Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis S’pura dekati masyarakat memerlukan, sambut Raya bersama

Nana Karia kongsi pengalaman sertai acara amal anjuran Women Empowerment Singapore
Apr 23, 2025 | 5:30 AM
Nana Karia, Era Farida, Izzan Adlan
Bakat tempatan, Nana Karia (tengah), teruja melihat rakan artis bergabung tenaga menjayakan persembahan dan sajian hiburan pada acara sambutan Aidilfitri untuk benefisiari Persatuan Ain. Bersama Nana ialah (dari kiri), Flique Mohamad, Izzan Adlan, Erwin Purnama, Era Faridah dan Hussin Saaban. - Foto KEN STUDIO

Bagi penyanyi, penulis lirik, dan penggubah lagu dari Singapura, Nana Karia, sambutan Aidilfitri bermakna adalah ketika disambut dengan kehadiran dan pelukan kedua ibu bapa.

Dalam kehangatan dan keceriaan menyambut Syawal, Nana juga tidak lupa tanggungjawab menyantuni golongan yang lebih memerlukan.  

Pada 11 April, Nana, 45 tahun, menjadi salah satu bakat tempatan yang memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri, Salam Lebaran, anjuran kumpulan persatuan wanita yang dikenali sebagai, Women Empowerment Singapore, dan De’Hall, pemilik dewan majlis perkahwinan di Pusat Tai Seng.

Ia merupakan kerjasama dengan Usrah, Ken Studio, Tabfilms, The Oddoness, Little.hd dan The Sue Tariq.

Acara tersebut dirancang khusus untuk menyebarkan kegembiraan dalam suasana perayaan kepada mereka yang terdiri daripada pesakit barah, penjaga serta keluarga mereka di bawah naungan Persatuan Ain.  

Ia turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Ain, Encik Bambang Sumaryono Ali, serta Ahli Lembaga Persatuan Ain, Cik Noorsyafiaton Sharun.

Ditanya mengenai pengalamannya, Nana meluahkan rasa teruja dapat beramah mesra dengan hadirin, sekali gus berpeluang mencipta kenangan yang tidak mudah luput dalam ingatan.

“Saya sangat terharu apabila ada yang sanggup mencari lirik di telefon bimbit mereka hanya untuk bernyanyi bersama-sama saya.

“Ada juga pasangan anak beranak yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama saya.

“Saya masih ingat seorang ibu yang memperkenalkan saya sebagai penyanyi kegemarannya kepada anaknya. 

“Beliau datang dari jauh, dari Jurong, semata-mata untuk bertemu saya sambil membawa hadiah istimewa.  

“Semua ini adalah pengalaman berharga yang tidak dapat dijual beli,” kata Nana penuh syukur ketika dihubungi oleh Berita Harian (BH).

Nana yang menyanyikan lagu, Selamat Hari Raya, versi dendangan biduanita, Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, turut memberi ruang kepada anak didiknya, Izzan Adlan, untuk menyerlahkan bakatnya dalam seni suara.

Izzan, yang juga merupakan peserta peraduan realiti nyanyian, Kaki Nyanyi, anjuran Mediacorp Suria, menyanyikan lagu, Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda, nyanyian asal Al Jawaher.

Selain Nana dan Izzan, barisan artis yang turut memeriahkan lagi acara berbahagia itu ialah Hussin Saaban, Era Farida, Marina Yusoff, Som Said, Erwin Dawson, Flique Mohamad dan Erwin Purnama.

Tidak hanya itu, persembahan memukau daripada akademi seni tarian Melayu, Sri Warisan, serta nyanyian merdu oleh kumpulan berbakat muda daripada Women Empowerment Singapore, Cilik Kids, menjadikan sambutan tersebut lebih meriah.

Selain menikmati pelbagai sajian hiburan dan menjamu hidangan yang menggugah selera, setiap hadirin menerima habuan berbentuk baucar daripada pasar raya NTUC, wang tunai dan cenderahati.

Ini termasuk hamper, terutama bagi mereka yang menyertai permainan dan kuiz menarik berbaur tema Lebaran.

Sebagai anak seni tempatan, Nana menggalakkan agar lebih ramai lagi artis melibatkan diri dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya harap anak seni Singapura lebih terbuka untuk menyokong badan kebajikan seperti Women Empowerment Singapore dan Persatuan Ain semampu mungkin. 

“Kalau tidak mampu dari segi kewangan, mungkin boleh lakukan dalam bentuk doa, tenaga atau bakat yang sedia ada. Yang paling penting, berikhlaslah dalam berihsan,” tambah pelantun lagu Kemesraan itu.

Menyentuh projek seterusnya, Nana bakal mengeluarkan lagu terbaru bersama penyanyi Malaysia yang juga juara Gegar Vaganza Musim 3, Azharina Azhar, dan dikenali dengan lagu, Elegi Sepi dan Rawan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg