Penyanyi Ali XPDC, 57 tahun, memaklumkan arwah isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53 tahun, hanya sempat menatap wajah cucu sulung sekali, sebelum ke hospital untuk rawatan barah buah dada.
Ali berkata cucu mereka, Ailin Marianna adalah hasil perkahwinan anak keduanya, Wan Nurazmyn Adelyn, 27 tahun, dengan pasangannya, Muhammad Iskandar Zulqarnain Mohammad Saiful, 28 tahun.
“Ailin Marianna baru berusia dua minggu. Apabila Wan Nurazmyn Adelyn balik rumah dengan anaknya dari hospital, arwah isteri sempat tengok cucu sehari sahaja.
“Dia minta ‘baby’ tunggu dia. Sebab nak pergi buat rawatan. Sekali itulah sahaja arwah jumpa cucu. Waktu itu, arwah isteri sudah tak dapat tahan sakit.
“Saya pula dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah pada 24 Mac, manakala isteri di Hospital Putrajaya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.
Ali akhirnya dibenarkan keluar hospital pada 3 April lalu, manakala Sharifah Azuwanna terus berada di hospital sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 6.08 petang pada Ahad (6 April).
Jenazah Allahyarhamha Sharifah Azuwanna dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi, pada 11 malam.
“Sedih memanglah sedih, tapi saya terima ketentuan Allah kerana tak nak tengok dia sakit.
“Kenduri tahlil untuk arwah diadakan selama tiga hari di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi.
“Syukur saya banyak dibantu oleh saudara mara, abang ipar, biras dan kawan-kawan dalam semua urusan,” kata Ali yang masih sukar bercakap dengan lancar.
Menurutnya, buat masa ini, beliau ditemani lima anak dan cucunya.
“Anak sulung sudah habis belajar dan belum bekerja. Buat masa ini, tak sunyi kerana semua berkumpul di rumah saya. Anak yang belajar di Jerantut, Pahang kini sedang cuti.
“Anak kedua pun berpantang di sini. Tak tahulah apabila masing-masing sudah tiada nanti, lain suasananya. Hanya anak sulung dan nombor tiga akan tinggal dengan saya.
“Saya tak tahu lagi bila nak menyanyi semula. Juga saya tak tahu nak teruskan atau tak. Buat masa ini, saya nak tenangkan diri,” katanya.
Ali dan Sharifah Azuwanna dikurniakan lima cahaya mata, Wan Aliuddin Aqiel, 29 tahun, Wan Nurazmyn Adelyn, 27 tahun, Wan Ainin Adiba, 21 tahun, Wan Aniz Athirah, 19 tahun, dan Wan Aqmalludin Aqif, 17 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg