Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amir UK’s antara 82 bakal jemaah haji terkandas, jadi mangsa tawaran haji tidak wujud

Jun 4, 2025 | 11:44 PM
Amir, atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof (kiri), 56 tahun, berkata beliau agak terkilan selepas penantian sekian lama menunaikan ibadah haji berakhir dengan kedukaan. Bersamanya ialah isterinya, Cik Sarimah Ahmad, 51 tahun, yang sepatutnya berangkat bersama pada 1 Jun lalu.
Amir, atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof (kiri), 56 tahun, berkata beliau agak terkilan selepas penantian sekian lama menunaikan ibadah haji berakhir dengan kedukaan. Bersamanya ialah isterinya, Cik Sarimah Ahmad, 51 tahun, yang sepatutnya berangkat bersama pada 1 Jun lalu. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Amir UK’s, meluahkan kekecewaan selepas didakwa menjadi mangsa penipuan syarikat yang memberikan penajaan bagi menunaikan ibadah haji.

Amir, atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56 tahun, berkata beliau agak terkilan selepas penantian sekian lama menunaikan ibadah haji berakhir dengan kedukaan.

Namun, katanya, apakan daya semuanya terkubur selepas ditipu pihak berkenaan, tetapi reda dengan ujian menimpanya dan isteri, Cik Sarimah Ahmad, 51 tahun.

Penyanyi lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu sepatutnya berlepas ke tanah suci pada 1 Jun lalu bersama 77 jemaah lain tetapi kini menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Pada masa yang sama, katanya, kes penipuan itu sudah berada dalam radar penyiasatan pihak berkuasa selepas laporan dibuat jemaah, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Saya sepatutnya terbang ke Jeddah menerusi pesawat Singapore Airlines, pada 1 Jun lalu, bersama isteri dan jemaah lain selepas ditaja sebuah syarikat.

“Bagaimanapun, hingga saat ini, saya belum lagi berangkat ke tanah suci selepas difahamkan visa penerbangan tidak diluluskan.

“Sekarang, sudah jadi kes polis mengenai isu penipuan ini. Saya sudah membuat laporan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jadi, biarlah polis menyiasat perkara itu secara lebih terperinci agar kami dapat mengetahui punca. Sejujurnya, saya meletakkan harapan tinggi untuk pergi menunaikan Rukun Islam kelima selepas semua persiapan dibuat,” kata Amir sebak ketika dihubungi.

Terdahulu, Amir bersyukur selepas penantiannya untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya bakal tertunai selepas mendapat tajaan daripada sebuah syarikat.

“Kami teruja dan setuju terima tawaran sebab ia peluang sukar diperoleh. Segala maklumat kami terima melalui satu kumpulan WhatsApp, namun pihak agensi pelancongan terkenal yang didakwa menguruskan perkara itu tiada dalam kumpulan berkenaan.

“Kami menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan surat tawaran yang mempunyai kepala surat agensi itu diterima atas nama kami pada 27 Mei. Kami juga dijanjikan visa mujamalah.

“Kami dijadualkan berlepas ke tanah suci pada 5 petang, Ahad lalu (1 Jun) dengan semua urusan termasuk mengambil suntikan (vaksin) dan perkara lain yang menelan kos hampir RM4,000 ($1,213) dibayar sendiri.

“Ini kerana pihak berkenaan mendakwa akan dibayar semula, malah duit belanja juga akan diberikan,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak menyedari pengumuman yang dibuat dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang memberitahu penerbangan mereka tiada pada Ahad lalu.

“Ketika itu saya dan isteri sudah berada di KLIA dan selepas tahu penerbangan tiada, kami bermalam di hotel di Sepang.

“Keesokannya kami dimaklumkan penerbangan akan berlepas pada 5 pagi, menjadikan saya yakin kami akan berlepas juga ke tanah suci.

“Pada hari berkenaan, saya lihat semua jemaah berada di KLIA tetapi tiada siapa yang datang membawa visa dan pasport, sehingga rakan yang menguruskan perkara itu beritahu kami akan berlepas dari Kompleks Bunga Raya dengan pesawat sewa khas,” katanya.

Penyanyi itu berkata, biarpun sudah menunggu lama, sehingga hampir waktu penerbangan dijadualkan berlepas, pihak berkenaan yang membawa visa dan pasport masih belum tiba.

Katanya, ketika itu berasa tidak sedap hati sebelum menyedari mereka mungkin menjadi mangsa penipuan biarpun rakan yang menguruskan perkara itu tetap cuba meyakinkan mereka akan berlepas ke tanah suci.

“Saya percaya tawaran itu kerana mempunyai surat daripada pihak agensi pelancongan itu dan sebagai orang yang ditaja, saya percaya dengan semua urusan diuruskan pihak berkenaan sebab semua itu adalah percuma.

“Saya juga tidak tahu mengenai agensi itu dan siapa dalangnya. Saya sudah membuat laporan polis dan selepas itu pihak terbabit memberitahu pasport kami sudah boleh diambil di sebuah rumah di Setia Alam,” katanya sambil berharap orang ramai akan lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman, mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berhubung kes berkenaan yang dibuat oleh beberapa jemaah haji yang terkandas.

“Saya sahkan ada menerima laporan berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Amir pernah mengeluarkan enam album dengan 60 lagu mengalir air mata selepas namanya bersama isteri tersenarai dalam ribuan jemaah yang memohon untuk ke tanah suci.

Difahamkan seramai 82 bakal jemaah haji termasuk Amir terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji di Makkah apabila didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg