Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlbum Terbaik AIM 25: Aisha Retno tebus fasa duka dalam kerjaya
Album Terbaik AIM 25: Aisha Retno tebus fasa duka dalam kerjaya
Kemenangan album, [RE.HAB], sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM 25) menjadi pengiktirafan tertinggi buat penyanyi, Aisha Retno, sekali gus menebus fasa duka dalam perjalanan seninya untuk kembali berkarya.
Aisha, atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26 tahun, berkata penghasilan album itu merupakan proses pemulihan diri selepas berdepan beberapa pengalaman sukar dalam kehidupan dan kerjayanya sebelum ini.
Pada 2025, Aisha pernah mengalami serangan panik sehingga beliau pengsan sewaktu membuat persembahan dalam program, Talk To My Manager (TTMM).
Semasa konsert beliau, Malam Sutera Aisha Retno, pada 2024 pula, ia dibatalkan secara mendadak oleh pihak penganjur.
Justeru, beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai ‘titik terendah’ yang pernah beliau hadapi sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.
“Saya sendiri masih tertanya-tanya bagaimana proses penjurian terhadap album ini.
“Namun, saya sangat berterima kasih kerana mungkin tujuan utama album ini memang untuk menjadi proses ‘rehab’ atau pemulihan kepada tragedi yang pernah berlaku pada diri saya.
“Mungkin ramai sudah tahu dan mengikuti perjalanan saya selama ini. Tetapi dengan ini, ia menjadi kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Mengulas mengenai keistimewaan album [Re.Hab], pelantun lagu Sutera itu percaya kepelbagaian genre yang dizahirkan menerusi satu album menjadi kekuatan utama yang memikat hati pendengar serta juri.
Aisha turut mendedahkan ibunya, Jean Retno Aryani, sebagai sumber inspirasi nombor satu dalam kerjaya seninya, selain sokongan padu daripada bapa serta adiknya yang turut disifatkan sebagai rakan perniagaan.
Menerusi kemenangan kategori Album Terbaik, Aisha berjaya menewaskan empat saingan hebat lain termasuk Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan Gema Bumantara; Shila Amzah dengan Sa25; Faizal Tahir dengan Jati Diri; dan Naim Daniel dengan album : lelaki gila.
Dengan kemenangan tersebut, Aisha membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 ($62,696).
Secara keseluruhan, Aisha membawa pulang tiga trofi pada malam kemuncak AIM 25 selepas turut meraih kemenangan bagi kategori Rakaman Album Terbaik serta Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu O.R.B.I.T.