Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Talk To My Manager 2’ warnai dunia seni, bina generasi bakat baharu berkeyakinan
‘Talk To My Manager 2’ warnai dunia seni, bina generasi bakat baharu berkeyakinan
Bakal kembali ke layar kaca televisyen, 19 April ini di saluran Astro Ria
‘Talk To My Manager 2’ warnai dunia seni, bina generasi bakat baharu berkeyakinan
Kemunculan bakat baharu dalam kalangan anak selebriti kini bukan lagi sekadar tempelan nama besar, sebaliknya semakin mencorakkan landskap hiburan di seberang Tambak dengan jati diri dan potensi tersendiri.
Antara yang menarik perhatian saya ialah Auddra Zulkifli, 16 tahun, anak kepada pasangan pelawak dan pelakon, Ijoy Azhari, dan Sharifah Shahirah.
Remaja yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam program, Talk To Manager, anjuran Astro pada 2025, itu, kini turut mengorak langkah sebagai artis muda di bawah naungan syarikat pengurusan milik Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu SN Legacy.
Keberanian untuk menjadi diri sendiri, yang dipupuk melalui pengalaman serta bimbingan ibu bapa yang juga daripada dunia hiburan, kini diperkukuh lagi dalam musim kedua, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Program yang berkonsepkan selebriti sebagai pengurus kepada anak mereka dalam pertandingan pencarian bakat baharu itu, akan bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, dan disiarkan di saluran Astro Ria bermula 19 April, pada 9 malam.
Musim kali ini menampilkan Anggrek Adenan, sembilan tahun, yang juga anak kepada penyanyi, Adira Suhaimi, sebagai peserta termuda.
Sebelum ini, Anggrek pernah meraih perhatian ramai menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram Adira apabila menyanyikan lagu milik ibunya sendiri, Sayang Orang Sama, sambil mengait.
Segelintir netizen turut meninggalkan komen positif, memuji bakat Anggrek yang mampu menyanyi sambil mengait selain memiliki warna vokal tersendiri.
Walaupun masih muda, saya yakin Adira mampu membimbing Anggrek dengan baik, memandangkan Adira sendiri merupakan penyanyi yang memiliki kekuatan vokal tersendiri, termasuk penguasaan nada tinggi serta penghayatan yang mampu memukau penonton.
Penyertaan personaliti popular dan usahawan, Datuk Seri Vida, dan anak perempuannya yang tidak asing dalam dunia hiburan iaitu, Cik B, 20 tahun, pula pastinya mengujakan.
Ramai beranggapan Cik B, atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, bakal mengulangi sejarah pasangan anak-beranak pada musim pertama, Auddra dan Sharifah Sakinah, yang sentiasa berhasil menyerlahkan jati diri sebagai penghibur dalam setiap persembahan.
Bagaimanapun, bagi saya, pastinya ramai yang akan menantikan penampilan, Hussain, 23 tahun, anak kepada penyanyi era 1980-an, Jamilulhayat, yang juga adik kepada penyanyi ‘papan atas’, Datuk Jamal Abdillah, dalam pertandingan ini.
Kemunculan Hussain, atau nama sebenarnya, Jamak Hussain Jamilulhayat, sebagai penerus legasi kededua biduan yang disegani itu, seakan-akan memberi nafas baharu pada program TTMM2.
Ini sekali gus mengubati kerinduan peminat terhadap kehadiran Jamilul dalam dunia seni selepas sekian lama ‘menyepi’ sejak terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya pada 1995, di Malaysia.
Dalam satu wawancara media, Jamilul turut menasihati Hussain agar sentiasa merendah hati serta mengasah lagi bakatnya menjadi penyanyi serba boleh.
“Saya tekankan kepada Hussain untuk menjadi penyanyi yang serba boleh dan mempunyai kepelbagaian… itulah harapan saya.
“Kalau kita lihat bakat dalam industri sekarang ini, jika tiada aspek yang saya katakan itu, tidak masuk pertandingan pun tidak mengapa.
“Industri muzik ini sebenarnya mampu menjamin masa depan jika dilakukan dengan betul,” kata Jamilul.
Selain tiga pasangan anak-beranak itu, penonton juga bakal dihiburkan dengan penampilan penyanyi, Ani Maiyuni dan Viviana; pelakon yang juga penerbit, Datuk A. Aida dan Azeva; serta cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob dan Fariedz Fazley.
Turut memeriahkan program itu ialah guru tari, Linda Jasmine dan Ratu; pelakon, Nana Mahazan dan Althea; pelawak dan penyiar radio Era, Azad Jasmin (Pak Azad) dan Amarra; serta pelakon, Safura dan Kim Khairii.
Musim kali ini turut menampilkan semula pengacara berpengalaman, Datuk Aznil Nawawi, bersama barisan juri, Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, yang kekal membawa kepakaran, bimbingan serta karisma masing-masing dalam menyemarakkan program ini.
Juara TTMM2 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 ($9,635), manakala Naib Juara pula menerima RM15,000.
Bagi tempat ketiga, pemenang akan membawa pulang RM10,000.
Sementara itu, penonton boleh menyaksikan persembahan penuh kejutan daripada peserta TTMM2 mulai 19 April, pada 9 malam di saluran Astro Ria.
