Anak sulung pelakon veteran, Allahyarham Khairul Azhar Abdul Samad, 70 tahun, iaitu Cik Nor Hafizah, reda dengan pemergian bapanya.
Cik Nor Hafizah menyifatkan pemergian Allahyarham Khairul meninggalkan kesan mendalam kepada mereka sekeluarga kerana beliau meninggal dunia secara mengejut.
“Arwah ada masalah jantung sejak dua tahun lalu (2023). Selepas arwah ibu meninggal, Babah (Khairul) tinggal dengan adik dan rumah kami tidak jauh pun.
“Saya dapat berita itu malam tadi selepas adik maklumkan yang Babah tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Kami pun hubungi ambulans dan apabila pasukan perubatan tiba, mereka sahkan Babah sudah tiada.
“Pemergian Babah memang mengejutkan. Ketika saya jumpa arwah kelmarin, arwah tampak normal dan berbual seperti biasa. Tidak ada pun menampakkan sebarang perubahan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Namun, Cik Nor Hafizah berkata bapanya kerap meninggalkan pesan supaya mereka dua beradik sentiasa menjaga diri.
“Cuma sejak kebelakangan ini Babah kerap nasihatkan saya dan adik supaya jaga diri masing-masing baik-baik.
“Setiap kali dia nak keluar rumah walau cuma nak ke kedai pun, dia akan tinggalkan pesan yang sama hingga kami menjadi hairan dan tertanya-tanya.
“Tetapi kami akur sahaja dengan nasihatnya itu. Tidak sangka itu pesanan akhir darinya,” katanya.
Cik Nor Hafizah menyifatkan bapanya tabah dan berjiwa penyayang.
“Selepas arwah ibu meninggal dunia hampir setahun lalu, arwah seboleh-boleh sembunyikan rasa sedihnya itu, Beliau tidak akan tunjuk pada anak-anak.
“Arwah juga penyayang dan amat sayang kepada anak-anak, isteri dan keluarga,” katanya.
Jenazah Allahyarham Khairul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat, pada 30 Mei.
BHM melaporkan Allahyarham Khairul meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor kira-kira 10.37 malam pada 29 Mei.
Allahyarham Khairul meninggalkan dua cahaya mata iaitu Cik Nor Hafizah, 41 tahun, dan Cik Nur Shahirah, 30-an tahun, serta seorang cucu.
Isteri Allahyarham Khairul iaitu Cik Norsidah Ahmat meninggal dunia pada Jun 2024 akibat barah darah.
Pemergian Allahyarham Khairul disahkan anak angkat yang juga pembantu peribadinya (PA), yang dikenali sebagai Aizat atau Encik Muhammad Aizat Norazemi, 27 tahun.
Bagaimanapun punca kematian belum dapat dipastikan.
Selain berlakon dan mengacara, Allahyarham Khairul juga pesara kerajaan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kebudayaan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Beliau juga pernah bermain dram untuk kombo pihak berkuasa tempatan itu.
Allahyarham Khairul pernah muncul dengan trio Santan Berlada bersama Allahyarham Ali Mamak dan mendiang Accapan serta pernah menghasilkan satu album.
Pemergian Allahyarham Khairul juga menyaksikan ketiga-tiga anggota trio Santan Berlada sudah meninggal dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg