Akibat kelelahan berat dan kejang otot semasa menjayakan penggambaran video muzik di Jakarta, Indonesia, penyanyi Aisha Retno, 25 tahun, rebah dan dikejarkan ke hospital pada 14 Julai.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Aisha Retno Entertainment, Asraf Aided, Aisha, atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, disahkan doktor tidak mendapat rehat yang cukup dek jadual kerja terlalu padat.
“Aisha sedang menjayakan penggambaran video muzik di kawasan pantai.
“Tiba-tiba terjatuh dan dikejarkan ke hospital.
“Aisha sudah terima rawatan termasuk diberi bantuan oksigen.
“Memang jadualnya padat dengan penggambaran, promosi lagu terbaru, Tak Adil, dan undangan persembahan lain.
“Alhamdulillah, keadaanya kini sudah semakin baik dan sedang berehat. Insya-Allah, Aisha akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini (15 Julai),” kata Asraf dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Sementara itu, ibu Aisha, Jean Retno Aryani, 58 tahun, berkata Aisha berada di Jakarta bagi menyiapkan single terbarunya bersama komposer, Ade Govinda.
“Semalam, beliau rebah ketika menjalani penggambaran video muzik.
“Aisha seorang yang ‘hyper’ (aktif), jadi mungkin petang semalam sudah penat sangat.
“Selama lima hari, Aisha kena buat banyak perkara termasuk bekerja bersama Govinda,” katanya.
Bagaimanapun, Jean berkata keadaan Aisha kini stabil dan sedang berehat.
“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Aisha sudah dirawat kira-kira dua jam, semalam (14 Julai).
“Beliau boleh kembali ke tempat penggambaran tetapi pihak penerbitan tak izinkan beliau bekerja,” kata Jean.
Sebelum ini, Aisha memaklumkan menerusi laman Instagram miliknya bahawa beliau dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Jakarta.
Pelantun lagu, Sutera, itu memohon maaf tidak dapat menjawab emel atau pesanan daripada pelbagai pihak kerana tidak sihat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg