Ibu hormati permintaan Aisyah Aziz pelihara privasi selepas bersalin
Ibu hormati permintaan Aisyah Aziz pelihara privasi selepas bersalin
Kegembiraan menyelubungi hati Cik Siti Hafiza Basharahil, ibu kepada penyanyi Singapura, Aisyah Aziz, 31 tahun, tatkala menyambut kelahiran cucu ketiganya.
Baru-baru ini, beliau berkongsi khabar gembira di laman media sosial, mengumumkan kelahiran cahaya mata sulung Aisyah.
Aisyah, yang merupakan adik juara Gegar Vaganza 8 (GV8), Aliff Aziz, mendirikan rumah tangga pada 11 April 2025 dengan abang ipar kepada usahawan selebriti Neelofa, Dr Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail, dalam satu majlis tertutup di Singapura.
“MasyaAllah, inilah hadiah yang sangat bernilai buat kami sekeluarga.
“Kami mendoakan agar cucunda sentiasa dalam lindungan dan kasih sayang Allah.
“Semoga menjadi anak yang soleh, menjadi penyejuk mata bagi Abah, Ummi, dan seluruh keluarga, serta sentiasa dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat,” tulis Cik Hafiza dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram pada 30 Januari lalu.
Dalam hantaran itu, beliau dan suaminya, Encik Aziz Sapdan, dilihat mengendong bayi sulung Aisyah.
Ramai selebriti Singapura turut meluahkan kegembiraan mereka dengan memberikan ucapan tahniah serta harapan di ruang komen di Instagram milik Cik Hafiza termasuk Marina Yusoff, Nur Farhana M Noor, Fatimah Mohsin dan AB Shaik.
Apabila dihubungi oleh Berita Harian (BH) pada 2 Februari, Cik Hafiza memaklumkan Aisyah dan suaminya, Dr Fakhrudin Amir, memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jantina bayi mereka dan pengalaman persalinan Aisyah, demi mengekalkan ruang dan privasi sebagai ibu bapa baru.
“Buat masa sekarang, Aisyah dan suami lebih selesa untuk mengekalkan privasi kerana baru menerima cahaya mata pertama mereka.
“Saya hanya menghormati permintaan mereka, insyaAllah,” katanya.
Sebagai ibu dan nenek tiga cucu, beliau juga berharap agar pasangan itu dilimpahi kemudahan dan keberkatan dalam menempuh fasa baru sebagai ibu bapa.
“Sebagai nenek, saya amat bersyukur atas rezeki Allah yang sangat bernilai ini.
“Saya mendoakan agar perjalanan anakanda, Aisyah, berserta suaminya sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan Allah,” ujar Cik Hafiza.

