Video muzik baru oleh penyanyi Mandopop (lagu pop Mandarin) Malaysia, Firdhaus, menampilkan wajah yang tidak asing lagi bagi penonton televisyen Singapura – pelakon veteran tempatan, Chen Liping.
Lagu This May Be The Last Song I’ll Ever Write For You dimuatkan dalam album terbaru penyanyi itu, 619, yang dikeluarkan pada September, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Dalam video muzik tersebut, Chen, 60 tahun, memegang watak sebagai ibu kepada seorang watak yang dimainkan oleh pelakon Malaysia, Moka.
Terdapat satu putaran plot atau kejutan pada plot di hujung video muzik ini dan sebagai amaran, kalau nak dibocorkan jalan ceritanya, ia cukup menyentuh hati.
Firdhaus tidak sering muncul dalam video itu, namun memegang watak sebagai seorang pekerja penghantaran.
Dalam satu sidang media sebelum ini, penyanyi itu berkata beliau berasa gementar berlakon di samping Chen, kerana beliau melihat dirinya sebagai pelakon yang tidak berpengalaman berbanding Chen.
Video muzik ini diarahkan oleh pengarah terkenal Malaysia, Tan Seng Kiat, yang merupakan calon bagi beberapa Anugerah Golden Horse (persis Oscar dalam dunia perfileman Cina).
Drama beliau pada 2017, Shuttle Life, memenangi Anugerah Bakat Baru Asia bagi Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Jurukamera Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-20.
Chen pula dikenali ramai penggemar drama Mandarin di Singapura dengan gelaran ‘Aiyoyo’ kerana wataknya dalam drama popular Good Morning Sir!.
Dalam drama 1989 itu, beliau membawa watak seorang guru comel bernama Shen Rong, yang kerap menggunakan frasa ‘Aiyoyo’ dalam perbualannya.
Dari mana datangnya frasa itu?
Kata Chen dalam satu program sembang Careless Whispers pada 2022: “Saya teringat pada masa itu, saya sedang berlakon dengan Li Nanxing. Saya bawa tangki ikan dengan ikan emas dalam lori.
“Apabila saya sedang turun daripada lori itu, tangki ikan itu terjatuh. Saya serta-merta terpekik: “Aiyoyo!”
“Dari situlah, frasa itu ‘melekat’ dalam dialog saya. Sampaikan orang lebih kenali saya sebagai ‘Aiyoyo’ daripada nama saya sebenar, Chen Liping.
“Saya tak kisahlah...panggil sahaja ‘Aiyoyo’ atau Liping. Sama sahaja bagi saya,” jelasnya yang tidak lagi bersama sayap pengurusan saluran Mediacorp, The Celebrity Agency, selepas 40 tahun bersama stesen penyiaran tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg