Kata orang, rezeki jangan ditolak.
Apabila penggiat teater asal Malaysia, Ghafir Akbar, tiba di Singapura pada 2015 bagi menjayakan siri teater bahasa Inggeris terbitan Wild Rice, beliau tidak menyangka bakal menempa nama dalam industri teater di negara ini.
“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk terus berkarya di sini.
“Dalam setiap pementasan yang saya jayakan, pihak penerbitan dan pelakon sangat mesra dan menganggap saya seperti keluarga,” kongsi Ghafir, 43 tahun, yang ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Pada Mac, Ghafir telah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik bagi pementasan Accidental Death of An Activist terbitan Wild Rice dalam acara penyampaian anugerah The Straits Times Life! Theatre Awards 2025.
Beliau turut menerima pencalonan dalam kategori yang sama bagi pementasan Disgraced terbitan Singapore Repertory Theatre (SRT).
Yang menariknya, Ghafir turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik 2024 bagi lakonannya dalam pementasan A Midsummer Night’s Dream sempena acara Shakespeare In The Park di Taman Fort Canning pada 2023, yang diusahakan SRT.
Ditanya apakah yang membuatnya ingin terus berkarya di Singapura, Ghafir berkata dirinya teruja melihat sokongan peminat, penggiat teater dan pihak berkepentingan untuk terus menghasilkan karya menarik.
“Bagi saya, industri teater ini sering membantu antara satu sama lain dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak demi menjayakan sesebuah naskhah.
“Saya gembira melihat industri seni di sini menerima karya penulisan baru,” ujarnya.
Ghafir yang membesar di Kuala Lumpur meraih Ijazah Sarjana dalam Lakonan dari Konservatori Asolo untuk Latihan Pelakon di Universiti Florida, Amerika Syarikat.
Beliau pernah menjadi tenaga pengajar bebas di beberapa institusi termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM) di Malaysia.
Baru-baru ini, Ghafir merupakan antara barisan pelakon dalam pementasan, Yusof: Portrait of a President oleh Teater Ekamatra, yang dipentaskan dari 17 hingga 24 Oktober lalu di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Yusof, tulisan Zizi Azah Abdul Majid, menceritakan mengenai perjalanan hidup dan cabaran yang dilalui tokoh prolifik Allahyarham Yusof Ishak serta kerjayanya sebagai wartawan sehingga menjadi Presiden Singapura pertama.
Ia dipentaskan semula di bawah arahan, Mohd Fared Jainal, sebagai sebahagian program Esplanade, 60 Connections – At Home and Afar, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60).
Pementasan tersebut merupakan lakonan pertamanya dalam pementasan bahasa Melayu di Singapura.
Beliau telah memainkan tiga watak berbeza iaitu – Ishak, bapa Yusof; Aziz, adik Yusof dan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
“Sebelum ini, saya pernah membawa watak individu Melayu atau mempunyai dialog bahasa Melayu dalam pementasan bahasa Inggeris.
“Ia peluang yang baru kerana saya tidak pernah bekerjasama dengan Teater Ekamatra dan hampir kesemua barisan pelakon berbakat dalam pementasan ini,” ceritanya.
Beliau turut berpendapat karya berdasarkan sejarah seperti Yusof merupakan wadah bagi generasi muda mempelajari mengenai sejarah negara mereka.
“Semasa di sekolah, saya tidak minat dengan subjek Sejarah kerana ia agak membosankan.
“Saya sering belajar mengenai peperangan dan terdapat pelbagai fakta, tarikh atau maklumat yang perlu saya ingat.
“Namun semakin saya dewasa, saya sedar betapa penting cerita pada masa lalu dikongsikan kepada generasi muda kerana peristiwa bersejarah itulah yang telah membentuk cara kita hidup sekarang,” cerita Ghafir.
Ditanya mengenai cabaran menyampaikan dialog dengan naskhah berlatarbelakangkan era 1950-an hingga 1960-an, beliau berkata para pelakon telah bekerjasama dengan Fared untuk mencari rujukan sesuai dan memahami suasana di mana watak itu berada.
“Kami melihat di mana watak itu berada, mungkin di rumah berbual dengan kenalan rapat atau di pejabat bersama rakan kerja.
“Saya akui cara kita berbual bahasa Melayu dalam era moden kini berbeza dengan zaman dahulu namun penonton juga harus memahami dialog yang disampaikan oleh para pelakon dengan jelas,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Ghafir bakal pulang ke tanah airnya pada hujung tahun (2025) kerana bakal terlibat dalam satu pementasan khas.
Karya itu berdasarkan tulisan yang belum sempat diterbitkan oleh penggiat seni mapan, Allahyarham Jit Murad.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg