KUALA TERENGGANU: Penyanyi Malaysia, Amir UK’s, meluahkan rasa syukur selepas penantiannya untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan sebagaimana diimpikan selama ini.
Lebih menggembirakan penyanyi lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu berangkat ke tanah suci Makkah bersama isterinya, Cik Sarimah Ahmad, 51 tahun, pada 1 Jun.
Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56 tahun, berkata, beliau dan isterinya ‘terbang’ ke Makkah untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama 77 jemaah lain.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka dalam ramai jemaah yang memohon, nama saya dan isteri turut tersenarai untuk mengerjakan haji, tahun ini (2025) selepas lama menanti.
“Jika ditanya perasaan, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata kerana terlalu teruja dan bagaikan bermimpi. Mengalir air mata saya kerana amat bersyukur kerana akhirnya dapat juga tawaran menunaikan haji.
“Lebih menggembirakan, tawaran haji ditaja oleh sebuah syarikat yang tidak boleh saya dedahkan. Maknanya, saya tidak keluarkan kewangan sendiri untuk ke Makkah dan ini memang betul-betul rezeki buat saya dan isteri,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Amir, beliau dan semua ahli keluarga bersyukur kerana doa dititip selama ini dimakbulkan oleh Allah dengan penuh sabar sebelum dijemput menjadi ‘tetamu’ kerana ia bukanlah peluang yang mudah.
Terdahulu, Amir ditemui pengamal media selepas sesi berjumpa dengan peminat di Sabasun HYPErRUNCIT, Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Amir yang lebih 30 tahun aktif dalam industri hiburan dan sudah menghasilkan enam album dengan lebih 60 lagu, memohon agar peminat dapat mendoakan perjalanannya pergi dan balik menunaikan haji dipermudahkan.
“Saya dan 77 jemaah lain bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini (1 Jun) menaiki penerbangan hingga ke Jeddah memohon agar peminat dan rakan-rakan dapat memaafkan saya jika ada kesilapan yang disedari atau tidak.
“Insya-Allah, saya akan berada di Makkah selama 30 hari dengan berharap segala persiapan sudah dibuat akan berjalan lancar, termasuk segala ibadah saya di sana nanti,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg