Ada pepatah Inggeris yang mengatakan, apabila satu pintu rezeki tertutup, pintu lain akan terbuka luas.
Awalnya, pempengaruh media sosial yang kini bergelar pengacara rancangan televisyen serta pelakon, Zhin Sadali, 31 tahun, bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pengurusan Aset Digital dan Media, yang telah ditundanya selama dua tahun.
Impian itu tergendala apabila Zhin, atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidzhin Sadali, tidak memenuhi syarat rujukan yang diperlukan untuk melayakkan diri ke universiti pilihan di King’s College London.
Bagaimanapun, peluang lain terbentang luas pada saat Zhin, anak sulung dua beradik, menerima empat pencalonan berprestij di Pesta Perdana 2025, termasuk kategori Personaliti Lelaki Paling Popular.
Pencalonan tersebut adalah pencalonan kedua lulusan ijazah Komunikasi dan Media Baru (Kepujian) daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, dalam kategori tersebut, susulan pencalonan sulung dalam Pesta Perdana 2023.
“Awalnya, panggilan pertama yang saya terima memberitahu tentang pencalonan kategori Personaliti Lelaki Paling Popular di Pesta Perdana 2025.
“Alhamdulillah, masyarakat masih terima Zhin dan undi saya dalam pencalonan ini, lebih-lebih lagi ini adalah kali kedua saya dicalonkan dalam kategori tersebut.
“Setelah itu, saya diberitahu mengenai pencalonan lain dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Telefilem/Antologi, bagi telefilem, Manisan Syawal.
“Pencalonan ini membuat saya terkejut dan agak tertanya-tanya, ‘Saya dicalonkan dalam kategori bersangkutan lakonan?’
“Lebih daripada itu, saya rasa amat terharu apabila kerja keras saya selama ini dipandang dan kemudian, diiktiraf di Pesta Perdana 2025,” kata Zhin, yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Harapan Terbaik bagi drama bersiri, Bingit (Musim Kelima) dan Pengacara Terbaik – Informasi bagi program gaya hidup, Manja (Musim Kesembilan).
Berita mengenai empat pencalonan dalam Pesta Perdana 2025, bagaikan jawapan bagi perasaan ragu-ragu yang dirasakan serta doa yang dipanjatkan pada akhir 2024 dek tidak pasti sama ada ingin meneruskan kerjaya dalam bidang hiburan ataupun meneruskan pengajian sarjana.
Malah, impiannya untuk diiktiraf dalam bidang yang mengutamakan kemahiran, khususnya dalam bidang lakonan ataupun pengacaraan, turut tercapai.
Antara empat pencalonan ini, Zhin memenangi anugerah Artis Harapan Terbaik bagi drama antologi Bingit (Musim Kelima), terbitan Mediacorp Eaglevision, pada Pesta Perdana 2025 yang berlangsung pada 24 Mei di Teater Mediacorp.
“Ini merupakan satu penghargaan yang bermakna kerana saya dianggap baru dalam industri ini dengan empat tahun pengalaman untuk belajar selok-belok dalam lakonan.
“Anugerah ini menjadi pembakar semangat Zhin untuk terus menggilap bakat lakonan dengan lebih bersemangat lagi.
“Tidak lupa ucapan terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang telah menjadi tulang belakang Zhin selama ini.
“Merekalah yang selalu memberikan Zhin kata-kata semangat dalam apa jua yang saya lakukan kerana tidak nafikan bahawa adakalanya, Zhin tersilap langkah semasa mengacara atau berlakon.
“Namun mereka sering katakan Zhin sudah melakukan yang terbaik dan itu merupakan anugerah yang telah dikurniakan pada saya, jadi saya haruslah sentiasa bersyukur, “ kata Zhin kepada Berita Harian (BH) selepas menerima anugerah tersebut bagi drama yang mengetengahkan tentang kesihatan mental.
Zhin yang juga seorang bakat di bawah naungan penghasil kandungan media sosial tempatan, The Smart Local, dan bermula sebagai pelakon tambahan, mengakui watak Shahrin yang dimainkannya dalam drama Bingit (Musim Kelima) mencabar dari segi emosi dan pesanan yang cuba disampaikan.
“Watak saya dalam drama ini sangat berat dari segi emosi kerana ia ada unsur mental dan trauma.
“Lebih-lebih lagi, saya berlakon sebagai adik kepada Farhana (lakonan Lydia Asyiqin) yang mengalami trauma selepas kejadian beliau diperkosa.
“Watak yang saya bawa ini amat berat, sehingga saya perlu menenangkan diri dengan menghadiri kelas berbasikal statik.
“Saya seorang yang ‘happy-go-lucky’, jadi untuk membiasakan diri menyampaikan perasaan sedih kemudian bertukar menjadi marah memang susah,” tambah Zhin, yang aktif menyokong isu kesihatan mental.
Beliau juga pernah terlibat dalam beberapa program kemasyarakatan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.
Meskipun tidak memenangi Anugerah Personaliti Lelaki Paling Popular yang dimenangi Norman Ishak, pada Pesta Perdana 2025, Zhin menyatakan pencalonan ini turut membuktikan pempengaruh media sosial semakin diiktiraf dalam dunia hiburan tempatan.
Dengan peluang serta bimbingan yang tepat, pempengaruh dapat menggunakan ruang ini untuk menyerlahkan lagi bakat yang ada dan memanfaatkan kreativiti untuk berjaya dalam bidang baru.
“Pengiktirafan dalam kategori Personaliti Paling Popular, bukan sahaja tentang siapakah personaliti yang terkenal dalam arena hiburan, malah menjulang bakat dan kemahiran yang dimiliki setiap selebriti yang tercalon.
“Misalnya, rakan pengacara dan pempengaruh, Hafidz Rahman, yang menerima pencalonan sama turut dicalonkan dalam Anugerah Pengacara Terbaik – Hiburan bagi rancangan Berani Nyanyi? (Musim Kedua).
“Ini membuktikan tidak semua pempengaruh yang melangkah dalam industri hiburan hanya menginginkan populariti.
“Ada juga yang ingin belajar dan mempertingkatkan diri dalam bidang baru,” ulas Zhin lagi, yang juga sedang menjalani ujian penilaian untuk menjadi jurulatih senaman berbasikal statik.
“
Anugerah ini menjadi pembakar semangat Zhin untuk terus menggilap bakat lakonan dengan lebih bersemangat lagi. Tidak lupa ucapan terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang telah menjadi tulang belakang Zhin selama ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg