Seperti judul lagunya, Rahsia Tuhan, begitulah rupanya suratan takdir apabila nama vokalis Hujan, Noh Salleh, semakin hangat diperbualkan di ruang media sosial, dengan terbitnya lagu yang menjadi runut bunyi filem Babah itu.
Bagi Noh, atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 40 tahun, lagu hasil ciptaannya, Rahsia Tuhan, memiliki makna yang mendalam dan istimewa.
Bahkan, tidak terlintas di fikiran penyanyi asal Sarawak itu bahawa lagu yang dicipta akan tular di media sosial, sekali gus menyentuh jiwa pendengar sehingga dihayati begitu mendalam.
Sementara itu, Noh menceritakan penerbit bagi filem Babah (lakonan Qi Razali, Cristina Suzanne, Sweet Qismina, Adam Lee dan Kis Aisha), Nadia Mohd Nazri, terpaksa menanti setahun sebelum lagu, Rahsia Tuhan, siap didengarkan dan menjadi runut bunyi filem yang menguras air mata itu.
Dalam perkongsian singkat bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 16 April, Noh berkata:
“Ketika ditugaskan menulis lagu yang dijangka akan hit dan membantu menaikkan emosi sebuah filem, tiba-tiba saya jadi ‘overthinking’ (terlalu banyak berfikir).
“Saya ada tawarkan lagu, Nirmala, kerana ia lebih rancak dan sudah siap lebih dulu daripada Rahsia Tuhan. Saya juga ingin memberikan kelainan pada filem yang sememangnya sudah sangat berat dari segi emosi.
“Tapi, beliau (Nadia) sanggup tangguh pelancaran filem, Babah, selama satu tahun.
“Saya jenis orang yang tidak boleh menulis lagu jika dipaksa. Tetapi kejadian ini, saya rasa adalah sebuah pengalaman yang ‘rare’ (jarang berlaku).”
Menjengah ke ruang komen video muzik Rahsia Tuhan di laman web, YouTube, beliau turut terharu apabila mendapati ramai netizen berkongsi kisah dan perasaan, mengenai pengalaman peribadi yang membekas di hati.
Kini, video muzik lagu itu ditonton 9.8 juta kali, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Antara 1 dengan 2 Mei, Noh Salleh, akan membuat penampilan sulung dalam dua set persembahan bermula 8 malam, sempena acara gilang gemilang, Pesta Raya 2025, di Annexe Studio, Esplanade.
Pada asalnya, persembahan itu hanya dijadualkan pada 2 Mei.
Namun, disebabkan sambutan luar biasa, slot tambahan pada 1 Mei, dibuka untuk memeriahkan lagi suasana malam dengan rangkaian lagu popular Hujan dan karya solo Noh Salleh.
Demi menyajikan persembahan yang sukar dilupakan bagi penggemarnya di Singapura, pelantun lagu, Angin Kencang, itu turut giat mempersiapkan diri secara fizikal.
“Sebab takut pancit, saya sanggup pergi gim demi orang Singapura tau.
“Sebagai seorang penghibur, saya perlu memastikan kesihatan saya dalam keadaan baik.
“Tidaklah nanti saya cepat penat atau tercungap-cungap semasa membuat persembahan,” ujar Noh, seraya tertawa.
Selama berkecimpung dalam bidang muzik dan seni suara, penyanyi lagu, Nirmala, itu lebih memilih untuk meneroka pelbagai genre muzik seperti rok ‘indie’ dan jaz, sambil menikmati prosesnya.
Malah, kata Noh, gaya penulisan seni katanya terpacu oleh imaginasi sendiri berdasarkan pengalaman peribadi menonton filem.
“Dengan Hujan, saya menulis lagu berdasarkan realiti seperti kisah percintaan atau ada kalanya mengenai kematian.
“Apabila menjadi diri sendiri, saya cuba menulis lagu berdasarkan imaginasi atau khalayan.
“Misalnya, Sang Penikam, saya bayangkan kisah lagu ini seperti ala-ala filem James Bond, melibatkan seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk menumpaskan ‘kepala’ mafia di era 50-an, dan kemudian jatuh cinta dengan anak perempuannya.
“Ia awalnya lahir daripada sebuah imaginasi. Kemudian, saya tulis lagu itu berdasarkan kisah yang direka,” cerita Noh, yang telah mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 2023.
Menyentuh harapan dalam industri muzik dan seni suara, Noh berhasrat untuk terus menghasilkan karya muzik yang bukan sahaja indah didengar, malah mampu mengukir kenangan dan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa setiap pendengar serta peminat setianya.
“Saya tidaklah merancang projek atau kegiatan saya seterusnya dalam bermuzik.
“Saya hanya melalui perjalanan ini dengan santai kerana saya percaya pada rezeki sebuah lagu itu.
“Mesti akan ada satu atau dua lagu yang ‘sangkut’ dan melekat dalam sanubari pendengar seperti, Rahsia Tuhan”.
Tiket persembahan Noh Salleh di Annexe Studio, Esplanade, berharga $40, boleh didapatkan di melalui pautan Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/salleh0525


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg