Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak muda cabar diri bawa watak tentera diuji isu perkauman
Pementasan Teater Ekamatra, ‘Charged’, penuh konflik, sarat emosi
Bagi pelakon pentas, Irsyad Dawood, melihat sisi cerah kehidupan sudah menjadi lumrah buat dirinya.
Bagaimanapun, dalam naskhah pentas, Charged, yang dibawakan kumpulan teater mapan, Teater Ekamatra, Irsyad, atau nama sebenarnya, Muhammad Irsyad Dawood, 27 tahun, perlu berubah menjadi seorang yang panas baran dan dipenuhi konflik dalaman.
Ia dilakukan bagi menjayakan watak tentera, Koperal Mohammad Akmal Hakim Yusof.
Koperal Hakim menjadi nadi kepada penceritaan tentang isu perkauman dan kemanusiaan yang diketengahkan dalam naskhah karya penulis dan pengarah teater tempatan, Chong Tze Chien, itu.
Berlatarbelakangkan malam sambutan Tahun Baharu Cina, Charged bermula dengan suasana tegang di sebuah kem tentera apabila hanya anggota tentera berbangsa Melayu dan India ditugaskan menjadi pengawal.
Ketegangan itu akhirnya membawa kepada kematian misteri dua anggota tentera berlainan bangsa, yang mencetuskan pelbagai persoalan.
Di sebalik kisah itu, Charged mengangkat tema perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura, dengan mengajak penonton merenung kesan yang boleh berlaku apabila hubungan antara kaum mula diuji.
“Hakim adalah salah seorang daripada dua anggota tentera yang meninggal dunia dalam pementasan ini.
“Perkara itu sudah dibentuk pada permulaan cerita, jadi ia bukan satu spoiler atau bocor cerita kepada penonton.
“Pada awalnya, Hakim dilihat sebagai seorang yang panas baran dan sering bertindak mengikut perasaan.
“Namun, seiring perkembangan jalan cerita, penonton akan melihat sisi lain dirinya.
“Itulah yang membuatkan saya tertarik untuk membawakan watak Hakim, kerana dia mempunyai pelbagai sisi dan lapisan emosi yang membentuk dirinya.
“Pada saya, Hakim mewakili perjuangan yang dihadapi masyarakat dalam kehidupan harian, untuk terus bertahan dalam sistem atau persekitaran yang tidak semestinya memihak kepada mereka,” kata Irsyad kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.
Sebelum ini, Charged, yang dipentaskan pada 2010 dan 2011, di bawah arahan Zizi Azah Abdul Majid, pernah memenangi kategori Skrip Terbaik di Anugerah Teater ST Life! 2011.
Kini, Charged kembali menemui penonton dengan sentuhan pengarahan Mohd Fared Jainal, menerusi set persembahan yang bakal berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos, di Teater The Ngee Ann Kongsi, Wild Rice @ Funan.
Menerusi pementasan ini, siswazah dalam bidang lakonan daripada Maktab Seni Lasalle itu, juga berpeluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Siti Hajar Abdul Gani, 52 tahun.
Siti Hajar memainkan peranan sebagai Zuraidah, ibu kepada Koperal Hakim.
Walaupun jarang muncul bersama di pentas, Irsyad akur perlu berusaha membina hubungan yang meyakinkan sebagai anak kepada watak yang dilakonkan Siti Hajar.
“Bagi saya, ia agak mencabar kerana saya memainkan watak anak yang sudah meninggal dunia, manakala Siti Hajar membawakan watak ibu yang sedang berduka.
“Walaupun kami tidak berkongsi babak di atas pentas, kami banyak berbincang tentang hubungan antara Hakim dengan Zuraidah, bagi memastikan emosi itu benar-benar dapat dirasai penonton.
“Kami turut berkongsi pengalaman peribadi, termasuk hubungan Siti Hajar dengan anak-anaknya, dan hubungan saya dengan ibu sendiri.
“Daripada situ, kami dapat memahami watak masing-masing daripada perspektif yang berbeza, sekali gus membina ikatan yang lebih meyakinkan antara Hakim dengan Zuraidah,” ujarnya.
Selain Irsyad dan Siti Hajar, pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Brendon Fernandez, Teoh Jun Vinh, Krish Natarajan, Ali Mazrin, Izzul Irfan dan Serene Chen.
Selain itu, pengalaman menjalani Perkhidmatan Negara (NS) menjadi bekalan buatnya menghidupkan lagi watak, Korporal Hakim, dalam pementasan tersebut.
“Proses membina watak ini berlaku secara semula jadi kerana saya sendiri pernah melalui NS.
“Ia membantu saya memahami dengan lebih jelas siapa watak yang saya bawa, selain hubungan kuasa dan dinamik yang wujud dalam bilik pengawal.
“Saya dan barisan pelakon lain, kecuali Teoh (Jun) yang berasal dari Malaysia, banyak mengambil inspirasi daripada pengalaman serta kenangan berinteraksi dengan rakan-rakan semasa menjalani NS.
“Semua itu membantu kami menghidupkan cerita ini dengan lebih jujur,” ceritanya, yang aktif mengendalikan program pendidikan berasaskan seni.
Namun begitu, proses menghayati watak itu turut membawanya mengimbau semula beberapa pengalaman kurang menyenangkan yang pernah dilaluinya ketika berkhidmat.
“Dalam masa sama, saya juga perlu mengimbau semula pengalaman daripada sudut berbeza, terutama ketika saya berdepan layanan atau kata-kata yang berbaur perkauman dan prejudis.
“Perkara seperti itu sebenarnya bukan sesuatu yang asing, dan sering dianggap remeh atau kecil.
“Adakalanya, saya menjadi bahan jenaka, hanya kerana warna kulit, sedangkan ia langsung tidak melucukan.
“Melalui pementasan ini, saya mula mempersoalkan semula bagaimana saya bertindak ketika berdepan keadaan tersebut, termasuk sokongan rakan-rakan ketika itu.
“Secara tidak langsung, ia memberi ruang untuk saya memahami semula cara menangani pengalaman berbaur perkauman dan prejudis,” ujar Irsyad.
Tiket bagi pementasan Charged, yang berharga antara $45 dengan $75, boleh ditempah di laman web. Book My Show menerusi https://bh.sg/D9e9
Tiket juga boleh didapatkan dengan menggunakan Pas Budaya SG.
“
“Perkara seperti itu (layanan atau kata-kata yang berbaur perkauman dan prejudis) sebenarnya bukan sesuatu yang asing, dan sering dianggap remeh atau kecil. Adakalanya, saya menjadi bahan jenaka, hanya kerana warna kulit, sedangkan ia langsung tidak melucukan.”