Darah seni yang mengalir dalam tubuh anak Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Sri Tiara Jacquelina, Mila Mohsin, 28 tahun, akhirnya menumbuhkan keberanian.
Mila atau nama sebenarnya, Hani Karmila Hani Mohsin, yang pada awalnya gentar dibandingkan dengan legasi ibu bapanya dalam dunia seni, kini bersedia menonjolkan bakatnya sendiri sebagai pelakon.
Bagaimanapun, beliau mengakui ketakutan awal itu sedikit sebanyak membelenggu dirinya.
Hasil dorongan suami tercinta, yang dikenali sebagai Abang Saef Hud, Mila menjadikan ia sebagai pemangkin untuk melangkah ke hadapan.
“Mungkin sebab takut dibandingkan dengan legasi yang ayah dan ibu tinggalkan.
“Siapa yang tak kenal Tiara Jacquelina dan Hani Mohsin?
“Mereka tinggalkan legasi luar biasa yang amat sukar untuk diisi. Tapi, atas sokongan suami yang paling kuat, dia meyakinkan saya jadikan lakonan fokus utama.
“Ibu (panggilan bagi Tiara) pula risau.
“Beliau kalau boleh memang tak izinkan saya masuk bidang ini,” kata Mila.
Beliau ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di set penggambaran drama bersiri, Good Boys Go To Heaven, arahan Ariff Zulkarnain, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Meskipun ibu Mila, Tiara, sempat meragui keputusannya untuk menceburi dunia seni, Mila akur minatnya terhadap bidang ini terlalu kuat untuk dihakis.
Ketika menuntut di Australia, Mila aktif menyertai pementasan teater, di samping mendalami jurusan Psikologi dan Perniagaan.
“Sejak kecil, saya sudah ikut ibu bapa ke set penggambaran dan pejabat mereka.
“Perlahan-lahan, minat itu kian menebal,” ujarnya, yang telah mendirikan rumah tangga pada 7 Ogos lalu (2025).
Mila berkata, pengalaman membesar di sekeliling dunia seni membuatkan beliau sedar inilah jalan yang ditakdirkan untuknya.
“Seperti pepatah, ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi’ – Apa yang saya nak cari lagi? Kalau cuba bidang lain sekalipun, akhirnya saya akan kembali ke sini.
“Tuhan sudah tentukan semua ini kerana saya dapat rasakan dalam darah daging saya inilah jalan yang saya inginkan,” ungkap Mila.
Dalam drama bergenre psikologi thriller, Good Boys Go To Heaven, Mila membawakan watak Maureen, rakan baik kepada teraju utama, Zahirah MacWilson.
Drama itu dijadualkan menemui penonton pada 2026 melalui Astro Go, Astro On Demand, saluran Astro Citra dan Astro Ria.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg