Penyanyi ‘rap’ dan selebriti media sosial, Cik B, tidak mahu ibunya, yang juga usahawan kosmetik serta personaliti terkenal, Datuk Seri Vida, terus berada dalam fasa sakit hati atau kecewa susulan kegagalan dalam hubungan percintaan sebelum ini.

Menurut Cik B, atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 20 tahun, pengalaman melihat kesedihan ibunya yang berusia 54 tahun itu, membuatkan beliau kini lebih memahami perasaan wanita yang melalui episod duka dalam percintaan.

Beliau sekali gus memilih untuk tidak lagi campur tangan dalam hal tersebut.

“Saya memang harap mama (panggilan buat Vida) saya tidak sakit hati.

“Untuk tidak sakit hati itu, bagi saya, mungkin lebih baik menjauhkan diri.

“Kadang-kadang kita kena ‘let it go’ atau ikhlaskan, ibarat kita pegang dan menarik tali, kemudian apabila lepaskan, tangan kita akan rasa lega.

“Saya takut kalau mama berbaik semula, luka lama akan datang kembali kerana kenangan itu tidak pernah hilang,” kata Cik B, dalam laman web, Utusan Malaysia.

Kenyataan tersebut merupakan respons Cik B terhadap video siaran langsung Tik Tok Datuk Seri Aliff Syukri, baru-baru ini, yang cuba memulihkan hubungan Vida dengan usahawan, Iqbal Zulkefli.

Mengulas lanjut, Cik B berkata, beliau kini lebih matang dalam menilai keadaan berbanding ketika usia remaja, apabila belum memahami erti cinta dan kesannya terhadap perasaan seseorang.

“Dulu saya masuk campur juga, tapi bila saya dah besar, saya faham perasaan mama.

“Masa usia remaja, saya tak faham apa itu cinta. Bila saya dah faham, saya dapat rasa betapa sakitnya hati mak saya, betapa sedihnya sampai ‘mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang’.

“Jadi sekarang, saya tak nak masuk campur lagi. Mama tahu apa yang nak dibuat, dan mama tahu macam mana nak jaga mental sendiri.

“Saya yakin mama dah tak mahu semua ini dan sudah meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Menurut Cik B, tindakan ibunya yang tidak membalas pesanan berkaitan isu tersebut juga menjadi petunjuk Vida tidak lagi berminat untuk mengungkit kisah lama.

Dalam masa sama, Cik B turut mengakui hubungannya dengan bekas kekasih Vida, Iqbal, juga tidak rapat dan lebih selesa untuk tidak berkomunikasi.

“Saya dengan dia (Iqbal) memang tidak baik, maksudnya bukan bergaduh, tapi saya tak bercakap.

“Setiap kali nak bercakap pun rasa janggal, jadi saya pilih untuk tidak berhubung,” jelas Cik B.

Dalam pada itu, Cik B turut mendedahkan perkembangan terkininya termasuk usaha memperbaiki diri dari segi kerjaya dan penampilan demi penglibatannya dalam program anjuran Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Program berkonsep selebriti sebagai pengurus kepada anak mereka dalam pertandingan pencarian bakat baharu itu, akan bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, dan disiarkan di saluran Astro Ria bermula 19 April, pada 9 malam.

“Kini, saya menetap di Kuala Lumpur, selepas sebelum ini di Ipoh.

“Saya juga sedang ambil kelas vokal dan tarian, walaupun sebenarnya saya tak berapa minat menari.

“Bagaimanapun, mama yang galak saya supaya lebih aktif. Selain itu, saya juga pergi ke gim.

“Dahulu saya lagi berisi, sekarang sudah nampak perubahan sikit.

“Saya rasa sudah turun dalam 15 kilogram walaupun tak nampak sangat.

“Beri saya enam bulan, saya janji akan turunkan lagi berat badan dan dapatkan bentuk rahang yang lebih jelas,” kata Cik B.