Bagaikan artis itu kawan baik atau anggota keluarga mereka, sampaikan pilihan yang dibuat selebriti berkenaan turut dipersoalkan.
Buat itu salah, buat ini salah.
Dalam senario perkahwinan pasangan pelakon, Fattah Amin, 35 tahun, dan penyanyi, Amira Othman, 32 tahun, yang disifatkan sebagai Wedding of the Year, ada sahaja yang tak kena di mata sesetengah netizen, yang gigih menjaga tepi kain orang.
Turut terkena tempias komen ‘laser’ netizen adalah bekas isteri Fattah, pelakon dan usahawan jelita, Nur Fazura Sharifuddin, 42 tahun, serta anak mereka, Nur Fatima Aisya, empat tahun, yang ikut serta duduk di pelamin bersama bapa dan ibu tirinya.
Padahal, Fazura nampaknya seronok bercuti di Thailand dengan teman-temannya ketika majlis pernikahan tersebut berlangsung penuh perlambangan keislaman di resort Golden Palm Tree Bagan Lalang di Sepang.
Sebahagian netizen yang ‘over’ berkata, Fattah dan Amira tidak memikirkan perasaan Fazura dan Fatima yang tercalar kerana bergelar pengantin baru dalam sekelip mata.
Ada juga yang memuji Fazura kerana mengizinkan Fatima hadir sama di hari bahagia ‘daddy’-nya itu.
Memang kalau dibuka media sosial sejak seminggu lalu, apa yang muncul dan menarik perhatian di Facebook, Instagram dan TikTok adalah keratan video majlis pernikahan ‘Fattmira’ (gabungan nama Fattah dan Amira).
Ternampak komen: “Kasihan Amira... nak raikan hari bahagia berdua dengan Fattah, ada pula si Fazura Jr di tengah-tengah!”, dengan seorang lagi netizen berbalas komen: “Eh, dah Amira pilih duda, mesti terima dengan pakej anak tunggalnya sekali!”
Memang saya akur netizen terlalu taasub atau mungkin terlalu mempunyai banyak masa untuk berfikir banyak sehingga melebih-lebih bikin kisah artis ni macam kisah keluarga atau kawan sekolah mahupun sepejabat mereka sendiri.
Kira dah ‘enter frame’ dan ‘join sekaki’ berbincang dan berdebat tentang pilihan hidup orang lain (Fattah, Amira, Fazura dan Aisya).
Yang membanding-bandingkan Fazura dan Amira sebagai isteri Fattah (dulu dan sekarang) pun ramai juga.
Ada yang menyatakan Amira lebih sesuai menjadi suri hati Fattah kerana lemah lembut berbanding Fazura yang kecoh apabila berbicara.
Aduh... hari tu saya tergelak juga dan terfikir gigih sungguh netizen yang sempat menggali ciapan ‘tweet’ lama di media sosial yang ditulis Amira di Twitter (kini X) tentang hubungan Fattah dengan pengacara, pelakon dan usahawan, Neelofa, dan juga majlis perkahwinan Fattah dan Fazura.
Tajuk berita di laman Kosmo! Online mencuit hati: “Member wish, member dapat” – Ciapan lama Amira kembali tular.”
Amira menulis pada 2017: “Congratulations Fattah & Fazura! Jodoh itu rahsia Allah”, manakala sebelum ini (awal 2017) beliau juga pernah komen tentang kemunculan manis Fattah dan Neelofa di rancangan Meletop ketika mereka dikatakan menjalin kasih selepas populariti drama, Suri Hati Mr Pilot.
Tapi memang semuanya telah menjadi suratan atau yang ditulis Tuhan.
Netizen tak perlulah bermuram durja, hanya kerana Fattah sudah menamatkan zaman dudanya atau mengutuk Fazura dan Fatima (yang tidak tahu apa-apa sebab masih kecil lagi).
Etika dalam talian mesti juga dijaga. Jangan sampai timbul fitnah dan perbalahan tiada berkesudahan kerana selebriti yang dikenal dari kejauhan ini.
Ada juga video yang rasanya sudah disunting atau disalah takrif oleh netizen, yang memaparkan Fatima mencebik bibir dan ‘buat muka’ tak suka ketika Fattah sedang mencium tangan Amira di pelamin untuk sesi foto.
Sesetengah netizen menyalahkan kecerdasan buatan (AI). Ada juga yang kata Fatima sebenarnya memberi reaksi mencebik bibir kerana bau percikan bunga api di pelamin yang tiba-tiba menjadi kejutan.
Biarlah Fattah dan Amira hidup bahagia dan membina lembaran baru dalam hidup mereka.
Kita pun boleh doakan kebahagiaan Fazura yang nampaknya tersenyum ceria sahaja setiap kali bikin sesi ‘live’ di TikTok.
Walaupun ramai peminat Fazura mengharapkan dirinya bertemu jodoh, Fazura menegaskan masih baru lagi kisah perceraiannya dan beliau ingin tenang meluangkan masa membesarkan Fatima dahulu.
Tarikh 14 September (hari lahir Fattah dan majlis pernikahannya dengan Amira) pula adalah detik Fazura mengenang pemergian lelaki pertama yang dicintainya, iaitu arwah bapanya, Allahyarham Sharifuddin Adnan, 25 tahun lalu.
Dalam video Fazura, diimbas kembali kisah busana rekaan Zaimi Zulkafli yang memaparkan wajah bapanya di bahagian belakang. Semoga Fazura juga temui kebahagiaannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg