KUALA LUMPUR: Kes saman antara penulis skrip drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, Haironizam Mohd Idris, 37 tahun, dengan pelakon Malaysia, Amelia Thripura Henderson, 29 tahun, akan tetap diteruskan di mahkamah selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikan isu berkenaan secara baik, di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 6 Ogos.
Peguam, Cik Nor Zabetha Muhammad Nor, berkata bahawa tiada sebarang penyelesaian dicapai antara anak guamnya, Haironizam, selaku plaintif, dengan Amelia sebagai defendan di hadapan Timbalan Pendaftar Mazilah Manap.
“Hari ini (6 Ogos) merupakan mediasi antara dua pihak terlibat iaitu proses yang dibuat sekiranya ada penyelesaian secara damai tanpa memerlukan perbicaraan,” kata Cik Nor Zabetha.
“Bagaimanapun, usaha ini tidak berjaya selepas dua pihak tidak mencapai kata sepakat, salah satunya membabitkan tawaran kes,” tambah beliau, lapor Sinar Harian.
Susulan itu, kes tersebut akan dibicarakan pada 6 dan 7 Februari 2025, di hadapan Hakim, Fa’iz Dziyauddin.
Menurutnya, mahkamah turut menetapkan pengurusan kes secara talian pada 4 Oktober untuk mengemas kini pemfailan dokumen prabicara.
Daripada pandangan pihak Amelia pula, menurut peguamnya, Cik Mansheel Kaur, proses penyelesaian gagal kerana tiada persefahaman daripada kededua pihak.
“Kami telah bersedia untuk perbicaraan dan senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam kes saman ini, masih dalam perbincangan,” katanya selepas prosiding itu.
Dalam saman yang difailkan pada 20 September 2023, plaintif mendakwa Amelia memuat naik siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022, dengan memberi kenyataan yang menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama ‘Sekali Lagi Cinta’.
Plaintif mendakwa video tersebut telah memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip plaintif dalam drama tersebut yang menyokong keganasan rumah tangga selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.
Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau Internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk.
Pada 7 April 2023, Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur memerintahkan Amelia membayar lebih RM200,000 ($59,669) kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn Bhd.
Ia berhubung isu pelanggaran kontrak drama, selepas mendapati Amelia telah melanggar terma kontrak dalam drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ , apabila beliau menarik diri daripada membintangi drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ dengan A. Aida Production Sdn Bhd pada 25 Januari 2022 tanpa sebarang alasan munasabah.
Bagaimanapun pada 27 Oktober tahun sama, Amelia berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, untuk mengetepikan keputusan itu.
Mahkamah menggantikan bayaran itu dengan memerintahkan pelakon popular berkenaan membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dalam tempoh 14 hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg