Isteri Fattah Amin, iaitu penyanyi, Amira Othman mengaku tidak berhasrat menarik balik laporan dibuat terhadap seorang pemilik akaun media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap mereka.

Sebaliknya, Amira memberitahu, beliau dan Fattah masing-masing ingin tahu siapa individu yang berselindung di sebalik akaun di platform Threads itu.

“Kami tidak akan tarik laporan sebab kami pun nak tahu siapa dia yang tampak seperti sangat berani berselindung di sebalik akaun palsu itu.

“Jadi, mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa viral, isu ini dapat diselesaikan,” kata Amira dalam entri Threads, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Amira berkata beliau dan Fattah masing-masing menerima banyak pesanan langsung (DM) daripada peminat yang memohon agar mereka tidak menarik laporan yang sudah dibuat kepada pihak berkuasa terhadap pemilik akaun berkenaan.

“Penuh DM saya orang mesej serta ‘tagged’ saya dan suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa individu yang memfitnah kami macam-macam .

“Bercakap perkara tidak elok. Saya baca pun seram... Tidak takut ke pada Allah?” katanya.

Amira memberitahu selain membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM), mereka bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berhubung kegiatan memfitnah dan melempar dakwaan bukan-bukan di alam siber menggunakan akaun palsu.

Amira berpandangan selagi tidak ada mekanisma untuk menyelesaikan isu buli siber, selagi itulah pemilik akaun palsu tidak mengenali erti takut.

“Isu ini takkan selesai dan terus berleluasa. Malah, pemilik akaun palsu tidak takut sebab kita tak ada tindakan tegas,” katanya.

Baru-baru ini, kecoh seorang pemilik akaun Threads melempar pelbagai fitnah ke atas Fattah dan Amira. Bagaimanapun, semakan mendapati akaun terbabit sudah dinyahaktifkan.

Awal daripada itu, pelakon Fattah Amin kesal dengan tindakan seorang pemilik akaun di platform Threads yang didakwa melemparkan pelbagai fitnah terhadapnya, sejak beberapa tahun lalu.

Fattah mendakwa pemilik akaun terbabit kerap mencetuskan pelbagai provokasi dengan cerita yang tidak benar mengenai dirinya.

“Sebenarnya saya tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini awak cipta.

“Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang diada-adakan ini sudah semakin melampau,” katanya pada entri yang dimuat naik di Threads.

Fattah yang berusia 36 tahun itu mendakwa, antara lain beliau difitnah mengenai perkara yang berkaitan anaknya, Nur Fatima Aisya.

Tambah Fattah, laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat, namun, mendakwa masih belum ada tindakan selanjutnya daripada pihak berkenaan.

“Saya sudah lama laporkan akaun awak ini pada PDRM dan SKMM sebab sudah bertahun-tahun awak wujudkan fitnah ini.

“Tetapi, sampai sekarang masih tiada tindakan. Selebihnya yang lain-lain saya tak nak komen sebab anda semua boleh menilai bahasa dan kata-kata akaun ini.

“Jadi, mungkin sudah sampai masa kita gunakan butang ‘report’ ini beramai-ramai supaya akaun seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam kalangan masyarakat kita,” tulisnya.

Fattah menyifatkan tindakan pemilik akaun terbabit akan memecahbelahkan keharmonian rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Malah, katanya, sebagai orang Islam, fitnah dilarang.