Pelakon sitkom popular era 1980-an, Santan Berlada, Khairul Azhar, 70, meninggal dunia di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang pada 10.37 malam 29 Mei.
Difahamkan Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh pembantu peribadinya.
Pasukan perubatan yang dihubungi kemudian mengesahkan Khairul sudah meninggal dunia.
Selain berlakon dan mengacara, Khairul pernah muncul dengan trio Santan Berlada bersama Allahyarham Ali Mamak dan Accapan serta pernah menghasilkan satu album.
Pemergian Khairul juga menyaksikan ketiga-tiga anggota trio Santan Berlada sudah meninggal dunia, lapor Harian Metro.
Pemergian Allahyarham turut dikongsi penyanyi era 90-an, Anna Zanariah, di Facebook.
“Tahun 1997 zaman bergelar artis, aku dah kenal arwah. Kali pertama jumpa di RTM untuk program HMI. Aku segmen nyanyi, arwah segmen komedi. Tiba-tiba boleh pula jumpa di organisasi yang sama. Terus bekerjasama sejak tahun 2000/2001 hingga arwah bersara wajib.
“Dah bersara pun, sambung lagi kontrak beberapa tahun sebab ‘big boss’ suka. Terlalu banyak kenangan bersama. Arwah selalu jadi tempat rujukan kalau aku dapat ‘job emcee’. Selamat pulang Abang Khairul Azhar Santan Berlada, dah takde dah mentor saya. Pergi di malam Jumaat yang mulia. Didoakan syurga buat Abang Khairul Azhar. Insya-Allah, aamiin ya rabbal aalamin.
“1 April 1955 - 29 Mei 2025. Al Fatihah,” tulisnya.
Allahyarham juga ialah pemain dram untuk kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Jenazah Khairul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat, pada 30 Mei.
Selain sitkom Santan Berlada, Khairul banyak muncul dalam drama serta telefilem dan pernah berlakon dalam filem Mat Som bersama Imuda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg