Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amar Baharin, Qobin harungi cabaran akhir misi kayuhan ke Madinah

May 29, 2025 | 3:13 PM
qobin, amar baharin, madinah, makkah
Usahawan dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin (kanan), dan pelakon, Amar Baharin, kini meneruskan misi kayuhan berbaki 150 kilometer dan dijangka tamat di Madinah pada 31 Mei atau 1 Jun depan. - Foto INSTAGRAM QOBIN

“Saya bersyukur kerana selamat dan sihat, tak sabar rasanya nak ziarah (makam) Rasulullah saw.”

Begitu kata usahawan dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 43 tahun, ketika berkongsi perkembangannya yang kini dalam misi kembara berbasikal, #JourneyToTanahHaram bersama pelakon, Amar Baharin, 40 tahun.

Menurut Qobin, misi kayuhan berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya sulit dan berdepan cabaran, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, beliau dan Amar terharu kerana banyak urusan dipermudahkan dengan bantuan warga tempatan serta rakyat Malaysia ditemui sepanjang perjalanan.

“Tiga hari lalu, saya mengalami kekejangan satu badan kerana cuaca yang amat panas. Walaupun sudah minum banyak air, tapi masih alami kekejangan otot dan terpaksa berehat dua malam di pekan di Wilayah Al-Qassim.

“Tapi keadaan beransur baik dan dapat menginap di rumah orang Malaysia di sini (Al-Qassim) sebelum meneruskan perjalanan ke Al Henakiyah, hari ini (28 Mei),” katanya.

Menjelang hari terakhir sebelum tiba di Madinah, Qobin, yang juga bapa lapan anak, meminta orang ramai mendoakan agar urusannya dan Amar dipermudahkan hingga selamat sampai ke destinasi dituju.

“Ribuan terima kasih atas sokongan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kami di media sosial terutama TikTok, Instagram dan Facebook.

“Doa kalian semua jadi kekuatan di sepanjang musafir kami,” katanya.

Terdahulu, Qobin dan Amar memulakan misi kayuhan ke tanah suci pada 27 April lalu menerusi pelepasan di Perlis ke Thailand.

Misi kayuhan berbaki 150 kilometer lagi dan dijangka tamat di Madinah pada 31 Mei atau 1 Jun depan.

Menurut rekod, Qobin pernah melakukan misi kayuhan dari Los Angeles ke India pada 2007 hingga 2008, selain kembara bermotosikal ke Australia, Jepun, Korea Selatan, China Vietnam, Laos dan Thailand sebelum pulang ke tanah air.

Manakala, misi #JourneyToTanahHaram adalah pengalaman sulung Amar mengembara dengan berbasikal ke Madinah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg