Lebih selesa mengelak daripada mengulas mengenai status terkini kehidupan peribadi, penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, mengakui dalam proses memperbaiki dan memaafkan diri atas apa yang terjadi sebelum ini.

Menafikan dirinya ‘play victim’ atau pura-pura jadi mangsa, Aliff juga mengakui tidak pernah menutup pintu hati untuk kembali berumah tangga, namun, menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Allah swt.

Aliff, 35 tahun, mengaku tumpuan utama ketika ini adalah untuk menjadi versi diri lebih baik kerana percaya perubahan itu akan membuka jalan untuk dipertemukan dengan jodoh yang baik.

“Untuk kata hati saya sudah tertutup itu, segala rezeki, jodoh, ajal semuanya saya serah bulat-bulat pada Allah. Saya pegang kepercayaan itu.

““Biar Allah yang tentukan, insya-Allah. Cuma saya belajar kalau hendak dapat pasangan baik, mestilah saya kena jadi baik.

“Jadi saya kena fokus ke arah itu. Takkan saya hendak menghakimi orang, saya pun ada rekod yang tak berapa baik (kontroversi) sebelum ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada sidang media drama terbaharu terbitan iQIYI, Madu Atau Racun, pada 4 Ogos.

Pada masa sama, Aliff mengakui lebih selesa untuk tidak mengulas mengenai status dirinya ketika ini kepada khalayak.

Menurut selebriti kelahiran Singapura itu, selain memperbaiki diri, keutamaannya adalah kembali memberi tumpuan terhadap perjalanan kerjaya seni.

“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan (sama ada sudah bertemu jodoh). Bukan apa kalau saya jawab nanti lebih banyak pula isu yang menjadi perbincangan.

“Jadi, saya pilih untuk tidak berkongsi. Saya pilih untuk fokus kepada cerita perjalanan kerjaya saya. Selebihnya itu, tak perlulah kita ulaskan,” katanya.

Sementara itu, Aliff meluahkan rasa syukur kerana masih diberikan peluang untuk terus berkarya meskipun pernah melalui pelbagai episod ujian dan isu dalam kehidupan.

“Alhamdulillah, saya masih diberi kesihatan tubuh badan. Masih diberi ruang dan peluang untuk berkarya. Saya doa mudahkanlah apa sahaja bebanan yang ada di bahu ini atas kelemahan sendiri. Kuatkan hati untuk saya dapat maafkan diri sendiri.

“Bukan saya ‘play victim’, tidak. Daripada muda sampai sekarang sekiranya saya tersilap langkah, saya akan mengaku salah,” katanya.

Menurut Aliff, beliau tidak lagi mahu terus terperangkap dengan penyesalan kerana menyedari masa terus berlalu dan kehidupan perlu diteruskan.

“Saya hanya mencari kekuatan untuk memaafkan diri kerana hidup harus diteruskan. Alhamdulillah tahun ini saya sudah berusia 35 tahun.

“Saya tiada masa untuk duduk hanya bertenung nasib kerana waktu itu berputar. Takut nanti kalau saya tidak ‘move on’ lagi, bila saya buka mata sudah tak sempat hendak buat apa-apa.

“Jadi, saya mahu jalan terus dengan harapan besar agar Allah maafkan saya. Kalau saya buat macam ini, hati jadi lapang dan mudah membawa aura positif dan rezeki pun insya-Allah dipermudahkan,” katanya.

Aliff mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.

Bagaimanapun, pada 13 Jun 2024, Aliff dan Bella dilapor bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.

Sebelum itu, mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019, namun, rujuk semula dalam tempoh idah.

Dalam perkembangan lain, Aliff membintangi drama Madu Atau Racun arahan Eyra Rahman yang bakal menemui penonton menerusi platform iQIYI mulai 14 Ogos ini.

Drama 12 episod itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Uqasha Senrose, Elisya Sandha, Adlin Aman Ramlie, Liza Abdullah, Aprena Manrose dan ramai lagi.