Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ariel Fesol tamatkan penantian 16 tahun sebagai juara ‘Big Stage Alpha’

Peserta S’pura, Izat Ibrahim, menang tempat keenam sekali gus menganggotai boyband baru, ‘Alpha’
Jun 16, 2025 | 4:10 PM
Ariel Fesol, big stage alpha
Setelah 16 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan Malaysia, penyanyi Ariel Fesol, menamatkan penantiannya sebagai juara pertandingan realiti, Big Stage Alpha, pada 15 Jun di Royale Teater Shah Alam, Selangor, Malaysia. - Foto ASTRO

Kejayaan besar yang diraih Ariel atau nama sebenarnya, Muhamad Fhazrill Fesol, 27 tahun, sebagai juara peraduan realiti golongan penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), Big Stage Alpha: Gelombang Dominasi, memang sesuatu yang tidak disangka oleh beliau setelah 16 tahun berkecimpung dalam bidang hiburan Malaysia.

Sudah banyak kali bakat kelahiran Pulau Pinang itu memasuki peraduan nyanyian bermula dengan Idola Kecil (Musim 2) pada 2009, namun namanya masih belum cukup dikenali.

Malah, penyanyi yang pernah bekerja sebagai pramugara di syarikat penerbangan, Air Asia, itu mengukir sejarah menyanyikan lagu, How Am I Supposed To Live Without You, dan didengarkan langsung oleh penyanyi asal, Michael Bolton dan komposer terkenal, David Foster.

Ketika itu, beliau ditugaskan untuk mengendalikan penerbangan khas dari Singapura ke Malaysia, membawa artis ternama yang terlibat dalam konsert ‘The Hitman David Foster and Friends Asia Tour’ pada 2023, termasuk Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Kalau tadi awal-awal saya kata penantian saya lima tahun, itu ketika saya nak masuk Big Stage.

“Tetapi, saya tunggu momen ini selama 16 tahun. Saya masuk macam-macam pertandingan, semua tak jadi.

“Impian saya sebenarnya ingin mempunyai ‘rock band’, namun Allah lebih tahu dan menghadiahkan saya ‘boyband’ yang tidak pernah saya impikan selama ini,” kata Ariel setelah dinobatkan juara Big Stage (Musim 6) pada 15 Jun, sambil bergenangan air mata.

Program hiburan popular tersebut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim, Hael Husaini sebagai juri tetap sementara penyanyi, Marsha Milan hadir sebagai juri jemputan pada peringkat akhir pertandingan itu.

Selepas markah persembahan solo serta berkumpulan dicampurkan, Ariel berjaya mengetepikan enam peserta lain dengan jumlah markah tertinggi iaitu 71.74 peratus, dalam pertandingan yang berlangsung di Royale Teater Shah Alam, Selangor.

Beliau tampil memukau dengan persembahan solo melalui lagu Don’t Wanna Miss A Thing, dendangan asal kumpulan rok Amerika, Aerosmith. 

Dalam persembahan berkumpulan, Alpha Prime, Ariel bersama peserta lain, Daniel dan Rizal, turut menghangatkan pentas dengan persembahan penuh tenaga, Hands Up, dendangan asal kumpulan K-pop, 2PM.

Sebagai ketua juri, Syafinaz memaklumkan Ariel mempunyai kelebihan dari segi ‘stage presence’ atau kemampuan mewujudkan penampilan atas pentas, memberi saingan sengit dalam pertandingan itu.

“Ariel mempunyai vokal yang baik, cuma beliau ada satu genre yang tertentu sahaja yang sesuai dengan dirinya. Dalam hal itu, Ariel harus teroka lebih mendalam lagi.

“Tetapi, saya lihat Ariel ada energi yang sangat baik dalam kumpulan. Selain itu, sebagai penyanyi ‘rap’, beliau memiliki gaya yang sangat menarik,” katanya dalam sesi sidang media yang diadakan selepas keputusan diumumkan dan disiarkan di YouTube.

Hasil kemenangan itu, Ariel membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 ($9,058) berserta trofi.

Tampil dengan persembahan lagu, Januari (nyanyian Glenn Fredly), yang penuh emosi, penyanyi Singapura, Izat Ibrahim, 34 tahun, tidak mampu menahan sebak sebaik selesai persembahan solo terakhir di pentas Big Stage Alpha: Gelombang Dominasi.

Pemenang tempat keenam yang menerima hadiah wang tunai sejumlah RM5,000 serta trofi, itu mengakui tidak mudah bagi bakat Singapura untuk bertahan hingga ke final di pentas seberang Tambak.

Meskipun berhasil mengekalkan kedudukan teratas selama empat minggu berturut-turut, Izat kelihatan kecewa apabila persembahannya terganggu dek masalah sakit tekak.

Bagaimanapun, Shafinaz memberi kata-kata semangat agar Izat tidak terkesan dengan kegenjotan yang berlaku dalam persembahan solonya.

Beliau turut mengatakan bahawa keberadaan Izat dalam sebuah kumpulan membawa daya tarik istimewa yang dapat menjadi inspirasi dan panduan bagi anggota lain yang lebih muda.

Di samping itu, persembahan Izat telah menunjukkan peningkatan, membuktikan dirinya seorang penyanyi yang matang dan mampu menyampaikan persembahan yang menyentuh hati tanpa melakukan akrobatik vokal untuk membuat orang kagum dengan suara emasnya.

Ray-D, 20 tahun, yang meraih gelaran naib juara, membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi. 

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Rizal Rasid, 29 tahun, peserta dari Brunei yang menerima RM10,000 dan trofi.

Meraih tempat keempat, Daniel Sher, 34 tahun, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan trofi, sekali gus menerima Anugerah Ikon Perfume Paradise serta hadiah wang tunai tambahan sebanyak RM5,000.

Araff, 19 tahun, pula berjaya merangkul tempat kelima sekali gus menerima hadiah wang tunai sekitar RM5,000 serta trofi.

Melengkapkan senarai pemenang ialah Afiq Sky, 18 tahun, yang memenangi tempat ketujuh dengan membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM2,000 berserta trofi.

Impian netizen untuk melihat ketujuh-tujuh finalis Big Stage Alpha: Gelombang Dominasi, yang diberi julukan, OT7, turut tercapai sebaik pembentukan kumpulan ‘boyband’ baru iaitu, Alpha, diumumkan.

Dalam dunia K-pop, penggemar menggunakan istilah ‘OT7’ untuk merujuk kepada kesemua tujuh anggota kumpulan, tanpa sebarang perubahan atau tambahan ahli.

Ketujuh-tujuh finalis itu dikekalkan tanpa penyingkiran dan berhasil membentuk ‘boyband’ baru bernama, Alpha, yang akan menjalani latihan intensif di Korea dalam masa terdekat.

Sempena meraih kejayaan kumpulan baru dalam pertandingan, Alpha menyajikan persembahan lagu debut mereka berjudul, Monalisa.

Lebih mengejutkan lagi, juri tetap, Hael, turut menawarkan peluang kepada Alpha untuk membuat penampilan sulung mereka di konsertnya yang bakal berlangsung pada 8 Ogos di Zepp Kuala Lumpur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg