Amyza Adnan kekal positif, terus bangkit walau diuji kesihatan suami, anak sulung
Amyza Adnan kekal positif, terus bangkit walau diuji kesihatan suami, anak sulung
Berdepan pelbagai ujian hidup, pelakon Malaysia, Amyza Aznan, 50 tahun, mengakui kadangkala dilanda kelesuan melampau, terutama apabila terlalu penat dan bersedih.
Namun, Amyza enggan menyerah kepada emosi.
Sebaliknya, beliau segera mencari kekuatan diri, kerana percaya ujian yang dilalui bukanlah beban berat.
“Sebagai manusia, tipulah jika kita tidak pernah rasa ‘burnout’. Lumrah untuk rasa letih dan sedih.
“Tetapi jangan biarkan perasaan itu menguasai diri. Boleh bersedih sehari dua, tetapi hari ketiga kita harus bangkit.
“Setiap kali diuji, itu adalah ‘bonus’ untuk masa depan saya. Ujian itu bukan beban, sebaliknya pengalaman yang indah.
“Cuma ketika menghadapi ujian, ia memerlukan ketahanan, kesabaran, dan kekuatan mental.
“Tapi saya reda sepenuhnya dan sebenarnya menikmati setiap ujian yang datang,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau ditemui media pada sesi minum petang acara Glambritty Alha Alfa Cosmetics, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 3 Februari.
Pelakon drama, Rindu Kasih, itu turut meyakini ujian yang diberikan selaras dengan kemampuan dirinya.
Bagi Amyza, setiap ujian pasti terselit hikmah.
“Kekuatan saya sebenarnya terletak pada hubungan saya dengan Allah, setiap kali diuji.
“Saya sedar setiap kali rasa goyah, itu ujian daripada-Nya untuk memberikan sesuatu yang tidak saya jangka.
“Itulah sumber kekuatan saya. Saya percaya sepenuhnya kepada-Nya,” ujar Amyza.
Dalam pada itu, Amyza turut berkongsi perkembangan terkini suaminya, Khairil Idzhar Md Nazir, dan anak sulungnya, Andre Mikhail Khairul, yang diuji masalah kesihatan.
Andre, 23 tahun, disahkan menghidap barah paru-paru pada 2025.
Pada 2024 pula, suami beliau, Khairil, pernah berada dalam keadaan tenat dan ditidurkan selepas mengalami sesak nafas.
Bercerita lanjut, Amyza memaklumkan anak sulungnya masih menjalani rawatan kemoterapi.
“Anak-anak dan keluarga saya okey. Anak sulung saya masih lagi menjalani kemoterapi.
“Sekarang kami sedang menukar jenis ubat kemoterapi kerana kansernya tidak bertindak balas terhadap rawatan yang doktor berikan sebelum ini,” jelas Amyza.

