Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu dakwaan ‘digam’ stesen TV: Aliff Aziz pilih positif, enggan buat spekulasi mengenai rezeki
Isu dakwaan ‘digam’ stesen TV: Aliff Aziz pilih positif, enggan buat spekulasi mengenai rezeki
Isu dakwaan ‘digam’ stesen TV: Aliff Aziz pilih positif, enggan buat spekulasi mengenai rezeki
Selepas sekian lama tidak muncul dalam drama terbitan stesen televisyen (TV) tempatan, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz akhirnya membuka mulut mengenai dakwaan kononnya beliau ‘digam’ daripada membintangi naskhah untuk siaran televisyen.
Bagaimanapun, Aliff, 35 tahun, mengakui tidak berada pada kedudukan untuk mengesahkan atau menafikan perkara itu kerana urusan pemilihan pelakon bukan berada dalam bidang kuasanya.
“Saya bukan bertugas di stesen TV tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Bagi saya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan memberikan yang terbaik.
“Kalau selepas ini ada peluang di stesen TV tempatan, saya tetap akan lakukan sebaik mungkin. Bukan dalam kawalan atau kuasa saya untuk menentukan siapa yang dipilih atau tidak dipilih,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu terbitan iQIYI, Madu Atau Racun, di A Quite Place, pada 4 Ogos.
Mengulas sekiranya dakwaan itu benar, Aliff yang ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) tidak menafikan tetap berasa sedih, namun memilih untuk melihat setiap ujian daripada sudut yang lebih positif.
“Kalau saya dengar perkara seperti itu, sudah tentu saya sedih. Saya juga manusia biasa.
“Tetapi saya akan ingatkan diri sendiri bahawa mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik.
“Apabila saya fikir begitu, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang mungkin tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, alhamdulillah masih ada pihak lain yang sudi memberikan peluang,” katanya.
Pelakon kelahiran Singapura itu berkata beliau bersyukur kerana masih diberi ruang untuk terus berkarya walaupun sering berdepan pelbagai persepsi dan kritikan.
“Saya sangat bersyukur. Bukan saya hendak menunjuk bahawa saya masih ada, tetapi saya percaya rezeki itu ada di mana-mana.
“Apabila peluang datang, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.
“Dalam banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka atau diam-diam,” katanya.
Bekas suami penyanyi dan pelakon, Bella Astillah itu, berkata doa daripada keluarga serta individu yang sentiasa memberikan sokongan menjadi kekuatan untuknya terus bangkit.
“Saya masih berada di sini hari ini kerana doa ibu, ayah, adik-beradik dan juga orang yang mungkin saya sendiri tidak kenal.
“Saya juga membaca mesej daripada mereka yang mendoakan supaya saya terus melangkah ke hadapan. Sebab itu saya lebih memilih untuk memberi perhatian kepada perkara positif daripada melayan komen yang menghina,” katanya.
Sebelum ini, ketiadaan Aliff dalam drama terbitan stesen TV tempatan mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan beliau disenaraihitamkan daripada muncul di saluran televisyen.
Dalam perkembangan lain, Aliff membintangi drama Madu Atau Racun, arahan Eyra Rahman, yang akan mula ditayangkan menerusi platform iQIYI pada 14 Ogos ini.
Drama 12 episod itu turut dibintangi Uqasha Senrose, Elisya Sandha, Adlin Aman Ramlie, Liza Abdullah, Aprena Manrose dan barisan pelakon lain.