Amyza ambil tindakan atas tuduhan jana wang daripada pemergian anak
Amyza ambil tindakan atas tuduhan jana wang daripada pemergian anak
Amyza ambil tindakan atas tuduhan jana wang daripada pemergian anak
Dek tidak tahan dengan tuduhan melulu, pelakon dari seberang, Amyza Aznan, akan mengambil tindakan terhadap seorang pemilik akaun TikTok yang didakwa menuduhnya menggunakan kisah pemergian anak bagi meraih simpati ramai.
Amyza, 50 tahun, mendakwa pemilik akaun TikTok terbabit mengganggunya sejak hari pertama pemergian anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, 23 tahun, pada 23 Februari, sehingga kini.
Sehubungan itu, Amyza nekad membuat laporan polis dan melaporkan akaun individu terbabit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Merata-rata dia tinggalkan komen di video TikTok saya... antaranya tuduh saya tidak reda dengan ketentuan Allah.
“Apabila saya sekat, dia buat pula akaun baharu. Sudah dua akaun dia saya sekat.
“Tidak cukup itu, dia ikuti pula sesi langsung TikTok adik saya, dan tinggalkan lagi komen bukan-bukan.
“Saya tidak tahu macam mana dia boleh jumpa akaun adik saya, sedangkan saya sendiri pun tidak ikuti akaun TikTok dia.
“Selama sebulan saya bersabar. Sekarang, saya sudah tak tahan sebab komennya melampau.
“Saya tidak mahu lagi beri amaran, sebaliknya, akan terus buat laporan polis dan SKMM,” katanya, dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Paling membuatkan Amyza berang adalah apabila pemilik akaun terbabit menuduhnya menjaja kisah sedih semata-mata untuk meraih sumbangan.
“Genap sebulan dia masih tidak habis-habis lagi tinggalkan komen bukan-bukan... Saya tidak tahu apa masalah dia.
“Dia tuduh saya jaja cerita sedih untuk dapatkan sumbangan. Dia ingat saya sengaja hendak main-main dengan nyawa anak?
“Saya lebih rela miskin daripada ada duit. Saya kongsikan video Andre supaya dia dapat pahala daripada doa orang ramai.
“Pada masa sama, orang yang mendoakan arwah juga dapat pahala.
“Itu sahaja niat saya. Tetapi, dia tidak habis-habis mengganggu mental saya.
“Agaknya, dia hendak saya buat perkara bodoh, baru dia puas hati!” ujarnya.
Pemilik akaun TikTok terbabit mungkin menyangka dirinya bermewah-mewah dengan sumbangan yang dihulurkan orang ramai, tambah Amyza.
Bagaimanapun, menurut Amyza, kebanyakan sumbangan didepositkan ke akaun anak-anaknya.
“Dia ingat sumbangan itu boleh buatkan saya kaya raya seumur hidup?
“Sumbangan itu akan saya gunakan untuk kos rawatan anak kedua saya, Adrian Adam.
“Itu adalah sumbangan perubatan, bukan sumbangan sara hidup.
“Saya tidak sentuh sumbangan itu sesuka hati.
“Ketika majlis tahlil pada Syawal pertama pun, saya gunakan wang gaji, bukan wang daripada sumbangan orang ramai.
“Saya ambil tindakan demi menjaga kesihatan mental. Apa yang dia lakukan sudah mengganggu emosi.
“Saya hendak tengok muka individu yang memfitnah saya itu,” ujar Amyza.
Allahyarham Andre menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Malaysia, selepas bertarung melawan barah paru-paru tahap tiga pada 23 Februari.
Dalam pada itu, anak keduanya, Adrian Adam, 18 tahun, pula disahkan menghidap barah tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi Amyza di wadah media sosialnya, sehingga mengejutkan ramai.

