Topic followed successfully
Go to BHkuAmira Othman umum hamil 30 minggu, tinggal dunia lakonan
Amira Othman umum hamil 30 minggu, tinggal dunia lakonan
Amira Othman umum hamil 30 minggu, tinggal dunia lakonan
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil anak sulung hasil perkahwinannya bersama pelakon, Fattah Amin.
Menurut Amira, 33 tahun, usia kandungannya kini telah mencecah 30 minggu dan beliau dijangka akan bersalin pada Jun ini.
“Alhamdulillah saya mengesahkan diri kini sedang hamil. Sekarang ini usia kandungan saya sudah mencecah 30 minggu. Insya-Allah saya dijangka akan bersalin pada Jun depan,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) semasa majlis pelancaran produk terbaharu Rissa Skin di Shah Alam pada 30 April.
Walaupun teruja bakal menimang cahaya mata pertama, Amira memilih untuk tidak berkongsi jantina bayi buat masa ini dan akan mengumumkannya pada waktu yang sesuai.
“Saya pun belum tahu mengenai jantina anak yang bakal lahir. Saya tidak kisah, asalkan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan yang sihat,” ujarnya.
Sementara itu, Fattah Amin turut meluahkan rasa syukur atas rezeki zuriat yang bakal dikurniakan dalam rumah tangga mereka.
“Alhamdulillah, segalanya sudah terjawab dan saya tumpang rasa syukur kerana bakal dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Soal jantina, saya tidak kisah asalkan bayi yang dikandung Amira berada dalam keadaan sihat dan urusan bersalin nanti dipermudahkan,” katanya.
Awal sebelum itu, Amira mengumumkan keputusan mengundurkan diri daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian.
“Sejujurnya, saya memang sudah tidak berlakon lagi. Saya betul-betul berhenti daripada dunia lakonan.
“Saya hanya berlakon untuk produk keluaran UTV kerana kami suami isteri adalah duta Amber dan sebahagian daripada komitmen itu memerlukan kami berlakon,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan seninya, Amira memaklumkan beliau akan terus bekerja selagi mampu sebelum berehat panjang untuk menjalani tempoh berpantang.
“Selagi ada rezeki, saya akan terus bekerja. Saya akan berehat untuk pantang sahaja selepas ini,” katanya lagi.
Tambah Amira, pengalaman berlakon sebelum ini dianggap sebagai proses pembelajaran untuk menguji kemampuan diri dalam bidang berbeza.
Namun, kekangan masa dan tempoh penggambaran yang panjang menjadi antara faktor dia memilih untuk tidak lagi aktif berlakon.
“Kita tahu berlakon, terutama drama bersiri, sangat memakan masa.
“Saya tabik pelakon yang mampu bertahan lama di set penggambaran.
“Kalau menyanyi, persembahan mungkin hanya setengah jam. Jadi, lebih baik saya fokus kepada apa yang paling saya minati,” katanya.
