Walaupun reda, penyanyi kumpulan rok ikonik, XPDC, Ali, atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, terkejut dan tidak menyangka isterinya, Allahyarhamha Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53 tahun, akan pergi secepat ini.
Pada 6 April, Allahyarhamha Sharifah Azuwanna telah meninggal dunia pada 6.08 petang di Hospital Putrajaya, Malaysia, akibat barah buah dada dan meninggalkan lima cahaya mata.
Ali, 56 tahun, memberitahu Harian Metro bahawa doktor sudah memberitahunya mengenai barah yang dihidapi arwah isterinya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas hal tersebut dengan lebih lanjut.
“Saya tahu isteri disahkan menghidap barah buah dada, tetapi tidak tahu tahap berapa.
“Tapi, saya sangat sedih dan terkejut isteri akan pergi meninggalkan saya secepat ini.
“Maaf, saya tak dapat komen lebih dengan keadaan saya baru keluar hospital. Boleh hubungi anak sulung saya, Aqiel,” katanya.
Namun begitu, usaha Harian Metro mendapatkan komen daripada anggota keluarga terutama anak sulung arwah, Aqiel, pun tidak berhasil kerana difahamkan dirinya masih bersedih setelah pemergian ibunya itu.
Pada hari yang sama, jenazah Allahyarhamha Sharifah Azuwanna disolatkan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, di Sepang, Malaysia, selepas solat isyak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi, pada 11.10 malam.
Lebih 500 orang dalam kalangan anggota keluarga terdekat dan rakan artis hadir pada majlis pengebumian isteri vokalis XPDC itu.
Antara rakan artis yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Datuk Nash, Den Wahab, Faizal Ismail, Nizam Laksamana, Zul Handy Black, Poey Sting, Anjang Terra Rossa dan Dr Sam.
Turut hadir ialah dua anggota XPDC iaitu Izo dan Eddy, serta Timbalan Perdana Menteri (Malaysia), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menziarahi jenazah di Hospital Putrajaya.
Terdahulu, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya, Selangor, Malaysia, untuk menerima rawatan bagi paru-paru berair dan jantung lemah yang dialaminya sejak 24 Mac.
Manakala isterinya, Allahyarhamha Sharifah Azuwanna, dirawat di Hospital Putrajaya, Malaysia, akibat barah buah dada.
Pada 3 April, Ali sudah dibenarkan keluar hospital dan kini berehat di rumahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg