Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajai, rakan seni buai penonton dengan sejarah di sebalik lagu hit

Konsert lebih dua jam turut buat penonton sebak dengan usaha murni anak Siti Sarah, Thalita, sambung legasi ibu
May 15, 2025 | 5:30 AM
Ajai, Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Hazama, Thalita
Ajai (kiri) dan barisan artis yang menjayakan ‘Konsert By Ajai & Mega Friends, iaitu (dari kanan) Asmidar, Aina Abdul, Shuib, Thalita, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, dan Hazama, membawa penonton mengimbas nostalgia di samping menghayati mahakarya yang sentiasa relevan sebagai renungan kehidupan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ada masanya penonton tertawa girang dengan hati yang tercuit dek kata-kata selamba peneraju konsert, maestro muzik seberang Tambak, Ajai, atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas.

Kalau Ajai bersembang dengan anak seni yang dianggap seperti adik sendiri, Hazama dan Hafiz Suip, makin menjadi-jadi jenaka yang dilontarkan secara spontan di pentas indah The Star Theatre, pada 10 Mei lalu.

Namun, ada detiknya, mata penonton termasuk penulis sendiri bak termasuk habuk, bergenangan kerana mengenang lagu-lagu nostalgia yang berkumandang dan pernah didendangkan penyanyi hebat, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, pada puncak kegemilangan kerjayanya.

Sedih dan pilu menyelubungi jiwa, lebih-lebih lagi apabila yang menyanyikan lagu ‘keramat’ Siti Sarah, Kesetiaan, merupakan anaknya sendiri, Thalita Shuib.

Dapat dibayangkan pada usia Thalita yang masih kecil, dia sudah kehilangan ibunya pada 9 Ogos 2021. dan kini bertekad meneruskan legasi ibunya dengan membina kerjaya dan nyala rasa dalam bidang nyanyian,

Pada malam konsert By Ajai & Mega Friends, Thalita atau mesra dengan panggilan, Dekta, turut berduet dengan bapanya, pelawak dan usahawan, Shuib, atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, lagu Semakin Benci Semakin Cinta, yang diilhamkan Ajai.

Kededuanya yang pasti rasa kehilangan dan sebak, lebih-lebih lagi apabila slaid pada layar raksasa menunjukkan wajah arwah Siti Sarah, kemudian berpelukan sambil meratap sayu pada penghujung lagu.

Thalita yang awalnya kelihatan gementar dan hanya berbicara sepatah dua kata, dan lebih banyak tertawa manja, apabila disoal ‘Uncle’ Ajai, menggunakan mikrofon magis arwah ibunya yang tersimpan lama.

Meskipun masih baru dalam bidang seni suara, dia mendapat tepukan paling gemuruh dan kata-kata dorongan penonton yang ingin terus melihat gadis kecil ini menghiburkan mereka pada tempoh jangka panjang, seperti arwah ibunya.

Boleh dikatakan konsert lebih dua jam yang dikemudi Ajai dengan baik dan cukup rencahnya menjadi penawar mereka yang inginkan sajian muzik bermutu, di samping ilmu pengetahuan tentang muzik dan ciptaan lagu sekali gus, mengisi minda dan jiwa.

Walaupun The Star Theatre tidak terisi penuh seperti yang penulis jangka, Konsert By Ajai & Mega Friends, tidak mengecewakan, malah sudah terbetik di hati penulis, keinginan versi 2.0 konsert ini, yang diharap dapat dijayakan bintang lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Ning Baizura, dan Misha Omar.

Penulis harus berterima kasih kepada Ajai kerana memberi kesempatan buat penyanyi bersuara emas yang memulakan kerjayanya dengan irama tradisional Melayu, seperti Asmidar, menyerlah dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang.

Selepas Ajai membuka tirai konsert dengan lagu Rem, Semua Orang Tahu, dan lagu Mila Jirin, Aku Lebih Tahu, beliau mula bercerita, bagaimana lagu-lagunya berlatarbelakangkan kehadiran orang tersayang seperti anak sulungnya, Ayu Nazirah.

Ayu lahir pada 1998, maka tercetus ilham bagi ciptaan lagu Hadirlah Kasih, yang dipopularkan kumpulan KGB (Kami Generasi Baru).

Asmidar turut menyanyikan lagu duet Keliru, dan Seiring Sejalan, menampakkan keserasiannya dengan Ajai.

Gandingan ‘Double A’ ini memang hebat, membuatkan penonton bertepuk tangan dan tertawa riang, dibuai nostalgia kisah silam.

Anak didik Ajai yang sudah dilihat potensinya sejak mereka memasuki peraduan realiti seperti Mentor Milenia dan Akademi Fantasia, iaitu Hazama, dan Hafiz, yang sudah lama tidak membuat persembahan di Singapura, tampil dengan keunikan vokal mereka.

Suara ‘jantan’ Hazama yang serak-serak basah memukau ketika beliau menyanyikan lagu Saleem Iklim, Tiada Syair Indah dan lagunya sendiri, Juwita.

Hafiz pula seperti zaman mudanya, di mana pentas menjadi ruang permainan untuknya berinteraksi dan menyanyi penuh emosi, menghiburkan dengan lagu ‘wajib’, Ku Akui dan Noktah Cinta.

Ajai pula tidak ketandusan pujian untuk dua ‘H’ ini.

Menurutnya, Hazama adalah penghibur dan penglipur lara, manakala Hafiz adalah bintang lelaki dengan suara paling merdu.

Momen yang dinanti-nanti ramai pencinta muzik Singapura muncul dengan kehadiran Aina Abdul yang hadir untuk menyanyikan lagu terkenal Ning Baizura, Selagi Ada..., di samping berduet lagu Hati Ini Telah Dilukai 2.0, yang telah dirakamnya bersama Ajai.

Aina menjadi pilihan ketika Ajai ingin merakam lagu hit itu dengan penyanyi Malaysia, setelah menghasilkan kesepaduan vokal dengan diva Indonesia, Kris Dayanti, lama dahulu.

Dayang Nurfaizah pula menjadi bintang terakhir yang diperkenalkan pada malam itu, dengan lagu Selagi Ada Cinta, serta lagu Erema, Pelita Di Bawah Purnama, yang tidak pernah dinyanyikannya, tetapi kena pula dengan vokal buluh perindunya.

Pada akhirnya, penulis pulang dengan rasa puas hati dan senyuman terukir di bibir sebab Konsert By Ajai & Mega Friends, lengkap dengan hiburan dan santapan halwa telinga daripada beberapa penyanyi seberang yang terbukti merupakan contoh bintang yang terus menyinar kerana suara mereka, lebih daripada segala-galanya.

Ada masanya, Ajai mengingatkan penonton tentang erti menghargai dan dihargai di dunia yang fana ini.

Beliau adalah anak seni yang tidak lokek ilmu dan tahu takrifan mutu dalam lagu serta potensi bintang muda. Kesediaannya bergerak maju dalam evolusi arena seni yang pesat berubah membuktikan ‘otai’ masih berbisa.

Konsert By Ajai & Mega Friends yang dibawakan Wake The Baby Records, mengingatkan penulis tentang Konsert Hit Man: David Foster & Friends, dengan komposer kelahiran Canada, David Foster, menjelajah dunia, demi memasyarakatkan seni, bahkan memperkasa penyanyi lain, baik yang mapan atau baru untuk sebarkan cinta pada irama, lagu dan lirik puitis tentang kemanusiaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg