KUALA LUMPUR: Kakak penyanyi ‘rap’, Allahyarham Nico, bersyukur adiknya itu, pergi dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, saya dapat tengok dia pergi dalam keadaan baik... Dia tersenyum,” kata Cik Suzzi Abdul Aziz, 59 tahun.
Suzz,i yang juga anak sulung dalam tiga beradik itu, memberitahu, beliau dan adiknya, yang hanya mahu dikenali sebagai Farid, bersyukur dapat melihat arwah Nico, 52 tahun, buat kali terakhir dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, kami dapat tengok dia senyum. Sebenarnya, kami bersyukur dia pergi dalam keadaan baik. Kami risau arwah duduk seorang.
“Kami bimbang arwah sakit di rumah dan tiada siapa sedar. Tetapi, Allah permudahkan, kami dapat jumpa arwah dalam keadaan baik,” katanya kepada wartawan Berita Harian Malaysia (BHM) ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru pada 5 April.
“Arwah beritahu pada bulan puasa dia bawa Grab. Kebelakangan ini, dia selalu singgah untuk berbuka puasa bersama. Saya masak lauk kegemarannya iaitu sambal sotong. Arwah seronok Along (panggilan arwah kepada Suzzi) masak dan adik kami, Farid pun suka.
“Kami banyak gelak dan bergurau. Kami sempat bergambar dan rakam video ucapan Hari Raya. Kami juga sempat bermaaf-maafan ketika beraya di rumah ayah. Tapi ketika Hari Raya pertama, arwah banyak berdiam.
“Arwah beri duit Raya kepada ayah. Jumlahnya agak banyak. Kami bergurau cakap abang sudah kaya. Kami memang suka bergurau. Kami juga bergurau kalau sakit nanti, siapa nak jaga masing-masing,” katanya sambil memberitahu arwah adiknya itu menghidap penyakit semput kronik.
Hasil bedah siasat doktor, bagaimanapun, mengesahkan punca kematian Nico adalah penyakit jantung yang berkaitan dengan darah tinggi.
Suzzi tidak dapat menahan sebak apabila memberitahu adiknya dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan arwah ibu mereka yang meninggal dunia pada 2 Januari 2024.
Sementara itu, bekas isteri pertamanya iaitu Sharizuria Azlin Ridzuan, atau Sherry, 45 tahun, berkongsi beliau dan arwah masih mengekalkan hubungan baik sehingga ke akhir hayatnya.
“Kami berbuka puasa bersama pada 27 Mac lalu. Pada Hari Raya pertama, kami berhubung. Kami tetap berkomunikasi dengan baik selama ini, berjumpa dan sebagainya.
“Arwah dengan anak tiri pun rapat. Arwah orangnya kelakar dan suka menyakat. Jadi, apabila dapat tahu dia meninggal dunia, saya terkejut sebab kami baru saja berhubung.
“Bekas isteri kedua arwah hubungi dan beritahu arwah sudah tiada. Selama ini, arwah tidak sakit dan kuat bekerja,” katanya yang berkahwin dengan arwah selama setahun.
Arwah Nico dan Sherry bernikah pada 2013. Namun, hubungan mereka hanya bertahan setahun.
Arwah Nico kemudian mendirikan rumah tangga bersama Juwiati Musa pada 2017, namun, berpisah pada 2023.
Allahyarham Nico dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di Kampung Baru, kira-kira 11 malam pada 4 April.
Allahyarham Nico mencipta populariti bersama kumpulan Nico, yang dianggotai Affa dan Dino, pada awal 1990-an. Mereka terkenal dengan lagu Inilah Nasibku.
KENANGAN MANIS BERSAMA NICO
Pemergian Nico turut memberi kesan mendalam buat rakan seperjuangannya, Affa.
Affa, atau nama sebenarnya, Muzaffar Shah Baharin, 49 tahun, berkata banyak kenangan manis ditempuhi bersama Allahyarham Nico sejak zaman kanak-kanak.
“Kami sama-sama berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sejak kecil sudah berkawan dan kami mengaji bersama.
“Arwah umpama abang kepada kami (kumpulan Nico G)... Dia sentiasa menjaga kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat jenazah pada 5 April.
Affa berkata, biarpun kumpulan Nico G sudah tidak aktif membuat persembahan, mereka kerap berhubung.
Mengenai penyakit dialami arwah, Affa mengaku tidak pernah tahu sahabatnya itu ada penyakit kronik.
“Saya tidak tahu arwah sakit. Jadi, terkejut apabila dapat tahu dia sudah tiada.
“Kami kerap berhubung. Selain bertanya khabar, kami berkongsi mengenai ibadah. Apabila usia meningkat, lebih banyak bercakap mengenai ibadah,” katanya.
Berita pemergian Allahyarham Nico atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz disahkan bekas pengurusnya, Ayob Abd Majid, kepada BHM.
Ayob mendapat panggilan kira-kira 11.15 malam pada 4 April, yang memberitahunya arwah sudah meninggal dunia.
NICO DALAMI AGAMA
Ayob, 61 tahun, yang menguruskan Nico G dari 1994 hingga 1998, berkata Allahyarham Nico masih aktif menulis lirik, namun, pada masa sama, mendalami ilmu agama.
“Saya mula terbabit dalam industri muzik bersama kumpulan Nico pada awal 1990-an. Selepas itu, kami bergerak mengikut haluan masing-masing.
“Arwah Nico aktif menulis lirik. Namun, saya teringat, arwah pernah meluahkan hasrat untuk sertai aktiviti dakwah selama tiga hari,” katanya lagi.
Ayob mendapat panggilan telefon daripada sahabat yang dikenali sebagai Mail yang memberitahu Nico sudah tiada.
“Saya bergegas keluar. Apabila saya tiba, jenazah berada dalam kenderaan polis. Saya sempat memegang kaki arwah buat kali terakhir,” katanya.
Ayob berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Nico adalah pada 31 Disember lalu, apabila arwah datang ke restorannya.
“Arwah dan keluarga datang ke restoran saya di Sungai Buloh. Kami duduk makan bersama dan berbual panjang.
“Kali ini, saya tidak beraya di Kampung Baru. Jadi, tidak sempat bertemu arwah. Jika tidak, kami memang selalu berjumpa pada Hari Raya kerana berasal dari kawasan sama,” katanya.
Ayob menganggap arwah Nico, Affa dan Dino sebagai adik-adiknya.
Jenazah Allahyarham Nico selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, pada 2.15 petang, 5 April.
Suasana pilu mengiringi dalam hujan gerimis. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati. Al-Fatihah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg