KUALA LUMPUR: Dua belas tahun bergelar ibu tunggal, kemeriahan Aidilfitri bagi pelakon, Rita Rudaini dan dua anak remaja, tidak sedikit pun berkurang, tanpa kehadiran sosok bergelar suami dan bapa.
Rita yang berasal dari Utan Aji, Perlis, mendakwa dua anak lelakinya, iaitu Airit Rayyan Rizqin, 16 tahun, dan Airit Qaqa Arjuna, 14 tahun, seronok setiap kali pulang beraya di kampung, disambut ramai sanak-saudara.
“Setakat ini, tidak pernah anak cemburu lihat orang lain meraikan hari raya sebagai keluarga sempurna.
Mereka sudah ‘immune’ (kebal) hidup tanpa bapa. Apa yang penting bagi mereka, saya kena ada,” katanya kepada BH Online.
Rita mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak pada 2008.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 5 September 2013.
Rita berkata sejak menguruskan keluarga sendirian, sudah menjadi rutin bagi mereka menyambut Syawal di Perlis.
Akuinya, beliau dan anak pernah berbincang sama ada mahu menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur atau Perlis.
“Tahun lalu (2024), kami berbincang mengenai lokasi sambut hari raya.
“Namun, anak tetap memilih Perlis. Mereka suka beraya di kampung kerana di sini ramai sepupu mereka.
“Lagipun, mereka rindukan masakan mak tok (nenek) dan suka mengerjakan solat tarawih pada hari terakhir Ramadan disebabkan rumah bersebelahan masjid,” katanya.
Bagaimanapun, Rita berkata beliau dan anak-anak tidak lama bercuti di Perlis disebabkan Rayyan perlu pulang ke asrama.
Berkongsi mengenai juadah wajib di pagi 1 Syawal, Rita berkata anak-anaknya cukup menggemari nasi tomato dan ayam masak merah.
“Biasanya, saya dan abang sulung bertungkus-lumus memasak disebabkan rumah sering ‘diserbu’ sanak-saudara.
“Ibu saya tinggal dua beradik sahaja. Rumah yang kami diami adalah harta pusaka datuk dan nenek.
“Jadi, rumah emak jadi tumpuan di pagi raya. Selepas itu, barulah kami akan ziarah ke rumah keluarga lain,” katanya.
Rita berkata setiap kali berkunjung ke rumah sanak-saudara, dua anak lelakinya akan melayannya dengan mengambilkan juadah.
“Apa yang seronok, apabila anak sudah besar, saya tidak perlu lagi ambilkan makanan untuk mereka.
“Sebaliknya, anak yang sibuk bertanya apa yang saya mahu makan atau minum,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg