Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajai: Belum ramai boleh digelar penyanyi walau ramai banjiri industri

May 5, 2025 | 5:30 AM
siti nurhaliza, komposer Ajai
Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah antara penyanyi terkenal yang pernah bekerjasama dengan komposer, Ajai, dan menampakkan kemajuan ketara dari segi kematangan ilmu vokal dan muzik. - Foto INSTAGRAM CTDK

Tidak perlulah penyanyi masa kini ingin meniru gaya bintang tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Datuk Jamal Abdillah, atau menyimpan hasrat menjadi fenomena seperti mereka.

“Cukup ada satu Siti Nurhaliza dan satu Jamal Abdillah... kita tak perlu mereka yang nak jadi klon legenda kita ni.

“Mereka nak jadi penyanyi... perlu ada identiti tersendiri,” demikian tegas komposer tidak asing lagi, Ajai, 50 tahun, atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Sembang pada pagi itu menjurus pada persoalan apa lagi yang kurang dan perlu diperkasa dalam industri muzik Melayu di Nusantara ini, dengan ramai bakat tampil bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Bapa dua anak perempuan itu kemudian menjelaskan perkara yang mungkin boleh membuat penggiat seni tertanya-tanya dengan sikapnya yang amat mementingkan kesempurnaan.

Bagi penulis pula, bukan menjadi satu kehairanan apabila komennya itu boleh menimbulkan kontroversi, sebab Ajai, sebelum ini pernah memberi markah dua mata sahaja kepada peserta, Big Stage 2020, Hafiz Zainal, seorang doktor gigi muda.

Langkah Ajai itu turut dikecam netizen, tetapi beliau tenang dan tegas menyatakan sikapnya jujur dan enggan menjadi hipokrit dalam soal pemarkahan.

Bahkan kalau nak memberi markah kosong (sifar) pun beliau sanggup, kalau peserta itu memang benar-benar tidak menunjukkan usaha dan prestasi cemerlang.

Kata Ajai: “Kita ramai bakat seni tetapi apakah mereka penyanyi? Saya tak fikir sebegitu. Rasanya, tak ramai layak dipanggil penyanyi atau memiliki kerjaya penyanyi yang betul-betul mantap.

“Sebab kalau kita betul-betul ada penyanyi berkerjaya, mereka akan bangunkan kerjaya mereka dan mahir dalam pelbagai perkara serta tidak memperlekeh kemahiran mereka.

“Setakat menyanyi-nyanyi macam pergi karaoke, sesiapa pun boleh. Tapi takrifan menjadi penyanyi lebih daripada itu.

“Dia harus mempunyai daya pendengaran yang tajam, kreativiti serta keupayaan ‘menyimpan’ pustaka lagu yang luas, merentasi pelbagai genre, di luar zon keselesaannya.

“Kerana itu, saya kagum kalau saya mengadili peraduan menyanyi dan bertemu dengan peserta muda yang memiliki pustaka atau pengetahuan tentang lagu lama, bukan dari generasinya.

“Misalnya, kalau peserta itu menyanyikan lagu Allahyarham Ibnor Riza atau kumpulan Damasutra... ia sesuatu yang luar biasa untuk tonjolkan pada era masa kini,” ujar Ajai lagi.

Dalam masa yang sama, Ajai juga tidak begitu bersetuju dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pemuzik atau pencinta muzik yang tidak mempunyai pengetahuan tentang dunia seni, lantas hanya ingin mencuba nasib atau menggunakan jalan pintas menghasilkan sesebuah karya.

“AI tiada sentuhan kemanusiaan. Kalau anda ingin memasarkan atau menjual kerja seni yang betul, jangan gunakan sesuatu yang tiada ‘jiwa’ atau sentuhan kemanusiaan.

“Saya kadangkala dengar nota yang sukar dicapai manusia tetapi robot AI boleh sampai nota yang begitu tinggi dan menyanyi dengan ‘gelombang’ suara yang tak tercapai dek akal.

“Lama-kelamaan, kita dengar ada perkara yang tidak kena. Ini bukan manusia, ini robot, bisik hati kecil kita. Kita boleh beri mesin atau aplikasi AI ini lirik kita tetapi orang yang mendengar akan kesan ia tandus ‘jiwa’.

“Orang yang memiliki kesenian sebenar tak perlu bantuan AI.

“Lirik atau muzik yang menyentuh jiwa akan dengan mudah dihasilkan apabila dia menitikberatkan kesenian dan sejarah hidupnya yang kaya dengan unsur realiti daripada setakat bergantung pada teknologi AI,” tambah Ajai.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg