Melihat rakan artis rancak mengeluarkan lagu Raya pada Aidilfitri 2025, penyanyi bersuara emas, Aina Abdul, tidak rasa ketinggalan tidak melancarkan lagu Raya baru, malah menganggap ia sebagai suatu kegiatan sihat dalam arena muzik dan hiburan di Malaysia.
Di samping itu, Aina, atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31 tahun, merakam rasa seronok melihat kejayaan rakan seperjuangan melahirkan lagu Lebaran mereka pada 2025.
“Apabila ramai yang sibuk mengeluarkan lagu, terutama dalam suasana Lebaran ini, ia menunjukkan industri muzik Malaysia sangat meriah.
“Saya gembira melihat perkembangan ini kerana terdahulu, bermula 2019, saya juga termasuk dalam senarai artis yang giat mengeluarkan lagu Raya setiap tahun,” kata Aina, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) di Wisma Geylang Serai (WGS).
Kegiatan mengeluarkan lagu Raya setiap menjelang Syawal terdorong daripada rasa kagum Aina terhadap idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang sudah mempunyai koleksi lagu Raya malar segar, dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, pada 2025, Aina tidak mengeluarkan lagu Raya baru kerana ingin kelima-lima lagu Raya miliknya, benar-benar meresap dan melekat hingga ke sanubari penggemarnya.
Rentetan lagu Raya dendangan Aina, dari 2019 hingga 2024, termasuk, Syahdu Di Pagi Syawal, Syukur Lebaran, Gema Raya, Jalan-Jalan Hari Raya dan Berkunjung Di Hari Raya.
Antara lain, anak bongsu dalam keluarga lima beradik itu turut menegaskan ciri penting yang perlu ada dalam lagu Raya adalah melodi yang mudah diingat serta makna lirik yang mendalam.
“Apabila kita fikir tentang lagu Raya, kita inginkan sesuatu yang mengimbau nostalgia.
“Justeru itu, hal pertama saya akan lakukan adalah mendapatkan melodi yang meninggalkan kesan berpanjangan.
“Kemudian, saya akan pastikan liriknya bermutu tinggi, walaupun kita menyelit unsur gerakan atau tarian pada lagu yang disampaikan,” ceritanya.
Ketika ditemui BH, Aina berada di Singapura bagi program anjuran WGS, Santai Sejenak, pada 25 Mac, yang turut menampilkan penyanyi tempatan, Suryana Norddin.
Antara 26 Februari dengan 30 Mac, program tersebut turut memaparkan persembahan menarik daripada barisan artis lain seperti Hady Mirza, Imran Ajmain, Anuar Zain, Datuk Jamal Abdillah, Tomok, Siti Nordiana, Syamel, Fuad Rahman, Ryzall Noh, Rudy Djoharnaen dan BORA.
Turut memeriahkan lagi acara ialah kumpulan S.U.I., juara bagi peraduan nyanyian realiti anjuran Mediacorp, Kaki Nyanyi, serta GTS, yang juga merupakan finalis dalam program itu.
Semasa persembahannya pada 25 Mac di WGS, Aina menyanyikan dua lagunya – Jangan Mati Rasa Itu, serta lagu Raya, Berkunjung Di Hari Raya, yang masih terpahat dalam ingatan peminat kerana sempat tular di media sosial pada 2024.
Walau ini kali pertama Aina membuat persembahan di WGS, sambutan yang diterima oleh penggemarnya, Ainations, sangat memberangsangkan.
Bahkan, beliau ikut terpegun melihat seorang anak kecil yang menghafal lagunya berjudul, Semalam.
“Setiap kali ke Singapura, saya pasti tertanya-tanya, ‘ada ke yang nak tengok aku?’
“Namun, sokongan peminat Singapura pada malam tadi (25 Mac) sangat menggalakkan.
“Tidak sangka pula, anak kecil boleh menghafal lagu saya walaupun ketika dinyanyikan, lirik tidak begitu jelas kedengaran,” ulas Aina seraya tertawa.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu, Sumpah, itu berkongsi pencapaian terbesar dalam hidupnya adalah apabila beliau berjaya mengatasi ketakutannya terhadap kucing.
“Pada mulanya memang saya sangat takut kucing.
“Tapi apa yang saya belajar tahun lepas (2024), setiap ketakutan berpunca daripada diri kita yang tidak tenang.
“Apabila saya mula belajar untuk menenangkan diri, dengan perlahan-lahan, saya mampu mengatasi ketakutan itu, walaupun ia memakan masa berbulan-bulan,” katanya yang memiliki dua kucing bernama, Susu dan Hiro.
Tinggal sebulan lagi, Aina bersama rakan artis lain seperti, Hafiz Suip, Hazama, Dayang Nurfaizah dan Asmidar, bakal menyerikan konsert, By Ajai & Mega Friends, yang akan berlangsung di The Star Theatre, pada 10 Mei.
Lebih istimewa, konsert itu menampilkan anak perempuan Allahyarhamha Siti Sarah, hasil perkongsian hidup dengan pelawak Malaysia, Shuib, iaitu Dzahira Talita Zahra, 12 tahun.
Aina yang meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menyanyikan karya agung ciptaan komposer tersohor Ajai, atau Mohamad Faizal Maas, 49 tahun, turut menyatakan kesediaannya untuk menerima apa jua kejutan yang bakal menanti di pentas pada Mei nanti.
Tiket bagi konsert By Ajai & Mega Friends, berharga antara $98 dengan $699, pula boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan, https://www.sistic.com.sg/events/byajai0525
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg