Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesanan WhatsApp terakhir bersama kakaknya, Sophia Ibrahim, buat Khadijah terkilan

Anak arwah, Hairee ‘Kool’, jelaskan ibu tidak sihat sejak Ramadan 2025
May 6, 2025 | 8:11 PM
Datuk Khadijah Ibrahim yang berada di Sabah atas urusan kerja terkilan kerana hasrat membawa kakaknya, Allahyarhamha Sophia Ibrahim, keluar bagi meluangkan masa bersama sekembali dari Sabah, tidak kesampaian.
Datuk Khadijah Ibrahim yang berada di Sabah atas urusan kerja terkilan kerana hasrat membawa kakaknya, Allahyarhamha Sophia Ibrahim, keluar bagi meluangkan masa bersama sekembali dari Sabah, tidak kesampaian. - Foto BHM

GOMBAK: Penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim, 65 tahun, tidak menyangka pesanan ringkas kepada kakaknya, Allahyarham Sophia Ibrahim, untuk bertanya khabar, kira-kira 3 petang pada 5 Mei , adalah perbualan terakhir mereka.

Khadijah yang berada di Sabah atas urusan kerja terkilan kerana hasrat membawa kakaknya keluar bagi meluangkan masa bersama sekembali dari Sabah, tidak kesampaian.

“Kali terakhir kami berjumpa kira-kira dua minggu lalu dalam majlis perjumpaan keluarga.

“Selepas itu, saya sibuk ke Singapura dan Sabah atas urusan kerja dan niat saya apabila kembali, saya nak bawa arwah jalan-jalan dan keluar makan.

“Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila kakak pergi dalam keadaan yang sangat mudah,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah pada 6 Mei.

Khadijah berkata, arwah kakak yang juga anak sulung daripada 12 beradik, tidak menghidap penyakit kronik selain semput, batuk dan selesema.

“Saya dapat WhatsApp daripada kakak yang beritahu mahu pergi ke klinik kerana mengalami semput. Fikiran saya asyik teringat kakak dan cuba hubungi petang semalam.

“Saya hantar WhatsApp dan arwah jawab dia berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, kira-kira 6 petang, saya dapat panggilan telefon daripada Hairee (anak arwah Sophia), yang beritahu arwah sesak nafas dan alami angin ahmar ringan,” katanya.

Khadijah berkata, disebabkan mereka tinggal tiga bersaudara, hubungan dengan Allahyarhamha Sophia sangat rapat.

“Saya suka layan arwah makan. Apa sahaja juadah yang dia teringin seperti bubur sum sum kegemarannya, saya akan usaha masakkan.

“Saya tidak nampak apa-apa perubahan pelik sebelum arwah pergi. Namun, Hairee ada beritahu yang arwah cakap dua tiga kali dia sudah nak pergi.

“Arwah tidak akan cakap perkara seumpama itu di hadapan saya kerana dia tahu saya sangat positif dalam hidup,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarhamha Sophia, 77 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, kira-kira jam 10.30 pagi 6 Mei.

Kira-kira 100 orang merangkumi sanak-saudara dan sahabat handai hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau.

Antara rakan artis yang hadir adalah Mak Jah, Mustafa Kamal, Salamiah Hassan, Suzan Menan, Riot Kool dan Ifa Raziah.

Ifa Raziah berkata beliau mendapat tahu mengenai pemergian Sophia, sekitar pagi 6 Mei.

“Saya sedang buat ‘live’ untuk akaun media sosial. Sebaik dapat tahu berita pemergian arwah, saya berhenti . Mujur sempat tiba di tanah perkuburan untuk beri penghormatan terakhir buat arwah.

“Anak saya beritahu berita ini malam tadi, tetapi, saya fikirkan khabar angin... Tidak sangka rupanya betul,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah.

Allahyarhamha Sophia, atau nama sebenar, Safiah Ibrahim, yang juga pelakon kelahiran Singapura, dilaporkan mengalami sesak nafas ketika dalam perjalanan menghadiri program di Hotel Grand Barakah Ampang bersama anaknya, Hairee Yaacob, yang juga anggota kumpulan Kool.

Hairee, 57 tahun, mendakwa perasan perubahan kepada ibunya sejak Ramadan lalu (2025).

Hairee yang juga anggota kumpulan Kool memberitahu, ibunya diundang sebagai penyanyi residen di Hotel Grand Barakah Ampang, Ramadan lalu.

Bagaimanapun, Allahyarhamha Sophia hanya menyanyi seminggu dan terpaksa meminta bantuan Hairee untuk menggantikannya.

“Mummy tidak ada penyakit kronik seperti jantung atau kencing manis melainkan semput.

“Mummy masih aktif keluar berjumpa kawan dan sesekali memenuhi undangan. Cuma, pada Ramadan lalu, saya perasan Mummy tidak secergas duhulu.

“Mummy terpaksa minta bantuan saya untuk ‘cover’ slot dia di Grand Barakah. Pada minggu pertama, Mummy masih okey. Masuk minggu kedua, Mummy hanya dapat menyanyi satu atau dua lagu dan lebih banyak duduk.

“Mungkin kerana sepanjang Ramadan Mummy menetap di hotel dan guna pendingin hawa menyebabkan asma kerap menyerang,” katanya.

Berkongsi kejadian petang 5 Mei, Hairee, berkata mereka sedang dalam perjalanan ke Hotel Grand Barakah untuk menghadiri sesi perbincangan.

“Muka Mummy nampak pucat dan dahi berpeluh. Jadi, saya terus bawa dia ke hospital berdekatan.

“Ketika di hospital, degupan jantung mummy perlahan. Doktor bagi bantuan pernafasan dan Mummy okey serta boleh buka mata.

“Tetapi, tidak lama selepas itu, doktor pindahkan Mummy ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Doktor beritahu degupan jantung, tekanan darah dan buah pinggang mummy merosot.

“Mummy akhirnya disahkan meninggal dunia, jam 7.15 malam,” katanya,

Ditanya pesanan terakhir arwah ibunya, Hairee berkata, ibunya selalu mengingatkan agar jangan iri hati pada orang lain.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamha Sophia dibawa ke Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves untuk dimandikan dan disolatkan.

Sophia mula aktif di pentas hiburan sejak era 1960-an. Antara filem lakonannya adalah Dr Rushdi yang diarah dan dibintangi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1970.

Sophia meninggalkam empat cahaya mata serta lima cucu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg