengketa dengan Ameng, syukur bekas suami sepentas dengan anak
Azeva Natassha sepentas dengan bapa, yang juga vokalis Spring, di ‘Talk To My Manager 2’
A Aida tiada sengketa dengan Ameng, syukur bekas suami sepentas dengan anak
Penerbit dan pelakon Malaysia, Datuk A Aida, memaklumkan kemunculan bekas suaminya, Ameng, yang mengiringi persembahan anak perempuan mereka, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, dengan bermain gitar di pentas program realiti anjuran Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM 2), memang dirancang.
Sejak berpisah dengan Ameng pada 2004, A Aida, atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 56 tahun, akur anaknya, Azeva, 25 tahun, membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.
Menurut A Aida, kemunculan Ameng yang juga vokalis Spring, 58 tahun, menerusi program TTMM2 itu menandakan kali pertama dirinya dan Azeva digandingkan bersama di atas pentas.
“Dia (Azeva) juga anak Ameng Spring. Azeva baru berusia tiga tahun ketika saya berpisah dengan Ameng. Jadi, dia membesar tanpa benar-benar merasai kasih sayang seorang ayah.
“Namun, alhamdulillah, peluang dalam persembahan yang dirancang ini membuka ruang yang tidak disangka bagi mereka.
“Sebagai penulis skrip, imaginasi saya memang luas. Apabila menerima tugasan bagi minggu pengenalan di TTMM2, saya terus membayangkan Azeva yang mahir bermain gitar.
“Tambahan pula, dia juga anak kepada Ameng. Walau apa pun, saya tetap meminta dia sendiri untuk berhubung dengan Ameng.
“Bagi saya, Ameng perlu memainkan peranan dan turut membantu kerana itu adalah anaknya.
“Jadi, saya mengambil inisiatif dengan meminta bantuan anak sulung saya, Wan Az Aleesa, untuk menjadi orang tengah memandangkan hubungan dia dengan bapanya sangat rapat.
“Aleesa pun bersetuju dan menjalankan peranan tersebut sebagai penghubung,” kata A Aida, dalam laman web Harian Metro.
Aleesa merupakan anak hasil perkahwinan A Aida dengan Ameng, yang bertahan antara 1993 dengan 2004.
Mereka juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, 30 tahun.
Dalam pada itu, kehadiran Ameng sangat bermakna buat Azeva, yang muncul dengan mendendangkan lagu terkenal kumpulan Spring iaitu, Sejiwa, kerana sudah didengarinya sejak masih kecil.
Lagu tersebut dinyanyikan Azeva semasa minggu pengenalan TTMM2, yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, pada 19 April.
Hasil persembahan tersebut, Azeva berjaya memperoleh markah 79.67 peratus, sekali gus menduduki tempat kedua dalam carta persembahan terbaik di TTMM2.
Dalam pada itu, tempat pertama diungguli oleh Hussain, anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Jamilulhayat, dengan markah 81.33 peratus.
Menurut A Aida, hubungan antara dirinya dengan Ameng tidak mempunyai sebarang masalah kerana penyanyi itu merupakan bapa kandung bagi kededua anak perempuannya, selain akan berperanan sebagai wali mereka.
“Saya dan Ameng tiada sebarang masalah kerana dia tetap bapa kepada anak-anak saya. Suatu hari nanti apabila anak kami berkahwin, dia juga akan menjadi wali.
“Selepas bercerai, ini merupakan kali pertama kami sekeluarga berkongsi satu pentas bersama.
“Saya juga menganggap detik ini sebagai hadiah hari jadi saya pada hari ini (20 April). Apa pun, Adik (panggilan Azeva) sudah pun membanggakan Mama,” katanya.
Selain itu, Azeva turut tidak dapat menyembunyikan rasa gembira yang bercampur sebak apabila akhirnya berpeluang membuat persembahan bersama bapanya di satu pentas yang sama, seperti yang telah lama diimpikannya.
“Ini adalah kali pertama saya berpeluang membuat persembahan bersama Papa (panggilan buat Ameng).
“Ia membuatkan saya rasa sebak serta banyak berfikir. Tiba-tiba dia kembali, dan akhirnya saya dapat berkongsi pentas dengannya.
“Kami memang sudah merancang lebih awal dan alhamdulillah, Papa juga memberikan kerjasama yang baik. Dia sanggup hadir.
“Sebelum ini pun, kami sudah beberapa kali menjalani latihan bersama termasuk dengan Mama.
“Kami dapat kembali bersama sebagai satu keluarga, dan itu yang membuatkan saya sangat terharu.
“Lebih-lebih lagi, apabila melihat Papa berada di atas pentas sekali kerana itulah impian saya,” ujar Azeva.
Program TTMM2 boleh ditonton setiap Ahad, bermula 9 malam di saluran Astro Ria.
